SPECIAL ADS

10 Ogos 2014

Selangor tanpa kerajaan selepas Khalid dipecat, kata pakar undang-undang

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Tan Kee Kwong (tengah) ketika mengumumkan pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang akhbar Sabtu lalu. Gambar fail The Malaysian Insider.
Ketika Sultan Selangor bertemu penasihatnya hari ini untuk membincangkan isu menteri besar, realitinya pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebabkan kerajaan negeri tidak berfungsi, kata pakar Perlembagaan.
Dr Abdul Aziz Bari berkata, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor tidak berfungsi selepas pemecatan Khalid daripada partinya PKR, sama seperti situasi perdana menteri jika dipecat atau meletakkan jawatan.
"Ini kerana di sisi undang-undang apabila menteri besar - sama seperti perdana menteri gugur maka Kabinet dan exco juga gugur," kata Aziz kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun Profesor Undang-undang Universiti Malaya Gurdial Singh Nijar berkata, 10 exco Pakatan Rakyat (PR) boleh menasihatkan sultan dalam isu keyakinan terhadap Khalid.
Gurdial berkata, kuasa untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak kepada Sultan yang bertindak mengikut nasihat.
Bagaimanapun Aziz berkata, kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail silap apabila mengatakan exco akan menjalankan tugas seperti biasa.
"Adalah salah bagi Saifuddin menyatakan apa yang PKR lakukan hanya terbatas kepada Khalid seorang,” katanya.
Aziz mengulangi pendiriannya dengan berkata, Selangor tidak lagi memiliki kerajaan yang sebelum ini diketuai Khalid sebagai menteri besar dilantik PR dan hanya Sultan mempunyai kuasa sekarang.
"Tetapi baginda adalah seorang raja berperlembagaan dan tidak boleh mentadbir negeri,” katanya.
Aziz berkata, Sultan Selangor mempunyai dua cara untuk menyelesaikan krisis tersebut.
"Ini boleh dilakukan melalui dua cara; iaitu melantik kerajaan daripada dewan sedia ada atau sekiranya itu sukar dilakukan, bubarkan dewan supaya rakyat boleh memilih kerajaan baharu," katanya.
Aziz berkata, Khalid yang sudah dipecat PKR kini tidak lagi mempunyai kuasa untuk menasihati Sultan dalam urusan pentadbiran negeri.
"Keadaan yang mengelirukan ini menyebabkan Khalid tidak mempunyai alasan moral untuk menasihatkan Sultan.
"Dia mungkin masih memegang jawatan, tetapi dia tidak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, pentadbiran negeri akan terjejas memandangkan segala urusan memerlukan kelulusan daripada menteri besar atau exco.
"Apa yang berlaku di Selangor perlu diselesaikan segera. Jika tidak, rutin pentadbiran akan terganggu.
"Ketika ini pun keadaan di Bangunan SUK Selangor, pejabat daerah dan majlis-majlis daerah, tidak lagi menampakkan ketenangan yang biasa kita lihat. Ini tidak pelik kerana kebanyakan keputusan penting memerlukan lampu hijau menteri besar atau exco," katanya.
Khalid kini hilang sokongan daripada partinya sendiri. Beliau secara rasminya dipecat pada Sabtu selepas PKR memberinya surat tunjuk sebab minggu lalu kerana enggan meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengambil alih.
Gurdial berkata, seseorang menteri besar merupakan jurucakap semula jadi kepada exco.
“Bagaimanapun Perlembagaan (negeri) mengatakan sultan mesti bertindak atas nasihat exco negeri juga, bukan MB saja,” katanya.
Beliau berkata, terpulang kepada exco sekarang dengan keputusan majoriti meminta Sultan untuk mengadakan sidang DUN.
“Sultan diwajibkan untuk bertindak dan memanggil sidang DUN,” katanya.
Gurdial berkata, permintaan exco atau nasihat dengan sebab mustahil bagi mereka melaksanakan tugas dengan kerajaan negeri kerana bermasalah dengan menteri besar.
Beliau berkata, exco, seperti juga Kabinet di peringkat persekutuan – secara undang-undangnya “badan pembuat keputusan tertinggi dalam kerajaan” dan badan pembuat polisi kerajaan.
Selain Khalid, DAP dan PKR masing-masing mempunyai tiga wakil dalam exco negeri sementara PAS mempunyai empat. TMI

Tiada ulasan: