SHAH ALAM 09 JUN : Penggunaan kuasa Kerajaan Persekutuan oleh Umno untuk mengekang kritikan terhadapnya mencerminkan keangkuhan parti itu serta betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak jujur dalam agenda transformasi yang sering diuar-uarkannya.
Sebagai contoh, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menahan semula aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini juga menunjukkan betapa UMNO tegar menghina keputusan mahkamah.
“Peristiwa yang berlaku dengan penangkapan semula Tian Chua, Tamrin dan Haris selepas empat hari dibebaskan menunjukkan polis sedang menunjuk lagak melalui kuasa yang dimiliki,” katanya dalam sebuah kenyataan media.
Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Pas Tamrin Ghafar dan aktivis NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan mereka di dalam sebuah forum 13 Mei.
Contoh lain juga dapat dilihat melalui halangan yang dikenakan terhadap Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah minggu lepas.
“Tindakan tersebut seolah-olah menyatakan Izzah seorang penjahat, malah meletakkan (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang, (Pengerusi Bersih 2.0) S. Ambiga dan saya dalam senarai halangan masuk ke Sabah juga adalah satu penindasan dan salah guna kuasa,” ujarnya lagi.
Menurut Anwar, dengan siri tangkapan, penahanan serta sekatan yang tidak perlu terhadap aktivis dan pemimpin PR, Perdana Menteri membuktikan sekali lagi bahawa dia bukanlah seorang pemimpin yang wajar dihormati.
Malaysia juga di bawah pemerintahan UMNO, kata Anwar, seolah-olah mempunyai dua jenis undang-undang; satu adalah istimewa untuk UMNO dan kroni-kroninya sementara satu lagi dikenakan terhadap orang lain yang tidak sebulu dengannya.
“Ini jelas apabila mereka gagal mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang sebenarnya mencetuskan pergolakan dan isu-isu perkauman.
“Keangkuhan mereka ini pasti akan terima balasan, mereka (UMNO) boleh lakukan apa sahaja; penjarakan, malukan dan menghina sesiapa sahaja yang mereka mahukan.
“Tetapi mereka perlu sedar bahawa kuasa sebenar adalah di tangan rakyat,” tegas Anwar yang juga MP Permatang Pauh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan