SPECIAL ADS

23 April 2014

Bekas ketua TLDM kesal Malaysia gagal kesan isyarat kecemasan kapal Jepun yang dirompak


Kegagalan penguatkuasa maritim Malaysia mengesan isyarat kecemasan dari kapal Jepun yang disamun dekat Pulau Ketam awal pagi Selasa lalu dikesali oleh Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid (gambar).
Bekas ketua staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mempersoalkan apakah pengawasan agensi penguatkuasaan maritim negara begitu longgar sehingga tidak peka terhadap kapal bermasalah di perairan Selat Melaka.
“Kapal Jepun ada alat kecemasan, kenapa Malaysia tidak kesan?
“Takkan mereka tidak boleh kesan. Sebab kapal Jepun itu ada radio signal untuk kecemasan, kapal-kapal lain boleh kesan. Takkan APMM tidak boleh,” kata Imran sebagaimana dilaporkan oleh Keadilandaily, lidah rasmi PKR.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, 18 kru termasuk kapten kapal berhadapan detik cemas apabila kapal yang membawa 5 juta liter diesel dilaporkan disamun kira-kira 16 batu nautika dari Pulau Ketam berhampiran Klang.
Lima lelaki dengan dua bersenjatakan pistol dan parang mengikat kapten dan anak kapal menyamun kapal Jepun yang tidak dinamakan itu dengan memindahkan 2 juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker.
Bernama melaporkan tiga kru dipercayai diculik ketika kapal tersebut yang dalam perjalanan ke Myanmar selepas berlepas dari Singapura 21 April lalu.
Menurut Imran, kata Keadilandaily, proses pemindahan diesel dari kapal tersebut mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam dan selepas itu semua suspek meninggalkan kapal berkenaan.
Kawasan perairan dan pantai di Malaysia dikawal empat agensi maritim iaitu Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM), TLDM, Polis Marin dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).
“Kita persoalkan di mana mereka sewaktu kejadian ini berlaku. Kalau mereka buat rondaan dan lakukan kerja, pasti kapal tersebut boleh dikesan,” kata Imran kepada Keadilandaily.
Tambah Imran, kerajaan bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
“Belum selesai isu penculikan di Sabah, kapal Jepun pula disamun.
“Ini membuktikan kerajaan tidak mampu menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan negara termasuk isu kehilangan pesawat MH370,” kata Imran. – TMI

Tiada ulasan: