SPECIAL ADS

9 Januari 2015

Ketegasan Jokowi Yang Najib Perlu Belajar Daripadanya


Sebaik dipilih menjadi Presiden Indonesia, langkah Joko Widodo  atau Jokowi yang paling menarik perhatian negara kita ialah tentang amarannya untuk menenggelamkan kapal-kapal nelayan Malaysia yang didapati menceroboh perairan negara itu.

Jokowi ketika itu dilaporkan berkata, pendekatan menenggelamkan itu didapati paling berkesan untuk mencegah pencerobohan nelayan asing daripada terus berlaku dan juga untuk menjaga kepentingan nelayannya sendiri.

Kita akan tangkap dan selamatkan dulu nelayan-nelayan yang menceroboh itu sebelum kapalnya kita letup dan tenggelamkan, demikian Presiden Indonesia daripada golongan marhaen itu dilaporkan memberi amarannya tidak lama dahulu.

Hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media, pemerintah Indonesia telah membuktikan kata-kata itu dengan meletupkan sebuah kapal nelayan tunda yang dipercayai milik Malaysia di perairan Pulau Pandan, Sumatera Utara.

Sebelum ia diletupkan, kesemua empat orang anak kapalnya daripada warganegara Myanmar telah diselamatkan terlebih dahulu dan mereka akan dihantar ke Jabatan Imigresen sebelum diibenarkan pulang.

Meskipun ada yang menganggap tindakan Indonesia itu keterlaluan tetapi Presiden Jokowi telah membuktikannya dirinya seorang pemimpin negara yang tegas dan lebih mengutamakan kepentingan rakyatnya berbanding rakyat luar.

Dilihat lemah-lembut, bertubuh kurus dan bercakap pun tidak menjerit-jerit, namun sebaliknya Jokowi telah membuktikan sikap tegasnya yang terpuji sebagai pemimpin.

Walaupun kita sebangsa dan serumpun dengan Indonesia, kita sebenarnya tidak boleh marah atau berasa hati dengan tindakan yang dilakukan oleh Jokowi itu kerana ia menunjukkan sikap dan pendiriannya yang lebih mengutamakan rakyatnya sendiri.

Sudah tentu pendirian Jokowi itu mendapat pujian daripada rakyatnya. Jika pemimpin kita pun lebih mengutamakan rakyat sendiri berbanding rakyat luar, sudah tentu juga pujian yang akh diterimanya.

Ada nilai-nilai yang perlu pemimpin kita belajar daripada ketegasn Jokowi itu. Kecuali dalam era kepimpinan Mahathir yang bersikap tegas dalam mempertahankan hak-hak negara sendiri, kepimpinan selepasnya dilihat amat lembut dengan negara asing dan juga negara jiran.

Lihat saja bagaimana ketika era Pak Lah dan Najib Razak ini dalam berurusan dengan Singapura misalnya. Kita bukan saja lembut dan sering mengalah, tetapi juga seolah-olah suka dilihat kalah dan menunduk kepada negara jiran itu.

Dengan negara besar seperti Amerika Syarikat lebih lagilah mengalahnya kita sehingga antara golf dan banjir besar pun, pemimpin kita gagal membuat pertimbangan yang mana satu keutamaan yang harus didahulukan.

Begitu juga dalam beberapa isu yang melibatkan kaum dan agama, pemimpin negara kita kerapkali gagal bertindak sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang dan keutamaan sehingga menyebabkan ketegangan kaum dan agama terus berlaku dan berulang-ulang sehingga kini.

Dengan tindakan Jokowi menunaikan janjinya untuk meletup dan menenggelamkan kapal nelayan yang menceroboh perairannya, ada nilai-nilai ketegasan yang perlu pemimpin kita, terutamanya Najib Razak, perlu belajar daripada pemmpin Indonesia yang bertubuh kurus dan berwajah kekampungan itu.

Janganlah terlalu lembut, diam, senyap dan lebih suka tidak berbuat apa-apa dalam negara yang semakin banyak masalah ini.

Mahathir berulangkali menyatakan, "jadi pemimpin mestilah tegas dan berani". Anwar Ibrahim juga menyatakan, "kalau tiada sifat berani, jangan jadi pemimpin".

Sekiranya Najib malu untuk mendengar nasihat Mahathir yang tidak lagi menyokongnya atau segan dengan kata-kata Anwar yang menjadi musuh politiknya, sekurang-kurangnya nilai ketegasan  yang ditunjukkan Jokowi ini telah menyentap hati dan perasaannya.

Shahbudin Dot Com

Tiada ulasan: