SPECIAL ADS

14 April 2014

Jauhilah sikap yang hina dalam Islam - Haron Din

Kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din untuk merasmikan pecah tanah dan kenduri kesyukuran pembinaan Masjid Abu Ubaidah Ibni al-Jarrah, Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan semalam semata-mata untuk melihat sendiri adakah syiar Islam terhalang di sebuah negeri yang diterajui DAP.

Walalupun baru sehari keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) selepas mendapat rawatan di situ, beliau menggagahi diri untuk datang demi perjuangan Islam dan tidak mahu menghampakan permintaan penduduk Taman Bandar Tasek Mutiara.

Jelas kini, apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya Pulau Pinang diketuai, Lim Guan Eng, seorang bukan Islam semuanya fitnah sahaja. Surau dan masjid diimarahkan sebaik mungkin melebihi sewaktu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).(Dr Harun Din sedang menunjukan sesuatu kepada Pengerusi Masjid, Haji Yusrin)

Masjid Abu Ubaidah Ibni al-Jarrah yang terletak di Taman Bandar Tasek Mutiara bakal menjadi mercu tanda baru di Selatan Seberang Perai setahun akan datang.  Selain berfungsi sebagai rumah ibadah, masjid itu akan berfungsi sebagai 'rakan penduduk'.
Masyarakat setempat boleh memanfaatkan dengan berbagai aktiviti kerana turut dibina dewan orang ramai yang menempatkan dua gelanggang badminton, dewan seminar, rumah tumpangan serta sebuah bangunan bagi pelajar tahfiz.

Pembinaan masjid dengan kos RM100 juta ringgit itu adalah hasil sumbangan orang ramai serta individu.                   .

Semasa berucap Harun Din berpesan pada masyarakat dan Ahli Jawatankuasa agar tidak terjebak dengan sikap hasad dengki. Hal ini kerana sikap sedemikian boleh meruntuhkan perpaduan yang dicipta dan melunturkan semangat setiakawan ketika berusaha secara kumpulan.

"Jauhilah sikap yang hina dalam Islam. Sifat hasad dengki boleh hilangkan tali persaudaraan, perpaduan yang jitu akan luntur walaupun pernah satu ketika seronok berusaha membangunkan sesuatu yang berguna pada ummah," ujarnya.

Katanya, jika sikap tersebut menular, apa yang dirancang tidak menjadi kerana asyik bercakaran sesama sendiri.

Pengerusi masjid berkenaan, Haji Mohd Yusrin Abdullah semasa berucap menyatakan rasa syukur kerana kerja sama yang tinggi, membuatkan apa yang dihajati bakal menjadi kenyataan. (Gambar lakaran masjid yang bakal dibina)

"Kita mahu masjid kita dimakmurkan dengan aktiviti yang mendatangkan kebaikan pada semua masyarakat.  Bukan sahaja kepada Islam bahkan bukan Islam," katanya.

Ekoran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Harun Din meminta Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon melakukan upacara pecah tanah.

Turut hadir bersama ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang merangkap Adun Sungai Bakap, Datuk Makhtar Shafie. Exco Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim, Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Sazali Husain serta Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan(SPS), Rohani Abdullah. HD

Tiada ulasan: