SPECIAL ADS

27 April 2014

'Washington tidak buli Malaysia'

Putrajaya’s credibility in MH370 search hangs over Obama visit, says report
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama  menafikan Washington membuli Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dijalankan.

Sebaliknya, beliau berkata beliau sendiri yang telah dibuli oleh partinya sendiri (Democrat) berhubung perjanjian itu selain protes terhadap perjanjian berkenaan yang lebih kepada orang takut perubahan corak perdagangan pada masa depan atau tidak mahu mengubah cara lama.

"Adalah penting bagi semua orang tunggu dan lihat apakah perjanjian (muktamad) sebelum mereka terus membuat kesimpulan," kata beliau sebagai respons kepada soalan yang Washington membuli Kuala Lumpur dalam rundingan mengenai TPPA pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pada Ahad.

Obama kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, julung kali oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh hampir 50 tahun

Beliau berkata memang difahami bahawa akan ada bantahan, protes, tuduhan konspirasi politik, yang berlaku bukan sahaja bagi Amerika Syarikat dan Malaysia, tetapi juga semua negara yang berunding.

Melihat ke hadapan ke arah memuktamadkan rundingan TPPA, beliau berkata "negara-negara dan syarikat-syarikat mesti bersedia untuk mengambil langkah seterusnya."

Obama berkata beliau percaya TPPA merupakan perkara yang tepat kerana ia mewujudkan pekerjaan dan perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negara-negara seperti Malaysia yang dalam peralihan daripada berintensif buruh kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Ia akan menjadi baik bagi negara-negara seperti Malaysia yang telah berkembang pantas tetapi berminat membuat lonjakan seterusnya kepada aspek nilai yang lebih tinggi rantaian bekalan yang benar-benar boleh meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan pembangunan," kata beliau.

Menjawab soalan mengenai perubatan mahal selepas TPPA dimuktamadkan, beliau berkata syarikat-syarikat AS telah melakukan kerja-kerja luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membuat penemuan perubatan yang menyelamatkan nyawa di seluruh dunia dan syarikat-syarikat yang telah membuat pelaburan untuk kajian itu mahukan pulangan.

Bagaimanapun, beliau berkata semua pihak dalam TPPA telah bersetuju untuk mencari jalan memastikan ubat akan disediakan untuk rakyat yang tidak mampu, dan menyifatkannya sebagai "kemanusian bersama".

"Nilai-nilai tersebut ditunjukkan dalam perbualan dan rundingan yang berlangsung dalam TPP," tegas beliau.

Najib, dalam komen sebelum itu, melahirkan keyakinan bahawa manfaat keseluruhan daripada TPPA jauh akan mengatasi kelemahan pakatan itu yang masih dirundingkan oleh 12 ekonomi lingkungan Pasifik walaupun akan terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan.

Beliau berkata Washington memahami sensitiviti domestik Malaysia seperti yang dibuktikan semasa rundingan dua hala dengan Obama sebelum ini.

Obama juga berkata TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia komited kepada proses mendapatkan persetujuan rakyat berhubung TPPA.

"Kami menyertai TPP atas kehendak sendiri. Kami tidak dibuli," kata Perdana Menteri sambil menambah bahawa Malaysia komited ke arah perdagangan bebas dan  telah memeterai 13 perjanjian FTA berasingan dengan negara lain setakat ini.

Beliau berkata Malaysia yakin terhadap perdagangan bebas dan memahami manfaatnya seperti meningkatkan perdagangan, mewujudkan kekayaan dan pekerjaan.

"Akan ada menang dan kalah dalam proses itu tetapi secara keseluruhan manfaat ini bagi bagi kita menunjukkan kepada rakyat di Malaysia bahawa manfaat akan melebihi keburukan FTA," kata beliau.

Najib berkata Malaysia komited untuk mendapatkan persetujuan rakyat sebelum menandatangani TPPA dengan melibatkan diri dengan orang ramai dan membentangkannya kepada Parlimen.

"Kami sedang berusaha dalam soal sensitif dan cabaran dan cuba untuk menyelesaikannya dengan hasrat untuk memuktamadkanya dalam masa terdekat," kata beliau.

Najib berkata perdagangan dua hala antara Amerika Syarikat dan Malaysia pada purata sekurang-kurangnya US$35 bilion setiap tahun dari 2010 hingga 2013.

Tahun lepas, Amerika Syarikat adalah sumber terbesar pelaburan asing Malaysia, melabur US$1.9 bilion di Malaysia dan mewujudkan hampir 8,000 pekerjaan baru.

Bernama

Tiada ulasan: