SPECIAL ADS

5 Mac 2015

Analisis berita: Apabila nama tokoh negara tercemar, diam bukan pilihan

Razak dan Hussein
Hal kaum-kerabat orang bukan sesuatu yang patut menjadi perhatian umum, termasuk soal dalam kain orang besar negara. Namun prinsip asas ini tidak boleh dipakai dalam kes keluarga Perdana Menteri Najib Razak kerana ia mungkin melibatkan wang rakyat dan mencemarkan pula nama tokoh negara seperti Tun Razak Hussein.
Tokoh dan pemimpin seperti Tun Razak tidak lagi menjadi milik keluarganya semata-mata. Seorang pemimpin ‘dimiliki’ juga oleh rakyat. Maka apabila ada pihak cuba mencemarkan nama baiknya, kita berhak marah.
Akhbar New York Times mendedahkan pada 9 Februari lalu tentang apa yang didakwanya sebagai kekayaan luar biasa ahli keluarga terdekat Najib. Laporan itu menimbulkan persoalan: dari mana sumber kekayaan berkenaan?
Antara ‘beli-belah’ didakwa akhbar tersebut ialah pembelian secara tunai kondo di New York berharga USD33.5 juta (RM122 juta) oleh anak tiri Najib dan sumber pembiayaan filem Hollywood The Wolf of Wall Street yang diterbitkan oleh sebuah syarikat yang dikatakan miliknya.
Akhbar Sydney Morning Herald pula mendakwa Rosmah Mansor berbelanja sebanyak RM325,000 di sebuah butik di Sydney. Sejumlah foto juga beredar dalam media yang mendakwa Rosmah dengan sekurang-kurangnya sembilan beg tangan yang dilihat seperti jenama Birkin yang setiap satu biasanya berharga antara RM32,000 dan RM530,000.
Terbaru, isteri perdana menteri itu mengadu tentang kos penjagaan rambutnya yang mencecah RM1200 sekali dandan.
Berbalik kepada laporan New York Times, ia turut memuatkan penafian oleh Pejabat Perdana Menteri yang menjelaskan bahawa dana yang digunakan ahli keluarga PM untuk beli-belah, termasuk barangan kemas Rosmah yang nilainya jutaan ringgit, bukan wang kerajaan atau wang rakyat.
Dengan itu, timbul persoalan adakah perbelanjaan keluarga Najib itu adalah warisan harta Tun Razak yang tidak terhingga jumlahnya?
Namun, empat orang saudara Najib telah membuat penafian. Johari, Nizam, Nazim, dan Nazir Razak telah membuat kenyataan peribadi melahirkan kebimbangan kerana nama ayah mereka yang terkenal dengan sikap jimat-cermat tercemar dengan cakap-cakap tentang harta keluarga.
Kata mereka, “Kami amat gusar kerana beberapa bahan berita mutakhir ini telah menimbulkan spekulasi tentang bentuk dan jumlah harta yang diwariskan almarhum ayah kami, Abdul Razak.
“Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak adalah seorang manusia yang amat berprinsip, terkenal di kalangan orang yang mengenalinya dengan sifat jimat-cermat dan integriti yang tinggi.
“Sebarang kenyataan yang menyiratkan sebaliknya adalah salah sama-sekali dan mencemarkan ingatan terhadapnya, selain terhadap jasa dan pengorbanannya kepada negara.”
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan secara terbuka bahawa selama menjadi anggota Parlimen ketika Tun Razak adalah perdana menteri, iaitu antara tahun 1971–1976, beliau tidak pernah sekali pun membangkitkan sebarang persoalan yang boleh membuatkan orang meragui integriti Tun Razak.
Jadi, bagaimana Pejabat Perdana Menteri boleh memberi bayangan bahawa kekayaan yang dibelanjakan keluarga Najib adalah warisan atau peribadi, sedangkan Tun Razak, menurut Tan Sri Abdullah Ahmad, setiausaha politik dan orang kepercayaannya, “meninggal dunia dalam keadaan tidak berharta kerana beliau tidak pernah membiarkan dirinya tergoda dengan wang-ringgit.”
Malah, kata-kata Najib sendiri dalam satu makalah yang ditulis sempena memperingati ayahnya: “Saya masih ingat sewaktu masih kanak-kanak kami mahukan kolam renang. Beliau mengambil masa sebulan untuk mempertimbangkannya dan akhirnya menolak permintaan kami. Setelah meneliti beberapa anggaran oleh Jabatan Kerja Raya, beliau berkata, “Tidak boleh, nanti apa orang kata?”
Perkara ini tentunya menuntut penjelasan yang paling terang, terutama kerana hal ini berbangkit di tengah kontroversi tentang 1MDB yang hutangnya telah mencecah RM42 bilion dan sebahagian daripada dananya, sekitar RM2.5 bilion, dilaporkan oleh media antarabangsa telah disalurkan ke akaun bank syarikat milik Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kawan karib keluarga Najib yang juga tinggal di New York.
Apa pun, kalau sampai Pejabat Perdana Menteri terpaksa menjawab kepada akhbar di New York, ertinya satu dunia sudah tahu cerita. Dalam keadaan ini, selain penjelasan tentang sumber kemewahan, paling penting ialah untuk pihak berkuasa, terutama SPRM, bertindak.
Soalnya, apakah SPRM masih mahu menunggu lagi, atau apakah agensi itu, seperti kata Kit Siang, mahu menunggu ‘lampu hijau’ daripada Najib sendiri terlebih dahulu? Apakah SPRM sedang menunggu Najib berkata, “sekarang anda boleh datang siasat saya!” sebelum membuat sebarang tindakan?
Al Mustaqeem M Radhi

Tiada ulasan: