SPECIAL ADS

13 Mac 2015

Dr. Mahathir : Audit 1MDB saja tidak cukup, Polis perlu siasat

Siasatan forensik polis perlu dilakukan terhadap 1Malaysia Development Berhad, bukan sekadar audit biasa saja, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2015.
Siasatan forensik polis perlu dilakukan terhadap mereka yang terlibat dalam tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana audit biasa saja tidak mencukupi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata audit yang ingin dilakukan ketua audit negara itu tidak mencukupi kerana tidak dapat membongkar apa yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik itu.
"Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan ialah siasatan forensik polis akan tuduhan yang dibuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB," katanya menerusi kiriman terbaru di blognya www.chedet.cc hari ini.
Beliau berkata jika ini tidak dilakukan segera, sokongan kepada Barisan Nasional (BN) akan bertambah rendah.
"Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua Umno sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi orang Umno saja tidak cukup untuk menang pilihan raya," katanya.
Dr Mahathir berkata melantik ketua audit negara menyemak akaun 1MDB tidak akan memberi banyak jawapan kepada persoalan yang diajukan rakyat. 
“Ulasan semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka yang mendakwa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan terhadap kerajaan dan individu tertentu walaupun terdedah kepada tindakan saman malu.
“1MDB bukan buat hutang biasa seperti kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta saja. 1MDB sudah hutang berbilion ringgit. Walaupun 1MDB bukan kerajaan tetapi ia badan yang ditubuhkan dan dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak RM1 juta.
“Oleh itu kerajaan tidak boleh dakwa ini masalah syarikat dan bukan masalah kerajaan,” katanya.
Najib pada minggu lalu mengadakan pertemuan bersama ketua Umno bahagian bagi menjelaskan isu mengenai 1MDB dan mereka yang hadir berpuas hati dan sedia menunggu siasatan ketua audit negara selesai.
Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui bagaimana Najib memberi penerangan mengenai isu 1MDB tetapi segala tohmahan mengenai isu itu tidak wajar dibiarkan dengan alasan kerana ia diperjuangkan pihak pembangkang.
“Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini di mana saja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong BN dalam pilihan raya umum akan datang, BN mungkin kalah. Jika BN ditolak, sokongan kepada presiden oleh pemimpin Umno bahagian tidak lagi bermakna,” katanya. TMI

Tiada ulasan: