SPECIAL ADS

21 Ogos 2014

Perkasa : Teguran Dr Mahathir bercanggah prestasi Najib menurut Bank Negara

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa pemimpin kerajaan menyambut baik kritikan yang dilontarkan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana yakin ia teguran ikhlas daripada bekas perdana menteri yang mentadbir negara selama 22 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Ogos, 2014.

Kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pengurusan ekonomi negara oleh Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan laporan yang dikemukakan Bank Negara minggu lalu, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan 6.4% berbanding 6.2% pada suku pertama tahun lalu, seperti yang dilaporkan Bank Negara.

“Ada pertentangan antara kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa ekonomi rosak tetapi (Bank Negara melaporkan) pertumbuhan ekonomi naik dan Malaysia berada pada landasan yang betul. Mana yang betul?” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dr Mahathir berkata pada Isnin, beliau terpaksa menarik balik sokongan dan terpaksa mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada perdana menteri terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, penarikan sokongan itu terpaksa dibuat selepas Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruknya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

"Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya," katanya menerusi blog popularnya, chedet.cc.

Ibrahim berkata, Dr Mahathir dan Najib perlu duduk semeja berbincang mengenai isu yang diutarakan dan segera mencari jalan penyelesaian.

Katanya, Najib juga perlu berhenti mendiamkan diri dan menjawab segala kritikan yang dilontarkan Dr Mahathir agar kecaman daripada rakyat dapat dihentikan.

“Masing-masing perlu beri penjelasan. Atau Najib dan Dr Mahathir perlu berbincang secara serius empat mata berdasarkan fakta yang ada. Perbetulkan apa yang perlu diperbetulkan untuk kebaikan negara.

“Bila ada teguran jelas, saya harap Najib sebagai perdana menteri mengambilnya secara positif dan pemimpin Umno tidak perlu melenting kerana ia akan lebih banyak mendatangkan kerugian,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara itu mahu pencerahan diberikan Dr Mahathir dalam isu tertentu kerana masih ada yang perlu diberikan penjelasan.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa kepimpinan Najib “terlalu tunduk mengikut kehendak negara jiran” perlu diperjelaskan lagi agar memberi kefahaman luas kepada rakyat.

“Banyak orang bertanya saya apabila beliau berkata ekonomi dan kewangan rosak serta ikut telunjuk negara jiran. Kenyataan ini terlalu umum. Banyak orang nak tahu apa yang dikatakan dengan lebih terperinci.

“Dr Mahathir wajar perjelaskan. Kalau tak panjang pun, (beri) beberapa contoh supaya orang dapat memahami dengan lebih jelas supaya orang tidak kata ia tuduhan umum.

“Najib juga perlu menjelaskan isu yang dibangkitkan Dr Mahathir secara profesional dan meyakinkan,” katanya.

Ibrahim berkata pemimpin kerajaan harus menyambut baik kritikan yang dilontarkan Dr Mahathir kerana ia merupakan teguran ikhlas bekas perdana menteri yang mentadbir selama 22 tahun.

Katanya, teguran kepada Najib dan pemimpin kerajaan tidak lain hanyalah bertujuan melihat negara terus mengecapi kemajuan dan pembangunan negara tumbuh dengan lebih pesat.

“Kita semua kenal siapa Dr Mahathir yang memang dari dulu bersifat lantang dan terbuka. Apatah lagi sesudah 22 tahun jadi perdana menteri dan banyak perkara yang dilakukan untuk negara, maka sudah tentu beliau akan jadi sensitif terhadap apa sahaja yang berlaku dalam negara.

“Maknanya, teguran beliau mengenai Najib lebih kepada hasrat untuk melihat negara Malaysia lebih kukuh dan lebih hebat dengan mengambil kira pandangannya, jika perkara itu dilihat dari sudut yang positif,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu juga meminta Dr Mahathir tidak berhenti melontarkan kritikan kerana ia sebagai satu lambang demokrasi. 

“Kita mengamalkan kebebasan bersuara dan demokrasi. Jadi sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir berhak untuk bercakap. Prinsip ini kita perlu pegang. Kita tidak boleh kata beliau dah bersara, tak boleh bercakap. Mana boleh begitu,” katanya.

Beliau juga berkata setajam mana pun kritikan Dr Mahathir, tegurannya ikhlas kerana mantan perdana menteri itu tidak sekali-kali berhajat untuk kembali memimpin pentadbiran kerajaan.

Katanya, ini masa terbaik bagi rakyat menilai keikhlasan kritikan Dr Mahathir dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita boleh anggap komen Dr Mahathir ikhlas kerana beliau tiada cita-cita lagi untuk jadi perdana menteri. Beliau sudah bersara daripada politik, berbeza dengan Anwar.

"Anwar dalam proses perjuangan untuk menjadi perdana menteri. Beliau kena buat kecaman dan tuduhan yang boleh menguntungkan kerjaya politiknya. Beliau mahu memburukkan kerajaan untuk mendapat keuntungan menjadi perdana menteri. Mahathir bukan daripada golongan ini. Beliau ikhlas,” katanya. TMI

Tiada ulasan: