SPECIAL ADS

14 April 2014

Rayuan panjangkan hukuman penjara Anwar jelas bermotifkan politik, kata LFL

Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar cubaan Pejabat Peguam Negara merayu untuk melanjutkan hukuman penjara ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Eksekutif LFL Eric Paulsen berkata rayuan yang dibuat itu jelas melanggar polisi pendakwaan agensi itu yang jelas menyatakan perlu dijalankan secara adil, telus dan bertujuan melindungi kepentingan awam.
“Rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun Anwar jelas sengaja direka, bermotifkan politik dan sewajarnya mendapat kritikan pelbagai pihak.
“Apabila rayuan ini berkaitan kes Anwar, Pejabat Peguam Negara akan bertindak ekstrim, berniat jahat dan kejam bagi memastikan kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak tergugat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Putrajaya cuba menyukarkan lagi keadaan Anwar dengan memfailkan rayuan balas untuk meningkatkan lagi hukuman penjara lima tahun terhadap ketua pembangkang itu yang didapati bersalah atas kes liwat bulan lepas.
Peguamnya, Karpal Singh berkata rayuan Anwar terhadap keputusan dan hukumannya seperti akan dipercepatkan untuk Mahkamah Persekutuan, memandangkan pejabat pendaftar mahkamah sudah pun menghantar sebahagian daripada rekod rayuannya.
"Selepas meneliti rekod rayuan, saya dapati pihak pendakwa raya membuat rayuan untuk meningkatkan lagi hukuman penjara Anwar," katanya.
Paulsen berkata Pejabat Peguam Negara seharusnya mewakili rakyat secara keseluruhannya dalam keadilan dan tidak disalahgunakan demi kepentingan politik BN.
Katanya, perilaku Pejabat Peguam Negara yang tidak bebas dan bermotifkan politik perlu dipandang serius kerana kesalahan tertuduh tidak ditentukan oleh jabatan itu.
“Maka kami menggesa Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap Anwar dan Karpal serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap peranan sebenar Jabatan Peguam Negara yang bermaruah, adil dan bebas daripada campur tangan politik,” katanya.
Dalam kes Anwar pula, Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada pemimpin PKR itu, selepas membenarkan rayuan Putrajaya untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang pada mulanya membebaskan beliau.
Anwar yang juga merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh, berdepan risiko kehilangan kerusi Parlimennya dan mungkin akan kecundang dalam kerjaya politiknya jika mahkamah tertinggi itu menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seorang wakil rakyat boleh tersingkir daripada kerusinya jika disaman melebihi RM2,000 atau dipenjarakan lebih daripada setahun.
"Dalam membuat rayuan balas ini, saya percaya pihak pendakwa raya mahukan Mahkamah Persekutuan untuk mengenakan masa penjara lebih daripada lima tahun. Menyebat Anwar memang tidak akan terjadi kerana beliau sudah 66 tahun," kata Karpal. TMI

Tiada ulasan: