SPECIAL ADS

19 Mac 2015

Hadi bakal bentang hudud di Parlimen

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen, Mei depan untuk membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mac, 2015.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada Mei untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hudud, mengetepikan Pakatan Rakyat (PR).
Hadi menghantar surat kepada Parlimen semalam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.
The Malaysian Insider sudah melihat surat Hadi dan disahkan seorang pemimpin kanan parti yang mengatakan ianya untuk meminda Akta 355 (Mahkamah Syariah)  - selama ini mengehadkan bidang kuasa mahkamah dan menjadi penghalang untuk pelaksanaan hudud.
"Presiden akan membentangkan sendiri rang undang-undang persendirian ini," kata pemimpin berkenaan kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengatakan tidak tahu mengenai surat Hadi.
"Ia tidak ada dalam pengetahuan saya dan saya tidak tahu mengenainya," katanya kepada The Malaysian Insider.
Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman sehingga denda RM3,000, 5 tahun penjara dan 6 kali sebatan.
Pindaan perlu dibuat kepada akta ini bagi membolehkan sebahagian enakmen hudud yang diluluskan DUN Kelantan semalam dilaksanakan.
Bagaimanapun sekutu PAS PKR dan DAP sudah mengatakan hudud bukan sebahagian daripada pendirian bersama PR.
Pemimpin DAP akan bertemu pada Isnin untuk memutuskan kedudukan mereka bersama PR, gabungan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti tradisi di Dewan Rakyat.
Pemuda DAP membekukan segala bentuk kerjasama dengan Pemuda PAS di semua peringkat selepas parti itu berkeras meneruskan hudud di Kelantan.
Hubungan di antara kedua-dua parti retak selepas Langkah Kajang yang akhirnya menyebabkan pengerusi PKR Selangor dan timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Hadi menolak langkah itu dan menghantar sendiri pencalonan kepada Istana Selangor, mengetepikan gabungan ditubuhkan sejak 2008 itu.
PKR turut mengkritik tindakan Kelantan meluluskan hudud dan mengatakan PAS negeri itu seharusnya mengutamakan komitmen dalam PR sebelum melakukan apa-apa tindakan.
"Walaupun PKR menghormati hak dan pendirian kerajaan Kelantan membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat Pakatan Rakyat," kata kenyataan yang ditandatangani presiden, timbalan presiden dan pemimpin tertinggi PKR lain.
Kenyataan melahirkan rasa kekecewaan itu ditandatangani secara bersama oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad selepas DUN Kelantan meluluskan pindaan untuk melaksanakan hudud secara sebulat suara.
Pada 8 Februari Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan PR rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan 4 perkara ke atas enakmen yang sudah diluluskan pada 1993, bagaimanapun draf yang diberikan kepada PKR pada 12 Mac lalu mengenai enakmen itu sepanjang 34 muka surat.
"PKR pada mulanya mengambil sikap menghormati pindaan itu bukanlah undang-undang baru dan tidak mengubah status sedia ada. Pindaan seperti yang dimaklumkan Amar itu masih berada di dalam kerangka persetujuan bersama.
"Walaupun kandungannya tidak banyak berbeza daripada enakmen asal 1993, ia tidak lagi mematuhi muafakat bersama yang dipersetujui oleh PR pada 2011 mengenai pelaksanaan hudud," kata PKR.
Pada 2011 ketiga-tiga parti PR bersetuju hudud bukan agenda bersama tetapi dipersetujui ia merupakan perjuangan PAS sebelum penubuhan gabungan itu.
Walaupun dipersetujui mustahil untuk memaksa PAS meninggalkan agenda perjuangan mereka, semua polisi melibatkan PR dan pelaksanaannya perlulah mendapat persetujuan ketiga-tiga parti itu. TMI

Tiada ulasan: