SPECIAL ADS

21 Januari 2015

Najib membisu, rakyat makin meluat

najib-razak-570x426
PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin berkata serangan yang bertubi-tubi media arus perdana terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin sehingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya menambahkan lagi kebencian rakyat kepada kerajaan.
Menurut beliau, sementara ramai yang keliru di sebalik sikap berdiam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada masa sama, lebih ramai sebenarnya yang meluat dengan cara serangan yang dilakukan keatas Daim.
“Belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada mulutnya (Najib) mengenai perkara ini, meski semua orang tahu media arus perdana adalah dibawah kawalannya,” katanya dalam entri terbaru blog beliau shahbudindotcom.blogspot.com.
Malah rakyat akan menyifatkan tindakan yang dilakukan media arus perdana terhadap Daim bukanlah cara yang betul untuk melayan bekas pemimpin yang cuba memperbaiki keadaan dalam UMNO dan negara.
Tambah beliau, teguran yang dilakukan Daim terhadap Najib sememangnya tidak dapat dielakkan kerana kepincangan dan kelemahan dalam menguruskan parti dan negara amat ketara sehingga memberi kesan kepada rakyat.
“Mahathir pernah ditegur Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein manakala Pak Lah pula ditegur oleh Mahathir tetapi kedua-dua bekas Perdana Menteri itu tidak pula melayan teguran dan kritikan itu seburuk seperti apa yang dilakukan oleh Najib ketika ini.
“Mahathir dan Pak Lah tidak takut menjawab setiap kritikan dengan hujah, Najib sebaliknya hanya berdiam diri tetapi dalam masa yang sama melakukan tindakan lain yang lebih keras terhadap pengkritiknya,” ujarnya.
Katanya, tindakan yang dikenakan terhadap Daim Zainuddin jelas menunjukkan bahawa Najib merupakan pemimpin yang tidak boleh ditegur, malah jika ada yang menegur dan mengkritik meraka akan diambil tindakan.
Jelas Shahbudin, serangan yang dilakukan keatas Daim Zainuddin jelas melebihi apa yang dilakukan terhadap parti pembangkang, kerana mereka merasai kesan politik lebih dirasai UMNO sendiri.
Sehubungan itu ,Najib perlu tampil memberi penjelasan serta berani bercakap benar bagi membuktikan beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab, kerana tindakkan sedemikian juga penting kerana ahli-ahli UMNO sendiri ingin mengetahui hakikat sebenar. FMT

Tiada ulasan: