Seperti kebanyakan masyarakat di dunia yang tersentuh dengan kehilangan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS), masyarakat Melayu di Perth yang berjumlah 20,000 orang menaruh harapan semoga pesawat itu segera ditemui bagi mengakhiri penantian anggota keluarga penumpang dan kru pesawat.
Mereka berkata anggota keluarga harus membina kekuatan semangat melalui sokongan masyarakat dari seluruh dunia dan hakikat bahawa isyarat ‘ping’ di bawah permukaan laut adalah konsisten dengan isyarat yang terpancar dari kotak hitam yang dikesan di kawasan pencarian di barat laut Perth, di selatan Lautan Hindi.
“Kami berdoa semoga usaha pencarian akan berhasil menemui pesawat tidak lama lagi kerana misi pencarian sudah memasuki hari ke-36 sekarang,” kata perunding teknologi maklumat kelahiran Johor Baharu, Hashim Mohamad, 51, kepada Bernama.
Bapa dua anak yang menetap di Perth sejak 36 tahun lalu itu berkata beliau turut berkongsi kesedihan dan penantian bersama anggota keluarga berhubung pencarian melibatkan pelbagai negara bagi pesawat Boeing 777-200ER itu sejak awal bulan lepas.
Penerbangan MH370 membawa 239 orang hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari sama.
Bagi pengusaha restoran Makan Makan, Ahmad Norly Hassan, 48, penantian yang begitu lama bagi merungkai misteri kehilangan MH370 sudah tentu tidak tertanggung anggota keluarga.
“Saya berharap pengesanan beberapa isyarat yang berpotensi seperti dilaporkan media akan menjadi sumber harapan untuk mereka,” kata Ahmad Norly yang membuka restoran itu selepas memperoleh ijazah dalam jurusan kewangan daripada University of Western Australia pada 2000.
Berasal dari Terengganu, Ahmad Norly berkata beliau kadang kala menganjurkan majlis bacaan Yasin dan doa selamat semoga dipermudahkan usaha pencarian MH370 bagi mengakhiri episod itu.
“Kami juga memasang papan putih di restoran untuk membolehkan pelanggan melahirkan sokongan dan harapan bagi kejayaan usaha pencarian MH370,” kata Ahmad Norly.
Presiden Persatuan Melayu Australia Barat, Rahmah Aziz, 60, berkata ketika doa dan harapan mereka adalah bersama anggota keluarga penumpang pesawat, pasukan mencari MH370 sebenarnya adalah wira yang tidak didendang dalam episod menyayat hati itu.
“Kami terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka atas usaha yang berbahaya dan tanpa mengenal penat,” kata Rahmah yang menetap di Australia selama 40 tahun.
Rahmah, yang berasal dari Singapura, berkata allahyarham suaminya menubuhkan persatuan itu pada 1984 untuk mengekalkan warisan budaya Melayu selain menyatukan masyarakat Melayu di Perth.
Usaha mencari yang disertai pelbagai negara dikerah susulan kehilangan MH370, mula-mula di Laut China Selatan sebelum beralih ke Selat Melaka, Laut Andaman dan sekarang di selatan Lautan Hindi.
Analisis data satelit oleh Syarikat Telekomunikasi United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat bahawa Penerbangan MH370 telah “berakhir di selatan Lautan Hindi”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan