SPECIAL ADS

3 Mac 2015

Dedahkan Noah hanya kaitkan Najib dengan lesen kasino, kata wartawan veteran

Pendedahan Tan Sri Mohamed Noah Omar menanggung perbelanjaan pembelajaran Datuk Najib Razak ke luar negara hanya akan mengaitkan perdana menteri dengan lesen kasino, kata Datuk A Kadir Jasin. – Gambar The Malaysian Insider, 3 Mac, 2015.
Pendedahan akhbar arus perdana semalam menyebut Tan Sri Mohamed Noah Omar menanggung perbelanjaan pembelajaran Datuk Najib Razak dan adik-adiknya ke luar negara hanya akan mengaitkan perdana menteri dengan lesen kasino, kata Datuk A Kadir Jasin.
Wartawan veteran itu berkata, mendedahkan latar belakang Noah yang juga merupakan datuk kepada Najib, hanya akan menimbulkan persoalan mengenai siapa Noah dan punca kekayaannya.
"Adakah perlu Najib dan media massa arus perdana yang menyokong beliau membangkitkan hal Noah membiayai pendidikan cucu-cucunya, kerana tidak dapat tidak, orang yang mengetahui latar belakang Noah akan mengaitkan beliau dengan lesen kasino?
"Di manakah dan apakah peranan penasihat media, komunikasi, perang saraf dan pereka imej Najib yang begitu ramai dan tergolong di dalamnya seorang penasihat 'orang putih' yang dicamkan sebagai Paul Stadlen?
"Apakah semua ini ciri-ciri sokong membawa rebah dan harapkan pagar, pagar makan padi atau, lebih teruk daripada itu ia berupa petanda bahawa perdana menteri sedang kehilangan jalan cerita?" katanya menerusi tulisan terbaru di blognya hari ini.
Kadir berkata Noah yang menerima jolokan Noah Beirut, diingati sebagai bapa kepada dua wanita yang mengahwini dua Perdana Menteri Malaysia – anaknya Tun Rahah mengahwini Tun Abdul Razak Hussein dan seorang lagi anaknya, Tun Suhaila mengahwini Tun Hussein Onn.
Katanya, dalam dunia politik, Noah juga diingati sebagai antara pengasas Umno dan speaker Dewan Rakyat.
"Tetapi pembabitan dalam perniagaanlah yang menjadikan beliau istimewa dan kontroversi. Beliau rakan kongsi 'Raja Judi' Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong.
"Noah dan Lim mengasaskan projek kasino tunggal Malaysia di Genting Highlands pada tahun 1965," katanya.
Kadir berkata siapa yang membiayai pendidikan Najib tidak menjadi isu, tetapi apa yang dipertikaikan ialah dakwaan gaya hidup mewah yang dipamerkan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak tirinya, Riza Abdul Aziz.
Katanya, turut dipersoalkan ialah hubungan mereka bertiga dengan ahli perniagaan penuh misteri Jho Taek Low dan dakwaan kaitan Low dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dilaporkan akhbar New York Times.
"Media massa bebas dan media sosial terperanjat dengan kenyataan itu yang seolah-olah memberi gambaran yang bapa beliau, Tun Razak meninggalkan harta pusaka yang banyak.
"Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu menyebabkan sesetengah pihak, khususnya yang tidak mengenali Tun Razak, mempersoalkan integriti beliau sebagai perdana menteri yang telus dan bebas rasuah," katanya. TMI

Tiada ulasan: