SPECIAL ADS

10 Mac 2015

Siasatan 1MDB tertumpu kepada rekod akaun sejak 2009

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata siasatan ke atas 1MDB akan bermula dengan rekod akaun yang terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mac, 2015.
Siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan tertumpu kepada rekod akaun terdahulu sejak 2009 selepas didakwa tidak pernah diaudit, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini.
Syarikat pelaburan dana negara itu tersebut didakwa terlibat dalam beberapa pelaburan meragukan, malah audit ke atas urusniaga yang dijalankan firma Deloitte bagi tahun kewangan 2013  tidak termasuk sejak awal penubuhannya pada 2009.
"Fokus adalah dalam trek akaun, kita akan teliti rekod akaun yang terdahulu," kata Ambrin pada sidang media di Putrajaya hari ini.
1MDB ditubuhkan pada 2009 diilhamkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga penasihat kepada ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Bagaimanapun, kebelakangan ini skandal melibatkan 1MDB mendapat perhatian khususnya selepas pendedahan laman web pededah maklumat Sarawak Report baru-baru ini dan beberapa pelaburan seperti di Pulau Cayman serta PetroSaudi International.
Ambrin tidak menolak akan membawa pakar daripada luar sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan dalam 1MDB.
"Kami akan lakukan apa saja diperlukan dalam audit ini walaupun terpaksa membawa pihak luar untuk menyiasat, lagipun kami sudah lakukannya sebelum ini jadi ini perkara biasa," katanya.
Apabila ditanya mengapa baru hari ini Jabatan Audit Negara mengumumkan akan menyiasat 1MDB, Ambrin berkata mereka selaku sebuah badan bebas mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat mana-mana agensi kerajaan sekiranya diperlukan.
“Jadi kerajaan anggap kami patut teliti akaun kerana kami sebuah badan bebas supaya semua akaun ini dalam keadaan baik," katanya.
Ambrin juga tidak menolak akan memanggil pihak seperti Sarawak Report atau pihak berkenaan bagi membantu siasatan mereka ke atas 1MDB.
1MDB menerima kritikan hebat berpunca daripada beberapa pelaburan kontroversi yang dijalankan mereka, disamping menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.
Minggu lalu, Sarawak Report mendedahkan mereka memiliki akses kepada beribu-ribu dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi kontroversi 1MDB, termasuk perjanjian meragukan dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi pada 2009.
Turut menjadi persoalan dalam 1MDB, peranan dimainkan oleh usahawan terkenal Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low yang dikatakan mempunyai kepentingan dalam beberapa pelaburan yang dijalankan oleh 1MDB.
Pemimpin Pakatan Rakyat dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di antara yang lantang mengkritik dan meminta ketelusan daripada 1MDB.‎ Susulan daripada tekanan dan kritikan itu, Najib akhirnya mengarahkan Ketua Audit Negara membuat pemeriksaan keatas 1MDB atas alasan bagi menjelaskan kekeliruan melibatkan aktiviti pelaburan mereka.
Malah, perhimpunan dengan ketua bahagian Umno yang  diadakan dengan Najib hujung minggu baru-baru ini juga bertujuan untuk menunjukkan sokongan kepada presiden Umno itu yang kini terdesak untuk menangkis kontroversi melibatkan 1MDB.
Minggu lepas, agensi media antarabangsa Reuters melaporkan, menurut sumber, 1MDB mungkin dibubarkan di bawah pelan pembayaran balik hutangnya, di mana sebahagian asetnya akan dijual. TMI

Tiada ulasan: