Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) diarahkan menghubungi Kerajaan Thailand untuk menggunakan teknologi pembenihan awan dikenali “The Royal Rainmaking Technology” bagi mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata teknologi itu bagi memastikan usaha pembenihan awan yang dijalankan berjaya menghasilkan hujan di kawasan dikehendaki, terutama di Empangan Sungai Selangor.
Abdul Khalid berkata, keputusan ini dibuat selepas mesyuarat semalam bersama LUAS, JPS, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta empat syarikat konsesi.
“Kerajaan Negeri mengkaji meneroka air bawah tanah yang berpotensi menghasilkan air mentah antara 300 hingga 400 Juta Liter Sehari (JLH) sementara menunggu projek HORAS yang akan siap Julai 2015,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kolam takungan air bawah tanah ini disediakan dengan mengambil kira keadaan musim kering pada masa akan datang di mana pada ketika musim kering yang teruk dan berpanjangan, air permukaan seperti air sungai akan berkurangan.
“Kita menjangkakan semua usaha itu dapat menghasilkan kira-kira 1,000 JLH air mentah dan jika petunjuk pelaksanaan positif dalam tempoh seminggu, Kerajaan Negeri bersedia mengkaji semula keputusan catuan air.
“Catuan diteruskan kerana paras air di empangan utama iaitu Empangan Sungai Selangor masih di bawah kritikal dan air ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari jika catuan tidak dilakukan,” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata rakyat agar memahami situasi ini dan menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menghadapi persediaan menghadapi musim kering yang dijangka lebih teruk dan berlanjutan.
“Kerajaan Negeri juga berharap pihak tertentu tidak memanipulasi keadaan ini kerana kekurangan air disebabkan faktor cuaca manakala hujan yang diterima belum cukup untuk menambah kapasiti air di empangan,” kata Abdul Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan