Banyak yang telah ditulis dan dibahaskan berhubung kemerosotan nilai Ringgit dalam tukaran wang antarabangsa, namun kerajaan persekutuan masih tidak menyedari kebimbangan yang dibangkitkan rakyat ini.
Adakah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberi respon secara jelas dan serius tentang kejatuhan nilai Ringgit?
Setakat ini, mereka hanya memberikan jaminan kosong bahawa “semuanya baik sahaja”, dan rakyat Malaysia tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tentulah mereka berdua tidak perlu bimbangkan apa-apa, apabila kekal di kerusi empuk di bilik berhawa dingin mereka.
Sama ada kedua-duanya tidak cekap dalam soal ekonomi dan kesannya kepada orang kebanyakan, atau pun mereka memang tidak peduli.
Jika mereka cekap dan mengambil berat, mereka tidak akan terus mengeluarkan kata-kata kosong atau menggunakan semantik untuk cuba menyedapkan hari rakyat, yang berterusan bergelut dengan inflasi untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga.
Pada 1 April ini (dan ini bukan lawak April Fool), ketika sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mula melanda rakyat dan negara, bukan golongan miskin bandar dan pedalaman sahaja yang akan berhadapan dengan mimpi negeri kewangan dan eonomi, malah golongan pertengahan dan eksekutif muda yang mula bekerja pada dekad lalu turut merasa bahangnya.
Bukankah sudah jelas bagi Najib dan Zeti, bahawa masalah ekonomi dan kewangan yang membengkak tidak boleh ditangani tanpa mengambil kira secara efektif kemerosotan Ringgit?
Sebanyak mana penurunan harga minyak atau tarif elektrik sekali pun, ia tetap tidak akan mengurangkan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.
Adakah Najib dan Zeti pernah cuba menjelaskan dengan serius dan terperinci; mengapa nilai Ringgit melemah dengan begitu cepat? Dan adakah mereka pernah benar-benar menjelaskan berhubung hutang persekutuan yang sekurang-kurangnya berjumlah RM800 bilion?
Harga minyak global mula menurun dengan pantas pada suku keempat tahun lalu, dan Ringgit menjadi mata wang paling teruk prestasinya di rantau Asia.
Ringgit berada pada nilai terendah dalam masa enam tahun, apabila ditutup pada kadar RM3.60 bagi dollar AS pada 20 Januari lalu. Ia adalah kedudukan terendah sejak April 2009.
Masihkah anda ingat tentang ketakutan dan kebimbangan yang melanda, ketika krisis ekonomi di mana Ringgit jatuh pada nilai RM3.80 berbanding dollar AS? Ia berlaku selepas Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998.
Kini, nilai ringgit terus jatuh sejak harga minyak mentah mula merosot pada separuh kedua tahun lalu. Ia hilang kira-kira 6.5 peratus daripada nilainya.
Tidakkan kerajaan Umno-BN belajar apa-apa daripada krisis kewangan global yang bermula dengan krisis sub-prima di Amerika enam tahun lalu, yang mencetuskan krisis perbankan dan menyebabkan keperlahanan seluruh dunia, sehingga menjejaskan negara yang bergantung kepada hasil eksport?
Dengan penyusutan besar nilai Ringgit berbanding dollar AS, adakah Najib dan Zeti tidak bimbang akan berulangnya krisis kewangan Asia 1997/98, atau krisis kewangan global 2008/09?
Dan apa yang Zeti mampu jelaskan kepada rakyat hanyalah ini: “Kelemahan Ringgit tidak mencerminkan asas semasa Malaysia yang masih kukuh.”
Najib dan Zeti boleh dakwa apa sahaja yang mereka mahukan bahawa “semuanya baik-baik sahaja” buat Malaysia. Tetapi mereka pastinya tidak akan dapat berbohong kepada rakyat kebanyakan yang bergelut untuk menyara kehidupan.
Dan apabila tekanan ekonomi dan kewangan tidak dapat ditahan lagi, agaknya siapakah yang akan kehilangan kerja mereka?
Ng Kee Seng
Tiada ulasan:
Catat Ulasan