SPECIAL ADS

26 Ogos 2014

NGO demo bantah hubungan dagang M'sia-Israel

Gambar: #PagarMITI298 

4 Hari Lagi!!!

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan menganjurkan demonstrasi dan penyerahan memorandum 'Hentikan Perdagangan Malaysia-Israel' kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin, demonstrasi tersebut bertujuan mendesak Malaysia menghentikan hubungan perdagangan dengan Israel yang masih belum berhenti menyerang Gaza.

Ia akan diadakan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta pada 29 Ogos ini.

Kumpulan berkenaan akan berarak dari masjid menuju pejabat Miti bagi menyerahkan memorandum.

Bermula hari ini, demonstrasi berkenaan akan dipromosikan sebagai #PagarMiTi298 bagi mengajak badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk menyertainya bagi memberi tekanan kepada MITI.

"SAMM konsisten membuat pendedahan demi pendedahan hubungan perdagangan Malaysia-Israel.

"Ia termasuk pendedahan komponen buatan Israel yang diimport masuk dan juga pendedahan kabinet negara dan syarikat GLC yang menggunakan perkhidmatan syarikat berpengkalan Israel (APCO dan EDS) yang menyumbang hingga ratusan juta ringgit," kata beliau pada sidang media di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), hari ini.

SAMM dalam pada itu menggelarkan Malaysia sebagai 'munafik' kerana terus membekalkan bahan mentah keperluan industri seperti minyak sawit, minyak sayur, koko, getah dan lain-lain. 

"Ekonomi negara haram Israel juga diperkukuh apabila negara 'munafik' ini membenarkan perdagangan dua hala secara langsung menjadikan lebih banyak dana termasuk dana persenjataan diguna untuk membedil anak Palestin dan perluasan kuasa," katanya yang mewakili NGO menuntut perdagangan Malaysia-Israel dihentikan.

Mereka juga yakin, menghentikan hubungan dagang antara Malaysia dan negara haram Israel merupakan satu strategi yang mampu melumpuhkan kekuatan Israel. HD

Tiada ulasan: