Anggota Kapal Tentera Laut Australia HMAS Success melihat helikopter turut serta dengan kapal Tentera Laut Malaysia KD Lekiu di Lautan Hindi semasa pencarian pesawat MAS MH370 pada 7 April. – Gambar Reuters, 11 April, 2014.
Pengesanan satu lagi isyarat denyutan di Lautan Hindi semalam meningkatkan lagi harapan dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, namun keluarga penumpang masih lagi menuntut bukti perjalanan pesawat itu berakhir di sana..
Laporan CNN cuba memberi penerangan kepada siasatan yang dijalankan setakat ini.
Apa yang kita dapati tentang saat-saat terakhir pesawat MH370?
Kapten Ahmad Zaharie Shah, juruterbang MH370 adalah orang yang terakhir dalam jet tersebut yang bercakap kepada pengawal trafik udara dengan berkata, "Selamat malam, Malaysian tiga-tujuh-kosong," sumber Malaysia berkata kepada CNN.
Sumber itu berkata tiada yang curiga atau luar biasa tentang suara kapten itu dan tiada tanda-tanda tekanan padanya.
Seorang pegawai yang terlibat dalam siasatan berkata polis memainkan rakaman itu kepada lima lagi juruterbang Malaysia Airlines yang kenal kapten dan juruterbang itu. "Tiada suara lain dikenal pasti," kata sumber itu.
CNN berkata penemuan ini penting kerana ia menunjukkan kapten sedang mengendalikan radio sementara pegawai pertamanya menerbangkan pesawat itu.
Bagaimana dengan kejatuhan altitud pesawat?
Boeing 777-200ER itu hilang daripada radar tentera dalam 120 batu nautika selepas ia patah balik melalui Semenanjung Malaysia, kata sumber kepada CNN.
Ini bermakna pesawat itu mengalami kejatuhan altitud daripada 4,000 ke 5,000 kaki, kata seorang pegawai kerajaan Malaysia yang terlibat dengan siasatan kepada rangkaian berita dunia itu.
Mengapa maklumat itu penting pula?
Para pakar tidak saling setuju tentang kepentingan laporan kejatuhan altitud itu.
"Ia seperti mereka sengaja melakukannya untuk mengelak daripada dikesan," kata penganalisis penerbangan CNN, Peter Goelz.
Namun, bekas Inspektor Jeneral Jabatan Pengangkutan Mary Schiavo berkata ia mungkin bermakna kabin kehilangan tekanan dan para dua-dua juruterbang menurunkan pesawat ke tahap di mana mereka dapat bernafas tanpa oksigen.
Ataupun ia mungkin bermaksud pesawat hilang komunikasi dan sedang cuba beralih jauh daripada trafik komersial, katanya.
Apa lagi yang kita tahu tentang respons kerajaan Malaysia?
Putrajaya hari ini menafikan laporan CNN semalam yang Tentera Udara Malaysia (TUDM) dikerah segera untuk mencari pesawat itu pada pagi ia hilang.
Pasukan komunikasi Pemangku Menteri Pengangkutan Hishammuddin Hussein mengeluarkan tweet mengatakan laporan tersebut adalah palsu.
CNN memetik sumber yang mengatakan pesawat tentera udara Malaysia dikerah kira-kira 8 pagi pada 8 Mac, beberapa jam selepas pesawat MAS hilang daripada pengawal trafik udara dan hilang daripada radar, tetapi segera selepas Malaysia Airlines melaporkan pesawatnya hilang.
Pesawat itu berlepas sebelum pihak berkuasa dapat menyelaras maklumat yang menunjukkan pesawat tersebut berpatah balik ke arah barat dan tidak menjumpai apa-apa, kata pegawai senior kerajaan Malaysia kepada rangkaian itu.
Tambahan pula, pesawat itu tidak memaklumkan Jabatan Penerbangan Awam atau operasi menyelamat sehingga tiga hari selepas itu, 11 Mac, CNN memetik dari sumbernya yang terlibat dalam siasatan.
Bagaimana dengan pencarian pesawat itu sekarang?
Lebih perkembangan dilaporkan semalam semasa pesawat pencari mengesan satu lagi kemungkinan isyarat – ini yang kelima setakat ini daripada kapal tentera laut Australia HMAS Ocean Shield – daripada suluh pengesan yang dipasang pada kotak hitam pesawat, umum agensi Australia yang mengendali pencarian tersebut.
"Data akustik ini akan memerlukan analisis lebih mendalam tetapi menunjukkan tanda-tanda ia mungkin buatan manusia," kata pesara Ketua Marshal Udara Angus Houston, ketua koordinator agensi itu semalam.
Sumber dengan Jabatan Pertahanan Australia berkata pancaran itu bukan pada frekuensi 37.5 kHz yang sama dengan pinger kotak hitam, tetapi frekuensi yang mencadangkan ia buatan manusia.
Sumber berkata teknologi sonar buoy digunakan secara uji kaji.
Bagaimana cara buoy itu berfungsi?
Empat Orion P3 Tentera Udara Australia dilengkapi dengan teknologi untuk mengesan isyarat daripada buoy sonar atau – sonobuoys – yang mereka lepaskan ke dalam lautan.
Sebaik sonobuoys itu menyentuh air, ia melepaskan mikrofon yang tenggelam kira-kira 1,000 kaki ke dalam laut.
Sebarang isyarat bunyi yang dapat ia kesan akan dipancarkan kepada buoy permukaan, yang menghantarnya pula kepada pesawat, kata Jules Jaffe, penyelidik oseanografi dengan Institut Oseanografi Scripps.
Walaupun "semuanya mikrofon berkualiti tinggi, ia masih 'mengejutkan' yang ia dapat mengesan isyarat daripada beribu-ribu kaki kedalaman, katanya.
Jaffe berkata sonobuoys adalah setepat pengesan pinger yang sudah mengesan isyarat lain yang dianggap petunjuk kepada lokasi pesawat yang dicari.
Pada Rabu, Komodor Peter Leavy berkata setiap P3 dapat melepaskan 84 buoy sekaligus dalam satu corak.
Walaupun Leavy berkata buoy tersebut mempunyai sensor yang dapat digerakkan pada 1,000 kaki bawah permukaan laut, sumber yakin teknologi itu sudah pun diuji pada kedalaman yang lebih tinggi.
Bilakah pasukan pencari akan mendapat isyarat yang secukupnya untuk mencari kotak hitam itu?
Ia bukan soal berapa maklumat yang didapati apabila sedang mencari peralatan yang mungkin 2.8 batu di bawah permukaan laut di dalam mendapan berpuluh menter.
Ini kerana mereka boleh menggunakan 'triangulation' dengan penemuan mereka, mencari di kawasan yang bertindih dalam usaha mengecilkan kawasan pencarian.
Oleh itu, para penyiasat akan terus mencari sehingga tiada kemungkinan bateri yang menghidupkan suluhan pengesan masih hidup lagi.
Dan bilakah itu akan terjadi?
Suluhannya dijamin akan berfungsi selama 30 hari tetapi mungkin dapat bertahan selama 35 hari, maknanya pada Sabtu, menurut Chris Protale, pengarah Dukane Seacom, pengilangnya.
Walaupun begitu, Houson berkata pada Rabu bahawa isyarat-isyarat yang didapati seperti semakin lemah.
Bagaimanakah pengesanan kemungkinan pinger semalam lain daripada empat pengesanan sebelum ini?
Empat pengesanan sebelum ini dikesan dengan peralatan yang daripada kapal, tetapi ini dikesa daripada buoy sonar yang dilepaskan ke dalam laut dan tenggelam sedalam 1,000 kaki.
Di sana ia lebih senang untuk mengesan sebarang isyarat daripada dasar laut yang akan dihantar kepada pesawat yang di udara di atasnya.
Bagaimana bunyinya lain daripada apa yang digunakan buoy dan yang digunakan daripada kapal?
Kerana sonobuoys beroperasi secara senyap, sebarang isyarat yang mereka kesan kurang kemungkinannya tercemar dengan bunyi ambien atau bunyi bising yang tidak berkaitan, kata laporan CNN tersebut.
Adakah pakar pasti isyarat yang dikesan memang daripada pinger?
Mereka agak pasti, walaupun tidak yakin sepenuhnya, bahawa isyarat yang dikesan pengesan pinger adalah benar. Satu daripada dua isyarat yang dikesan pada Selasa berada pada 33.3331 kHz dan berdenyut pada selang 1.106-saat, menurut Houston yang memetik analisis data yang dikaji oleh pakar di Pusat Analisis Akustik Australia.
Itu hampir sama dengan standard frekuensi 37.5 kHz yang digunakan perakam, tetapi bezanya tidaklah begitu mengejutkan, memandangkan ketidaktentuan cara bunyi bergerak dalam air. "Mereka percaya isyarat itu konsisten dengan spesifikasi dan deskripsi perakam penerbangan," katanya.
Menambah kepada keyakinan pakar adalah isyarat yang dikesan sepanjang pelan laluan pesawat itu yang dikira mengikut arah tuju dan keupayaan minyak.
Dua lagi isyarat lain dikesan berdekatan pada Sabtu.
Namun penyiasat masih sedang memikirkan cara untuk mengetahui di mana isyarat tersebut dikesan pada Khamis yang dikesan buoy sonar dikaitkan dengan pinger.
Sejauh manakah pinger itu dapat dikesan?
Jarak dua batu nautikanya kurang daripada kedalaman lautan yang ia berada, itu yang membuatkan penemuan isyarat ini sangat mengagumkan.
Apa yang berlaku selepas pinger dijumpai?
Penyiasat akan menggunakan kenderaan selam automatik untuk mencari di dasar laut, kata Houston pada Rabu.
Sebenarnya di mana semua ini berlaku, dan bagaimana keadaaannya di sana?
Para pencari sedang fokus pada kawasan terpencil Lautan Hindi 2,260 kilometer utara barat dari Perth.
"Kemungkinan ada banyak ombak kuat di bawah sana, yang mungkin mengganggu serpihan," kata Leavy, ketua koordinasi sumbangan tentera kepada pencarian, pada Rabu.
"Ia dikatakan kita lebih tahu tentang permukaan bulan daripada dasar laut Bumi sendiri. Saya rasa itu memang betul."
Mengapa mereka tidak bawa lebih kelengkapan untuk percepatkan carian ini?
Kerana bunyi yang tidak dikehendaki akan menyukarkan pencarian isyarat audio. Sedangkan Ocean Shield juga meminimumkan sistemnya, menggunakan hanya kelengkapan yang perlu, menurut Houston.
"Semua yang lain ditutup."
Dan bilakah mereka pasti bateri akan kehabisan sepenuhnya?
Pencari mungkin akan menghantar keluar Bluefin-21 kapal selam automatik dengan ketepatan sonar yang lebih baik dan kemungkinan kamera untuk melakarkan dasar laur, kata Leavy.
Selepas mereka dapat kesan pinger itu, berapa lama sebelum kotak hitam itu dapat dikeluarkan?
Alat itu akan dialihkan kepada air tawar dan dikeringkan sebelum data yang disimpannya dikeluarkan, kata Schiavo.
"Kemudian mereka akan dapati di dalam perakam penerbangan itu apa yang berlaku dan apa perlu mereka keluarkan daripada bangkai pesawat untuk menyelesaikan misteri ini."
Sehingga itu, ramai keluarga penumpang seperti Amirtham Arupilai yang tinggal di Banting, sedang memegang harapan.
Anaknya S Puspanathan, 34, seorang pakar IT, sedang dalam perjalanan ke Beijing dengan pesawat MH370 untuk memulakan kerjaya baru.
"Hati saya mengatakan mereka masih lagi hidup semua penumpang masih hidup," kata Arupilai kepada CNN.
Dia dail nombor telefon bimbit Puspanathan dan mendengar mel suaranya. Dia ambil itu sebagai petunjuk anaknya pasti selamat. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan