Luahan Maira Elizabeth Nari merayu kepulangan bapanya yang hilang bersama penerbangan MH370 dalam akaun Twitter menyentuh hati orang ramai, lagi-lagi tulisan "Bapa, Liverpool sedang menang. Cepat pulang tonton perlawanan! Bapa tidak pernah terlepas tonton perlawanan."
Kata-kata menyentuh hati itu mengundang simpati daripada orang ramai, malah kelab bola sepak Inggeris tersebut juga turut bersimpati dan memberi kata-kata semangat kepada Maira.
"Keluarga saya, keluarga anak kapal dan penumpang merasakan mereka masih hidup dan bersembunyi di suatu tempat. Terdapat kemungkinan, jika kamu tanya saya," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Walaupun saya masih berharap, saya juga bersedia untuk hadapi kesudahan yang paling teruk," kata Maira.
Dia percaya Tuhan menjaga semua orang dalam pesawat tersebut dengan selamat.
"Daripada-Nya (Tuhan) saya dapat kekuatan. Hanya Tuhan jawapan yang saya boleh beri kepada anda.
"Ibu saya adalah inspirasi saya. Tidak guna berfikiran negatif kerana saya perlu kuat, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk ibu dan adik saya. Saya perlu," katanya.
Maira berkata tidak akan menolak nasib yang menimpa pesawat hilang tersebut, harapannya adalah satu-satunya yang beliau dapat daripada usaha yang dijalankan untuk menjejak pesawat hilang itu ialah kejayaannya.
Maira masih ingat dengan jelas sebelum pesawat Boeing yang dalam perjalanan ke Beijing itu hilang, iaitu 16 hari selepas ulangtahun ke-49 bapanya.
"Saya masih ingat kami sambut ulangtahun bapa. Ia sangat istimewa kerana kami belikan hadiah dan kek untuk bapa menggunakan wang sendiri yang diperoleh daripada kerja sambilan saya.
"Senyuman di wajahnya sangat bermakna," kata Maira.
Air mata berlinangan sebaik Maira terkenang bapanya yang pulang daripada bekerja membawa buah tangan dari luar negara.
"Mengingati saat ketika bapa cuba memarahi adik saya tapi kemudian tidak tahan sehingga tergelak sentiasa menyebabkan saya menangis," kata beliau.
Walaupun cuba menanam fikiran positif, kadangkala Maira mengakui tidak dapat menahan kesedihan mengingati bapanya.
"Semua orang ada kenangan sendiri, betul? Saya tidak sedih sepanjang masa, saya sentiasa cuba sibukkan diri.
"Tapi apabila malam, saya sangat sedih," katanya.
Maira baru sahaja menerima keputusan SPM baru-baru ini dan hanya berkata ia keputusan yang "baik".
"Saya akan menyambung pelajaran bulan hadapan di Kuala Lumpur, saya akan mengambil jurusan Diploma Komunikasi Massa," kata Maira yang tidak mendedahkan universiti tersebut.
Menurut Maira, Liverpool adalah pasukan kegemaran bapanya, yang juga pasukan sama yang disukainya.
Tulisan di akaun Twitter beliau semasa perlawanan Liverpool menentang Manchester United dikongsi sebanyak 3,764 kali dan juga dikongsi Twitter rasmi Liverpool FC dan di dalam akaun Facebook.
Kelab tersebut juga membalas Tweet kepada Maira: @LFC: "@Gorgxous_ Just to let you know that we are thinking of your father & all those still missing from flight #MH370 Be strong. YNWA".
Sementara itu, dalam satu temubual dengan CNN pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan belum lagi bersedia untuk mengisytiharkan semua penumpang dalam penerbangan MH370 mati.
"Pada satu masa kelak saya akan umumkannya, tetapi sekarang saya rasa saya perlu mengambil kira perasaan keluarga terdekat - dan sebahagian daripada mereka berkata secara terbuka tidak bersedia menerimanya sehingga bukti kukuh ditemui," kata Najib kepada CNN.
Tetapi "sukar untuk membayangkan kemungkinan lain" bagi insiden itu, tambah beliau.
Pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 jet yang membawa 239 orang dipercayai terhempas di Lautan Hindi, di mana ketika ini misi pencarian besar-besaran masih berjalan bagi mencari kotak hitamnya.
Saudara-mara penumpang baru-baru ini mengecam cadangan Putrajaya untuk menimbangkan kemungkinan mengeluarkan sijil kematian penumpang MH370, walaupun sehingga hari ini tiada bukti yang kukuh ditemui. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan