SPECIAL ADS

27 April 2014

Lawatan pinggirkan China?

Presiden AS Barack Obama meninggalkan White House untuk kunjungan ke Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina dengan satu misi, imbangi kuasa Beijing tetapi jangan sampai mencetuskan kocak kecil dalam kalangan anggota serantau terhadap kuasa Asia itu.

Tetapi tidak keterlaluan dikatakan bahawa, Obama sudah mula "menjolok sarang tebuan" seawal lawatannya di Tokyo apabila secara tersirat memberi sokongan padu kepada sekutunya Shinzo Abe apabila merujuk kepada pertikaian dan tuntutan di pulau dikenali Diaoyu, juga Senkaku.

Melindungi sekutu
Kata Obama tanpa menamakan negara pilihan Washington, sudah pasti negara itu campur tangan sambil mengulangi komitmen dan ikrar melindungi sekutu seandainya perebutan pulau itu tidak berakhir dengan baik.

"Adalah perlu isu ini diselesaikan secara aman dan sudah pasti pertikaian dan perebutan pulau membabitkan Jepun dilindungi perjanjian keselamatan AS-Jepun,'' kata Obama semasa sidang media bersama di Tokyo selepas pertemuan dengan Abe.

Apa yang menarik, menyusuli kenyataan itu ialah reaksi China, yang memperlihatkan ketegasan gergasi ekonomi Asia itu mempertahankan bahawa pulau yang direbut bersama Jepun itu adalah milik mereka.
Sejak awal, pertikaian di sepanjang Laut China Timur membayangi lawatan Obama ke empat buah negara Asia sehingga 29 April ini, dan bukannya usaha Washington memperkukuhkan jalinan hubungan ekonomi dengan negara anggota Asia.

Perebutan pulau
Pemerhati melihat, dalam keseluruhan lawatan Obama, dibuka lembarannya dengan Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan ditutup di Filipina, kesemuanya ada pertikaian bertindih dengan China. Perebutan Spratly misalnya, Filipina antara yang paling kuat mempamerkan tentangan ke atas China. Namun itu dapat difahami kerana di belakangnya ialah Amerika Syarikat. Begitu juga, Malaysia turut menuntut gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, China juga turut bersama dalam tuntutan itu.

Manakala, Korea Selatan, pula, Obama singgah kerana kaitan Beijing dengan Pyongyang, seteru Seoul dalam isu nuklear. Tetapi, persoalannya bagaimana dalam konteks itu, dengan kesemuanya ada penglibatan China, tetapi dipinggirkan dalam jelajah Presiden negara Uncle Sam itu?

Kesemuanya makin jelas menampakkan kebimbangan terhadap kebangkitan China dengan pelbagai usaha dilakukan Amerika supaya kekuatan negara itu tidak akan menyainginya. Jangan dilupakan sebelum ini, Washington mengambil berat terhadap perbelanjaan ketenteraan China supaya tidak menjadi besar dan boleh mencetuskan perlumbaan senjata di rantau Asia Timur.

Pengaruh China
Kepesatan perkembangan China ini juga membawa kepada peningkatan kedudukan pengaruh budayanya, lebih-lebih lagi bahasanya yang ditampilkan sebagai yang paling banyak digunakan oleh manusia. Kebimbangan dan kekaguman terhadap kebangkitan China ini mengingatkan kembali suasana yang serupa ketika Barat memerhatikan kepesatan ekonomi Jepun pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Malah mereka mula bimbang bahawa Jepun akan muncul sebagai kuasa dunia baru di kalangan negara-negara demokratik dan mengamalkan pasaran bebas.

Kini Jepun tidak lagi dibimbangi akan mengatasi Barat. Negara itu sudah lama membeku dan kebimbangan yang muncul pada tahun-tahun 60-an dan 70-an yang walaupun diluahkan dalam banyak buku ternyata hanya andaian.

Kini kebangkitan Jepun sebagai kuasa besar baru mengamcam AS dan Eropah sudah tidak lagi timbul. Yang ada sekarang ialah China.

Dalam menghadapi kebangkitan China, Washington kelihatan mencari negara-negara lain untuk dijadikan pengimbang. Calon jelas bagi tujuan ini ialah Jepun. Secara politik, kedudukan Jepun sebagai pengimbang China mudah diperkirakan tetapi kaedah yang sama tidak boleh dilakukan bila dikaitkan tentang ekonomi.

Pertumbuhan pesat
Pertumbuhan ekonomi China amat pesat dan Jepun tidak akan dapat menandinginya. China yang mempunyai penduduk paling banyak di dunia dan sistem politik berasaskan komunisme di negara itu menjanjikan kestabilan yang lebih ampuh daripada Jepun.

Selepas Jepun, jadual lawatan membawa Obama ke Seoul dan kemudiannya ke Kuala Lumpur dan Manila. Kita boleh menjangkakan, kenyataan yang akan diberikan nanti mencerminkan pendekatan "menduga" tinggi rendah sokongan terhadap Washington.

Dalam konteks ini, keseimbangan dalam mempamerkan sokongan adalah perlu dalam kalangan anggota ASEAN khususnya menangani isu perebutan dan tuntutan di maritim atau isu nuklear. Demi kestabilan rantau, lebih molek jika entiti itu bersama-sama China untuk membangunkannya, tetapi pada masa sama mengalu-alukan pertolongan daripada Washington.

Janji Amerika Syarikat
Sudah pasti, demi memantapkan kekuatan, Amerika Syarikat berjanji untuk membantu negara Asia yang dibelenggu masalah untuk menyelesaikannya. Namun sejauh mana janji itu dikota Washington belum dapat dipastikan, tidak juga dalam lawatannya ke Asia kali ini.

Seperti komen Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Malaysia UNAM yang juga bekas duta, Datuk Redzuan Khusairi, di forum "Peralihan Paksi Amerika Kepada Asia dan Implikasinya Kepada Rantau Ini" yang memetik peribahasa Vietnam berbunyi : Jangan mengharapkan air yang jauh untuk memadamkan api" atau "Do not hope on the distance water to put up the fire." Ia wajar direnungkan seputar kehadiran Obama di Asia sehingga hujung bulan ini. Astro Awani

Tiada ulasan: