SPECIAL ADS

15 April 2014

Kelemahan isu keselamatan gambaran kerajaan lemah

Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata isu keselamatan perlu diberi penekanan utama kerana ia mencerminkan kekuatan pentadbiran sesebuah negara.

Katanya, kerajaan akan dianggap lemah jika terdapat kelemahan dalam soal keselamatan.

“Jika soal keselamatan tidak dijaga, orang akan cakap kerajaan lemah, itu sebabnya pemimpin perlu baiki ciri keselamatan dalam negara,” katanya pada forum bertajuk Situasi Melayu Pasca PRU13 yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, perubahan polisi yang membabitkan politik menyukarkan pegawai kerajaan untuk mempertingkat keselamatan negara.

"Pemimpin kena percaya kepada pegawai kerajaan kerana mereka tahu apa yang mereka perlu buat. Mereka jaga keamanan dan keselamatan kalau ubah polisi mereka kena ikut," katanya.

Musa berkata, perkara itu pernah dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet ketika beliau masih lagi menjadi ketua polis negara.

"Polisi diubah kerana hendak menggalakkan pelancong datang ke negara ini, maka mereka tidak perlu menjalani peperiksaan ketat, tetapi kalau pelancong bawa RM1,000 bagi saya itu bukan melancong.

"Situasi ini berbeza di Amerika Syarikat. Apabila pergi ke sana, saya terpaksa buka jaket untuk pemeriksaan, tetapi di Malaysia banyak polisi diubah untuk memudahkan pelajar luar negara di kolej swasta dan pekerja asing," katanya.

Dalam forum itu, Musa turut mendakwa demostrasi jalanan yang dibawa oleh pembangkang merupakan budaya barat.

Katanya, segala idea dan strategi demostrasi jalanan yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan ditulis dalam sebuah buku penulis barat.

"Dalam buku tersebut segalanya mengenai demostrasi jalanan diterangkan, bagaimana untuk menjatuhkan kerajaan. Contohnya seperti berlaku di Mesir. Apa yang terjadi dengan insiden Arab Spring,” katanya ketika menjawab soalan peserta forum itu.

Mengulas mengenai kelemahan parti Umno dan Barisan Nasional dalam menawan hati pengundi, Musa membandingkan pemimpin kerajaan pemerintah dengan pembangkang.

Katanya, sikap pemimpin Umno perlu diubah dan kerap turun ke peringkat akar umbi supaya lebih dekat dengan rakyat.

"Saya berkata begini bukan kerana saya menyokong pembangkang, tidak saya bukan pembangkang walaupun ada yang tuduh saya begitu.

"Namun hakikatnya pemimpin perlu lebih berhubung dengan akar umbi, kerana kita lihat pembangkang masuk ke kawasan guna basikal tetapi mereka pakai kereta besar, mewah. Persepsi itu yang perlu diubah," katanya. 

Tiada ulasan: