SPECIAL ADS

21 Ogos 2014

Bubar DUN dijangka antara cadangan MB pada sultan

Semakin dekat dengan tarikh kembalinya sultan ke Selangor, semakin kuat kemungkinan rakyat negeri bakal menghadapi pilihan raya negeri.

Sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan salah satu pilihan utama untuk menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda negeri itu.

"Pembubaran DUN adalah salah satu dari senario yang akan dicadangkan (menteri besar) kepada sultan.

"Ada beberapa lagi senario yang boleh dipilih oleh sultan," kata sumber tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Antara senario lain yang mungkin terjadi ialah peralihan kuasa yang licin dari Khalid kepada calon pilihan sultan.

Sumber sama turut mengesahkan pertemuan Khalid masih tidak berubah, iaitu 27 Ogos ini walaupun sultan dilaporkan akan pulang lebih awal.

Sementara itu satu sumber kerajaan negeri sebaliknya menyatakan sultan mungkin keberatan untuk membubarkan DUN.

Beliau menyatakan sultan mungkin akan memilih pilihan paling baik dan lancar bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut hal berkenaan dan menasihatkan semua pihak menunggu baginda berangkat pulang.

Jumaat lalu, Khalid menyatakan beliau tidak menolak kemungkinan pembubaran DUN.

Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan sultan Selangor.

"Itu (semua keputusan termasuk bubar DUN) perlu dibincangkan dengan sultan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di majlis tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Masjid Negeri di Shah Alam Jumaat lalu.

Abdul Khalid sehingga kini enggan mengulas perkara demikian dan hanya tersenyum ketika ditemui pemberita bertanyakan hal itu sejak Isnin lalu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu mendakwa mendapat sokongan majoriti 30 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat termasuk dirinya dan dua ADUN PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), untuk dilantik sebagai menteri besar baru. MK
 

Tiada ulasan: