SPECIAL ADS

13 Mac 2015

Suntikan RM950 juta bercanggah dengan keputusan Kabinet

Khairuddin_Ahmad Husni_arul kanda_300
PETALING JAYA: Kenapa Kementerian Kewangan Malaysia memberi kemudahan pinjaman RM950 juta lagi kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tanya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. 

Pengkritik tegar 1MDB itu berkata bahawa langkah itu adalah bercanggah sama sekali dengan keputusan kabinet untuk tidak membenarkan lagi suntikan kewangan kepada syarikat bermasalah tersebut! Khairuddin yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berkata demikian dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini, berikutan pengumuman bahawa Kerajaan menyuntik sebanyak RM950 juta sebagai dana tersedia bagi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. 

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dana itu bertujuan membantu 1MDB menyelesaikan masalah aliran tunai secara sementara sebelum syarikat itu membuat tawaran awam permulaan (IPO), September ini. 

Khairuddin seterusnya menyarankan kepada Menteri Kewangan ll itu agar tidak bercakap mengenai IPO 1MDB lagi buat masa ini. “Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ni Menteri kewangan jenis apa? Beliau sedang merepek pada masa kini. “Suruh Husni Hanadzlah tanya Bursa Saham Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, apakah asas utama untuk membolehkan sesebuah syarikat itu disenaraikan di papan Bursa Saham dan menerbitkan IPO?” tambah beliau. 

Khairuddin menjelaskan, asasnya untuk IPO, sesebuah syarikat hendaklah mempunyai kedudukan pendapatan kewangan yang kukuh secara konsisten serta mempunyai jejak rekod perniagaan yang baik. 

Sebaliknya, tambah beliau, 1MDB adalah sebuah syarikat yang amat bermasalah, tenat serta banyak menimbulkan keraguan mengenai pentadbiran ataupun perbelanjaan dana mahupun kewangannya. 

“Apakah mereka layak untuk menjalani proses IPO?” tanya beliau lalu menyatakan pendapatnya bahawa, 1MDB tidak layak untuk proses IPO sama sekali memanadangkan ‘track record’ syarikat itu amat meragukan dan mencurigakan. “Mereka gagal untuk mempamerkan 1MDB sebagai sebuah syarikat yang ‘credible’ untuk IPO!” tegas beliau. 

Khairuddin seterusnya meminta supaya, Presiden 1MDB yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan syarikat milik kerajaan itu, Arul Kanda Kandasamy supaya menjelaskan mengenai dana yang disebut oleh Ahmad Husni itu. “Jawablah, tidak kiralah apa saja terma pinjaman tersebut dari Kementerian Kewangan! 

Pokoknya kini rakyat ingin mengetahui di mana letaknya kesemua wang pelaburan berbillion ringgit di serata dunia itu berada?” tambah beliau. Menurut Khairuddin, jika 1MDB benar-benar memiliki banyak wang seperti yang dikatakan, “kenapa tidak dibawa pulang wang yang ditebus dari Cayman Island yang kononnya sedang berada di luar negara serta di Singapura untuk tujuan membayar hutang-hutang mereka? “Kenapa harus bergantung kepada suntikan pinjaman dari Kementerian Kewangan?,” tanya beliau lagi. 

Dari prinsipnya, tegas beliau, Kementerian Kewangan telah melakukan satu kesalahan yang bercanggah arahan serta keputusan kabinet Malaysia sedangkan setiap hari umum melihat kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Kementerian Kewangan untuk menangani isu 1MDB. 

Beliau turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), supaya “buka mata seluas-luasnya” untuk memerhati keadaan sebenar 1MDB yang begitu tenat. 

Sedangkan tambah beliau, pada masa sama Presiden 1MDB masih mampu untuk membohongi rakyat bahawa syarikat tersebut masih stabil dan berada dalam kedudukan masih kukuh! “Selama bilakah Arul Kanda mahu memperbodohkan serta menipu rakyat jelata?” tanya beliau lagi. 

Khairuddin juga mengakui tertarik dengan SPRM yang telah memanggil beberapa individu dari Felda Global ventures (FGV) untuk disoal siasat! Sehubungan kes FGV itu, beliau mempersoalkan jika Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed kenapa SPRM boleh bertindak tanpa siasatan Ketua Audit Negara dan PAC terlebih dahulu? 

“Kenapa dalam kes 1MDB Abu Kassim kata kena tunggu Jabatan Audit Negara dan PAC bertindak barulah SPRM akan mulakan siasatan?,” tambah beliau sambil berkata bahawa seseluruhan rakyat amat meragui sikap dan prinsip Abu Kassim yang pada hemat beliau, bersifat double standard. 

Khairuddin menyatakan hasratnya menulis memorandum untuk membuat aduan kepada Yang diPertuan Agong mengenai sikap serta kenyataan Abu Kassim dalam isu berkenaan dalam masa yang terdekat. FMT

Tiada ulasan: