SPECIAL ADS

14 April 2014

Antara Putrajaya dengan kisah pengembala kambing dan serigala

Apabila 54% rakyat Malaysia teguh dengan pendirian bahawa regim Barisan Nasional (BN) menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat MH370 berdasarkan kajian Merdeka Center maka itu petandanya Putrajaya sedang menggelupar dengan sindrom hilang kepercayaan dalam kalangan rakyatnya sendiri.
Apakah bentuk kejujuran atau ketelusan boleh diharapkan daripada sebuah kerajaan yang memerintah selama enam dekad dan sudah biasa dengan segala macam taktik dalam memperdaya rakyatnya?
Pemotongan subsidi, kegagalan mengawal kenaikan harga barangan, Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dikurangkan kepada RM650 berbanding janji asal RM1,200, harga kereta yang hingga kini tidak nampak sebarang penurunan dan lebih teruk lagi apabila ada pemimpin BN yang melawat Antartika tetapi entah apa hasilnya pun rakyat tidak diberitahu. Apatah lagi lawatan menggunakan jet peribadi yang dibiayai oleh duit rakyat.
Lebih malang lagi apabila rakyat bakal digasak dengan cukai GST. Apa puak Putrajaya peduli dengan penderitaan rakyat. Kini Umno pula mahu melatih 500 penceramah untuk teruskan legasi penipuan dan pembohongan mereka dalam berbicara tentang cukai yang pasti akan memiskinkan rakyat ini. Dan lebih menarik lagi apabila Putrajaya benar-benar mahukan rakyat untuk mempercayai kata-kata mereka tentang MH370.
Apa yang rakyat dambakan adalah sebuah kerajaan yang ikhlas mahu memahami rakyat dan bukannya menjunjung tinggi para kroni dan kapitalis semata-mata. Setiap penipuan dan pembohongan yang ditaburkan kepada rakyat selama ini sememangnya berkesan dalam menguasai undi di kawasan luar bandar namun itu tidak bermakna bahawa masyarakat antarabangsa juga akan termakan tipu daya Putrajaya kali ini. Inilah kegagalan yang amat mengaibkan buat sebuah kerajaan yang selama ini bercakap megah kononnya merekalah kerajaan yang terbaik di dunia!
Realitinya, BN seharusnya belajar untuk bersikap jujur, belajar untuk bercakap benar dan lebih penting lagi belajar untuk hargai rakyat. Kini rakyat Malaysia dan antarabangsa memandang puak Putrajaya ini seperti si pengembala kambing yang perdaya orang kampung semata-mata untuk hiburkan hatinya yang kebosanan. Bukan sekali tetapi dua kali mereka tertipu tetapi ketika serigala tersebut benar-benar membaham kambing pengembala berkenaan, tiada seorang pun penduduk membantunya kerana permainkan kepercayaan yang mereka letakkan pada diri pengembala tersebut.
Begitu jua kisah regim BN, perdana menteri yang disindir 'pengecut politik', kata-kata sepupunya tentang MH370 yang masih dipertikaikan oleh masyarakat dunia serta satu demi satu kelemahan Putrajaya dalam kendalikan krisis MH370 ditelanjangkan oleh media asing, rakyat Malaysia sudah bosan mahu mempertahankan sebuah kerajaan pembohong kerana sekali pembohong tetap pembohong selamanya.

Edwin Michael - Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: