SPECIAL ADS

2 Mac 2015

Ibu Sirul Azhar : Anak saya lebih selamat di Australia

Piah Samad (kanan), ibu kepada Sirul Azhar Umar, kini berada di Australia bersama pemimpin PAS bagi menemui anaknya yang ditahan pihak imigresen di Sydney. – Gambar The Malaysian Insider, 2 Mac, 2015.
Ibu kepada Sirul Azhar Umar hari ini merayu kepada pihak berkuasa Australia melindungi anaknya, beberapa jam selepas tiba di Sydney bersama ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan ketua biro antarabangsa parti itu, Dr Syed Azman Syed Ahmad.
Media Australia melaporkan Piah Samad sebagai berkata kerajaan negara itu perlu memberi "perlindungan penuh" kepada anaknya, yang didapati bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Adalah lebih (selamat) di Australia daripada pulang ke Malaysia," kata Piah, 72, yang turut ditemani anak perempuannya, Noriatin Umar.
Sirul, yang kini ditahan pihak imigresen Australia di Sydney, sebelum ini memberitahu sebuah portal berita bahawa beliau cuma menjalankan arahan "orang atasan" dalam pembunuhan Altantuya pada 2006.
Sirul dan Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari.
Sebelum berlepas ke Australia semalam, Mahfuz berkata rombongannya merupakan misi kemanusiaan.
"Ibunya teringin sangat nak bertemu dengan Sirul dan kami mengharapkan pemergian kami ini tidak dilihat sebagai sesuatu  yang boleh memberikan ancaman pada mana-mana pihak.
"Tetapi, apa yang dirancang ini ialah sebagai satu misi kemanusiaan, untuk seorang ibu yang melindungi anaknya," kata Mahfuz.
Mahfuz memberitahu wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, terpulang kepada Sirul mendedahkan lebih lanjut peranannya dalam pembunuhan Altantuya.
"Terpulang kepada dia sama ada mahu memberitahu (motif pembunuhan) ataupun tidak. Itu bukan misi saya.
"Itu akan lahir daripada hatinya sendiri, dan dia sudah berjanji kepada anda semua baru-baru ini yang dia akan umumkannya bila sampai masanya nanti."
Ahli Parlimen Pokok Sena yang sebelum ini gagal menghubungi Sirul bagi mengadakan tele-sidang khas bersama wartawan minggu lepas, berkata sesi seumpama itu tidak akan diadakan pada pertemuannya dengan Sirul nanti.
Misi rombongan itu dinamakan Mahfuz "C4 Yourself", dan mereka dijangka pulang pada 7 Mac.

Tiada ulasan: