Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan Dewan Negeri Selangor (DUN) dibubarkan jika ruang yang diberikan Sultan Selangor tidak digunakan sepenuhnya.
Dalam sidang medianya semalam, Khalid ditanya mengenai perbincangan mengenai pembubaran DUN ketika mengadap Sultan, Khalid berkata:“Tidak perlu buat masa ini, Tuanku (Sultan Selangor) memberi ruang kepada parti kemukakan nama calon.”
Sehubungan itu, penganalisis membuat andaian, pembubaran DUN mungkin berlaku jika ruang yang diberikan Sultan tidak diambil.
"Apakah tidak mungkin kenyataan Khalid ditafsirkan sebagai memberi makna pembubaran DUN boleh menjadi perlu pada masa akan datang," kata penganalisis politik, Dr Kamarul Yusof.
Sementara itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan setiap parti mencadangkan lebih dua nama hendaklah dipatuhi.
"Kita kena faham Sultan ada kuasa mutlak dalam memilih menteri besar dan sepatutnya dari dulu lagi Pakatan Rakyat (PR) memberi lebih daripada satu nama untuk memudahkan Sultan memberi perkenan.
"Jika PR ingin menyelesaikan krisis menteri besar ini dengan cepat dan tidak mahu memberi kesan yang buruk kepada rakyat Selangor, mereka perlu segera mengemukakan nama Adun mereka untuk dipilih sebagai menteri besar," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, PKR seharusnya tidak memuktamadkan dan hanya menetapkan nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal MB untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor.
"Sekiranya PKR masih berdegil dan hanya mahukan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal parti itu untuk dipilih sebagai menteri besar, ini menunjukkan mereka hanya mahu krisis ini berlanjutan tanpa noktah penamat," katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, PAS wajib akur titah Sultan yang mahukan setiap parti berkenaan mengemukakan calon mereka sebagai menteri besar.
"PAS sepatutnya tidak tunduk kepada tekanan PKR atau DAP. Ini soal menjunjung titah Tuanku Sultan dan oleh itu mahu tidak mahu mereka perlu mengemukakan nama Adun kepada Sultan.
"Jika tidak, mereka boleh dianggap derhaka. Sultan bertindak begini pada pandangan saya sebab PR tidak bersatu di mana PAS dalam kenyataan terbaharu menerima sesiapa saja yang diperkenan Sultan Selangor sebagai menteri besar, manakala PKR pula hanya mahukan Dr Wan Azizah. Ini yang menimbulkan kecelaruan," katanya kepada Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan