Para peneroka bergambar bersama peguam setelah kes ditangguh mahkamah.
Peguam bagi pihak peneroka Nasar Khan Mirbas Khan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini menangguhkan kes berkenaan berikutan wujud isu-isu awal antara kedua pihak yang belum diselesaikan.
“Sepatutnya perbicaraan bermula hari ini dengan keterangan daripada saksi, tetapi tadi berlaku sedikit pertikaian dan perselisihan faham antara pihak plaintif dan defendan dari segi isu-isu awal yang belum selesai.
“Pada mulanya hakim mencadangkan diselesaikan menerusi lisan sahaja tetapi dibantah oleh pihak defendan supaya dibuat secara bertulis.
“Jadi hakim menetapkan tarikh perbicaraan baru 27, 28 dan 29 Ogos juga 15, 17, 18 dan 19 September ini di Mahkamah Tinggi Kuantan,” jelasnya.
Kelmarin, hakim yang sama memutuskan pendengaran kes bermula hari ini selama tiga hari.
Kes mula difailkan pada 20 September 2012, seramai 550 peneroka dari 9 Tanah Rancangan Felda Gugusan Bera berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana lebih rendah daripada gred sebenar.
Kemudian, 17 peneroka telah meninggal dunia menyebabkan hanya 533 orang sahaja yang meneruskan saman.
Selain daripada isu KPG, peneroka juga menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.
Kesemua peneroka menuntut pihak defendan membayar ganti rugi hasil penjualan sawit mereka sejak tahun 1995.
Peneroka diwakili peguam Nasar Mirbas Khan dan Diana Mat Radzai manakala seorang lagi peguam Hanipa Maidin, tidak hadir hari ini.
Felda pula diwakili oleh Datuk Firuz Hussien dari firma tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. - HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan