SPECIAL ADS

31 Januari 2015

Pilihan raya PBT boleh bangkitkan kuasa ketiga

Penduduk di sesebuah bandar akan tertarik dengan isu tempatan yang diperjuangkan sekiranya pilihan raya pihak berkuasa tempatan diadakan, seterusnya mewujudkan kuasa ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Februari, 2015.
Pilihan raya kerajaan tempatan boleh menghasilkan kuasa ketiga yang berperanan sebagai "check and balance" (semak dan imbang) dan menyediakan alternatif kepada membangunkan sistem dua parti, kata pemimpin kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun mereka biasanya ditolak pengundi semasa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, kerana menyokong sama ada parti pemerintah atau pakatan pembangkang, pemimpin politik berkata pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi peluang kepada parti lebih kecil bertapak.
Sementara sangat sukar bagi calon bebas menjamin kemenangan di peringkat negara, mereka berkata, parti atau individu lebih kecil mempunyai peluang lebih baik di peringkat tempatan di mana mereka boleh memperjuangkan isu setempat seperti pengangkutan awam, alam sekitar atau kebajikan haiwan yang diminati penduduk tempatan.
Mereka melontarkan pandangan ini ketika parti yang bersekutu dalam PR - DAP dan PAS - sedang berbalah berhubung isu pilihan raya PBT, yang ditentang parti Islam itu.
Pilihan raya PBT pernah diadakan di negara ini sehingga ia digantung pada Mac 1965 berikutan Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1964.
Ia akhirnya dimansuhkan sama sekali 11 tahun kemudian oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menggantikan Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960.
Sejak itu, jawatan di majlis kerajaan tempatan dilantik parti politik yang memimpin negeri tertentu.
Kerajaan DAP Pulau Pinang pernah cuba mengembalikan undi ketiga dengan membawa isu itu ke mahkamah, tetapi tidak berjaya.
Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lepas memutuskan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa menjalankan pilihan raya majlis tempatan.
Pemimpin Umno Datuk Saifuddin Abdullah (gambar, kiri) berkata, pilihan raya PBT boleh melahirkan kuasa ketiga kerana kawasan yang berbeza akan mempunyai isu berbeza, justeru menarik minat penduduk tempatan.
Sebagai contoh, katanya, jika pilihan raya tempatan diadakan di Cameron Highlands di Pahang, maka parti yang menjuarai isu alam sekitar akan mendapat banyak perhatian.
"Ya, ia isu setempat, tetapi pada masa sama, ia isu sejagat. Mereka hanya perlu menang di beberapa tempat dan boleh membentuk kumpulan dan membina tapak," katanya kepada The Malaysian Insider.
Walau bagaimanapun, bekas timbalan menteri itu tidak yakin parti alternatif tersebut boleh menjadi cukup kuat membentuk kuasa ketiga di peringkat negara.
Sebaliknya, beliau berpendapat mereka besar kemungkinan akan menyertai mana-mana gabungan BN atau PR.
Dalam memperjuangkan agenda parti itu untuk pilihan raya majlis tempatan, Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, struktur politik semasa tidak membenarkan kuasa ketiga bangkit kerana mereka tidak mampu memenangi kerusi di peringkat Parlimen dan negeri.
Ini terbukti dalam pilihan raya umum lalu di mana pertandingan berbilang penjuru antara BN, PR dan calon bebas berakhir dengan kekalahan wakil bebas.
Bagaimanapun, pilihan raya PBT akan mampu mewujudkan "persaingan sihat" di kalangan parti kecil, kata ahli Parlimen Serdang itu, mengatakan ia boleh melahirkan pergerakan hijau atau parti berasaskan isu.
"Sudah tentu, ia juga akan memberi peluang kepada mereka seperti Isma naik, dan mungkin memenangi kerusi," kata Ong, merujuk kepada kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu itu.

"Tetapi, itu sebahagian daripada proses demokrasi yang matang di Malaysia. Dan inilah sebabnya DAP berkeras mahukan pilihan raya tempatan. Walaupun PR mungkin akan kehilangan kerusi kepada mereka, itulah sebahagian daripada proses demokrasi."
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang (gambar, kanan) menegaskan, tidak seperti negara lain yang mempunyai sistem yang lebih matang, Malaysia masih muda.
Oleh itu, orang ramai mengambil masa untuk menerima kehadiran parti selain yang sedia ada sekarang.
Pilihan raya di Malaysia lebih banyak berkisar tentang personaliti, bukan tentang isu, kecuali di beberapa kawasan bandar, katanya, menjelaskan mengapa rakyat Malaysia dilihat masih keberatan menyokong parti lain.
Beliau berkata, negara yang mengadakan pilihan raya majlis tempatan menunjukkan ia akan memberi peluang kepada parti yang lebih kecil muncul dan menang kerana perbelanjaan dan kempennya lebih kecil dan terkawal.
"Saya percaya pilihan raya kerajaan tempatan perlu dilaksanakan di sini dan kerana DAP memperjuangkan ini sejak 2008, mereka perlu diberi peluang melaksanakannya di Pulau Pinang," katanya.
Beliau tidak faham mengapa ada pihak yang membantah pilihan raya PBT, kerana pada pendapatnya ia membolehkan lebih ramai pemimpin masyarakat setempat membantu penduduk dan memastikan akauntabiliti dalam perbelanjaan dan perkhidmatan majlis tempatan.
"Saya tak nampak apa masalahnya kalau kita buat pilihan raya tempatan. Walaupun saya tak boleh kata sekarang sama ada ia baik atau buruk, kita sepatutnya boleh mencubanya di Pulau Pinang," kata Tan.
Bagaimanapun, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin (gambar, kanan), ragu yang pilihan raya majlis tempatan akan melahirkan kuasa ketiga yang kuat.
"Pilihan raya PBT mungkin boleh melantik beberapa calon bebas, tetapi tidak satu kuasa ketiga. Saya masih melihatnya satu pertandingan antara BN dan Pakatan.
"Kita menggunakan sistem pilihan raya 'First past the post' yang memihak kepada sistem dua parti, melainkan jika ia ditukar kepada sistem 'Proportional representation', kita tidak mungkin akan mempunyai kuasa ketiga seperti di negara Eropah," katanya.
Beliau menambah, tidak mudah bagi sebuah kuasa ketiga yang berwibawa muncul memandangkan kebanyakan peminat politik lebih tertarik kepada BN atau PR. TMI

Tiada ulasan: