SPECIAL ADS

21 April 2014

MH370 – Pesawat mungkin mendarat, dedah penyiasat antarabangsa

Pasukan penyiasat antarabangsa dilaporkan sedang melihat semula kemungkinan bahawa penerbangan Malaysia Airlines pesawat MH370 mungkin mendarat di satu lokasi tertentu dan tidak berakhir di Lautan Hindi.

Laporan New Straits Times yang memetik satu sumber tidak dinamakan menyebut, ia merupakan antara kemungkinan baru yang sedang diteliti.

Ia memandangkan pencarian yang dijalankan sehingga hari ini masih belum menemui sebarang serpihan pesawat, lapor akhbar itu.

Sumber-sumber yang tidak dinyatakan itu juga menyebut, pesawat tersebut juga mungkin terhempas di satu lokasi terpencil.

Bagaimanapun, pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-45 hari ini masih perlu diteruskan, kata sumber tersebut dalam laporan NST.

Selain itu, pasukan penyiasat juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan lebih banyak aset dalam pencarian, dan meliputi kawasan lebih luas di Lautan Hindi.

Menurut laporan berkanan, pencarian tersebut mungkin dijalankan di kawasan yang salah.

“Kita mungkin terpaksa berkumpul semula untuk melihat kemungkinan ini jika tiada hasil positif dalam tempoh beberapa hari lagi… tapi pada masa sama, pencarian di Lautan Hindi mesti diteruskan.

“Sangkaan bahawa ia mendarat di satu tempat itu tidak mustahil kerana kami masih belum menemui sebarang serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370.

“Bagaimanapun, kemungkinan bahawa terdapat negara tertentu menyembunyikan pesawat tersebut ketika lebih 20 negara mencarinya nampak tidak masuk akal,” kata sumber tersebut seperti dipetik NST.

Sumber berkenaan turut menimbulkan kesangsian terhadap pengiraan saintifik ke atas data komunikasi satelit – yang memberi kesimpulan bahawa penerbangan tersebut berakhir di Lautan Hindi.

“Satelit komunikasi hanya dimaksudkan untuk komunikasi… namanya itu sendiri menjelaskannya.

“Penyiasat terpaksa mengguna algoritma untuk mengira lokasi terakhir MH370 yang diketahui kerana tiada sistem GPS selepas transponder pesawat dimatikan 45 minit dalam penerbangan,” kenyataan sumber itu dipetik. – Malaysiakini

Tiada ulasan: