SHAH ALAM 09JUN : Undang-undang bagi mempertahankan institusi Raja-raja sudah mencukupi dan pengubalan undang-undang baru bagi tujuan tersebut dikhuatiri akan digunakan untuk mengekang hak bersuara rakyat, kata pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.
Mereka juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan meneruskan usahanya untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan sebuah akta yang akan melindungi keharmonian antara kaum.
Pemimpin yang dihubungi berkata tidak perlu ada “Akta Derhaka” seperti yang disyorkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, kerana istilah derhaka boleh dimanupilasi.
MP Subang Sivarasa Rasiah mencadangkan supaya undang-undang spesifik bagi menghalang hasutan keganasan atau kebencian kaum dan agama diwujudkan bagi menganti Akta Hasutan 1948 yang sedia ada.
Sivarasa, yang juga seorang peguam, berkata sekiranya Akta Derhaka diwujudkan, ia akan disalah guna untuk menindas mana-mana individu seperti yang berlaku dalam kes lima aktivis yang didakwa kerana mengkritik keputusan pilihanraya umum ke-13 bulan lepas.
“Sebagai contoh baru-baru ini kita lihat Umno-BN menggunakan Akta (Hasutan) untuk mendakwa ramai orang.
“Kita juga minta Akta Hasutan dimansuhkan dan Perdana Menteri sedia memansuhkan kerana mengakui Akta itu tidak perlu. Mengapa perlu wujudkan Akta lain?,” kata Sivarasa.
Tambah Sivarasa, Kerajaan seharusnya mengingati bahawa keseimbangan antara hak bersuara dan keselamatan penting dalam sesuah negara.
Sementara itu, pengarah biro guaman PKR Latheefa Koya mempersoalkan tujuan dan konteks Akta Derhaka yang mahu diwujudkan.
“Siapa yang derhaka? Siapa yang buat keputusan derhaka itu? Apa makna derhaka sebenarnya?
“Klasifikasi derhaka dan hasutan ini terlalu besar dan ia merangkumi kesemua hak-hak asasi dan hak-hak individu dalam mempersoalkan apa-apa isu,” katanya apabila dihubungi.
Latheefa menambah akta yang mahu diwujudkan itu hanya untuk memberikan tekanan kepada pihak pembangkang dan individu yang lantang dalam menyuarakan pandangan.
“Setakat ini tiada asas untuk membuat cadangan-cadangan itu kerana ia tiada makna langsung,” katanya.
Selain itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan akta baru tidak perlu dibentuk bagi menghukum individu yang mengkritik raja.
Katanya, akta seperti akta hasutan akan memberi impak negatif dan mengakibatkan negara dicap sebagai ekstrem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan