QZ8501

KUALA LUMPUR - Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501 yang memasuki hari kelima hari ini disifatkan sukar kerana jarak penglihatan yang terhad ekoran keadaan cuaca yang kurang baik.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui Twitternya, jarak penglihatan hanya pada lima batu nautika.

Beliau sebelum itu memaklumkan pencarian yang ditetapkan untuk KD Pahang adalah di sektor 2 sementara KD Lekir dan Lekiu di sektor 4.

Abdul Aziz turut memberitahu sebuah helikopter turut disediakan KD Lekiu bagi membantu misi menyelamat mangsa.

Dalam insiden malang itu, QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).

Penumpang pesawat terdiri daripada 149 warga Indonesia, tiga Korea Selatan, masing-masing seorang warga Singapura, seorang warga Malaysia dan seorang warga United Kingdom.

Kru pesawat pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang warga Perancis. SH