SPECIAL ADS

28 April 2014

Syarikat carigali Australia percaya mungkin menemui pesawat MH370

Operasi pencarian GeoResonance meliputi kawasan seluas 2,000,000 kilometer bagi kemungkinan nahas berlaku, menggunakan imej yang diperoleh daripada satelit dan pesawat. - Gambar Reuters, 28 April, 2014.
Hampir dua bulan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang tanpa sebarang kesan, hari ini sebuah syarikat penerokaan Australia mendakwa mengesan bangkai pesawat, lapor The Star Online.
Portal berita itu melaporkan sebuah syarikat berpangkalan di Adelaide, GeoResonance memberitahu ia mengesan kemungkinan bangkai pesawat malang MH370 di Teluk Bengal, 5,000km dari lokasi pencarian dijalankan iaitu di selatan Lautan Hindi dekat Perth, Australia.
Ia berkata bahawa pencarian mereka terhadap Boeing 777-200ER bermula pada 10 Mac.
Operasi pencarian GeoResonance meliputi kawasan seluas 2,000,000 kilometer bagi kemungkinan nahas berlaku, menggunakan imej yang diperoleh daripada satelit dan pesawat, dengan ahli saintis syarikat menumpukan usaha mereka di utara lokasi terakhir MH370 diketahui, dengan menggunakan lebih 20 teknologi untuk menganalisis data termasuk reaktor nuklear, lapor The Star Online.
"Teknologi yang kami gunakan direka untuk mencari peledak nuklear, kapal selam. Pasukan kami di Ukraine memutuskan kita perlu mencuba dan membantu," kata jurucakap syarikat, David Pope kepada portal berita.
Pope dilaporkan berkata, GeoResonance membandingkan penemuan mereka dengan imej yang diambil pada 5 Mac, tiga hari sebelum MH370 dilaporkan hilang – dan mereka tidak menemui apa yang dikesan di tempat itu.
"Bangkai itu tidak ada sebelum kehilangan MH370. Kami tidak mengatakan secara pasti ia adalah MH370, bagaimanapun ia adalah pentunjuk dan kami berasa siasat lanjut diperlukan," kata beliau.
The Star Online juga melaporkan seorang lagi jurucakap GeoResonance, Pavel Kursa berkata, beberapa elemen yang terdapat dalam kapal terbang komersial dikesan di kawasan Teluk Bengal.
"Kami mengenal pasti unsur-unsur kimia dan bahan-bahan yang membentuk Boeing 777... ia adalah aluminium, titanium, tembaga, aloi keluli dan bahan-bahan lain," kata Kursa dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh saluran berita Australia, 7News .
Pesawat MH370 hilang dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. TMI

Tiada ulasan: