Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak mempersoalkan Islam dan hudud kerana ia boleh mencetuskan tindak balas daripada Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
Laporan The Star online memetik Khalid sebagai berkata, anggota pengawasan dan perisikan polis mendedahkan kumpulan itu merancang melancarkan serangan dan polis sedang berusaha untuk mengurangkan risiko bahaya.
"Kami tahu apa yang kumpulan itu mampu lakukan dan matlamatnya. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya mengulas mengenai isu sensitif kerana ia mengundang reaksi daripada mereka," katanya pada sidang media hari ini.
"Dengan secara terbuka membincangkan isu sensitif seperti Islam dan hudud, ia akan menjadikan mereka bersimpati. Oleh itu, akan ada tindakan balas yang jika kita tidak berhati-hati," katanya seperti dilaporkan portal itu.
Ketua polis itu juga dipetik portal berita Malaysiakini sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan serangan keganasan seperti di Paris berlaku di Malaysia berikutan komen terhadap hudud.
Portal itu turut memetik beliau sebagai berkata serangan itu boleh dilakukan oleh penduduk tempatan yang "diracun atau dilatih" kumpulan Isis atau militan asing yang mula menular ke dalam negara.
Amaran Khalid itu berikutan peguam hak asasi manusia dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen membuat komen berhubung hudud di Twitter.
Ketua polis negara sebelum ini memberi amaran, polis akan menyiasat sesiapa yang membuat komen terhadap isu sensitif agama tetapi tidak mempunyai kepakaran dalam hal itu.
Polis juga menyiasat stesen radio BFM dan penyampai radio berkenaan Aisyah Tajuddin, selepas stesen itu menyiarkan video yang didakwa mempersoalkan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Militan Isis didakwa tertarik terhadap beberapa rakyat Malaysia dan awal bulan ini Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Senior Asisten Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 61 warga Malaysia dikesan berada di Syria untuk menyertai kumpulan militan berkenaan.
"Bilangan sebanyak 61 itu juga termasuk kanak-kanak seawal usia 14 tahun yang menyertai ahli keluarga di sana... manakala jumlah kematian Malaysia di Syria sejak tahun lepas ialah 7 orang," katanya kepada Bernama.
Ayob Khan berkata setakat ini sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook dikenal pasti menjalankan aktiviti menggalakkan, merekrut dan cuba untuk menggalakkan rakyat Malaysia berjuang di Syria. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan