SPECIAL ADS

19 Januari 2015

'At all costs' nak kekalkan jawatan, biarpun negara hancur kerananya


Tekanan terhadap Najib untuk berundur semakin kuat kedengaran. Jika kita buat tinjaun di peringkat akar umbi amat susah mencari orang yang tidak bersetuju untuk Najib berhenti. Dikalangan ‘warlords’ dalam UMNO kini teraba-raba seolah-olah tidak mempunyai jalan lain selain dari memaksa Najib untuk bersara sahaja. Seboleh-bolehnya Najib tidak mahu bersara kerana bersara untuk kepentingan negara sudah tidak menjadi budaya dalam kepimpinan UMNO lagi.

Berlainan dari kepimpinan pra Mahathir di mana pemimpin mengutamakan perpaduan ahli-ahli parti dan rakyat. Jika pucuk pimpinan merasakan yang rakyat dan negara akan berpecah kerananya, pemimpin utama itu dengan senang hati mengundurkan diri. Semasa itu keutamaan niat dan matlamat seorang pucuk pimpinan itu ialah untuk mengekalkan negara berada dalam kesejahteraan.

Hussein Onn telah mengumumkan tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan 1981 selepas sahaja beliau ditentang oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978. Dalam pertandingan itu Hussein telah mendapat kemenangan besar dan Sulaiman Palestin hanya mendapat lebih sedikit dari seratus undi sahaja dari 1200 orang perwakilan.

Tetapi apakah yang menyebabkan Hussein bertindak mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada tahun 1981 dahulu? Sebabnya ialah beliau tidak mahu UMNO itu pecah belah dan beliau telah merasakan walaupun hanya segelintiran yang tidak bersetuju dengan beliau sokongan terhadap beliau tetap tidak bulat untuk membolehkan pengekalan perpaduan dalam parti semasa itu.

Hussein mendapat tekanan dari Pemuda UMNO untuk bersara kerana isu Dato Harun Idris yang dianggap oleh ramai ahli UMNO khususnya pemuda telah sebagai satu penganiayaan terhadap Harun semasa itu. Pemuda berkeras untuk membela Dato Harun dan telah memutuskan untuk menandingi Hussein dalam pemilihan pada tahun 1978, tahun mana Husein sedang mendapatkan ‘endorsement’ sebagai Presiden parti itu setelah memangku jawatan itu sejak Januari 1976 selepas kematian Tun A Razak.

Usaha Pemuda semasa itu mendapat sokongan Timbalan Presiden secara senyap-senyap semasa itu, iaitu Dr Mahathir Mohamed yang tatkala itu sudah mahukan jawatan Presiden parti itu untuk beliau sendiri. Oleh itu pertandingan Sulaiman Palestin dengan Hussein Onn itu membuatkan Dr Mahathir berjaya mendapatkan jawatan Presiden itu lebih mudah setelah Hussein mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1981 dahulu.

Persoalannya ialah kenapa begitu mudah Hussein mengalah dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir begitu senang tanpa sebarang masalah yang membawa UMNO itu kepada perpecahan? Jawapannya mudah kerana pemimpin semasa itu hanya mahu melihat negara aman melalui perpaduan kepada parti yang memerintah, UMNO ketika itu. Hussein mahu pun Tun Razak sebelum itu tidak menganggap meletakan jawatan itu sebagai perkara yang payah untuk dilakukan kerana yang hanya ada dalam jiwa dan benak mereka hanyalah keamanan dan perpaduan rakyat dan tidak mahu melihat negara dibawa kepada arah tuju yang boleh membawa perpecahan negara.

Pemimpin semasa itu tidak memikirkan masalah keluarga dan menganggap bersara dari jawatan itu sendiri adalah pengorbanan terhadap rakyat dan negara. Mereka lebih menumpukan usaha untuk meninggalkan nama yang baik dan tidak mahu  sejarah membaca mereka sebagai seorang pembawa masalah kepada negara. Kenapa mereka mampu untuk menjiwai nilai ini? Sebabnya mudah kerana mereka tidak memikirkan laba dan keuntungan peribadi dan keluarga atau harta benda yang berbillion ringgit.

Apabila mereka berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, mereka mengambilnya sebagai kejayaan peribadi yang sangat berharga untuk dibawa mati, tanpa sebarang persoalan dan persepsi buruk semasa meninggalkan dunia ini. Mereka mengambil mencapai ‘ultimate perpaduan nasional’ itu sebagai ibadah yang dituntut agama dan bangsanya. Lagi pula mereka mahukan kehidupan yang tenang semasa waktu-waktu sisa-sisa hidup didunia ini. Mereka takutkan kepada generasi yang akan datang yang akan membaca sejarah buruk untuk mereka.

Semuanya ini sudah hilang dan tidak lagi wujud elemen mulia ini dalam kepimpinan negara. Kepimpinan sekarang dari semua pihak sarat dengan kepimpinan yang berpandukan kepada kemahuan peribadi dan kepimpinan negara begitu sarata dengan mereka yang hanya menumpukan tenaga mereka untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata.  Mereka adalah dari gulungan yang terlalu banyak kekurangan dalam diri mereka. Mereka tidak lebih dari orang ramai dibawah ini, termasuk diri saya sendiri yang hanya layaknya hanya menjadi pendukung perjuangan dan bukannya untuk menjadi pemimpin.

Itu sebabnya diantara mereka atau ahli keluarga mereka apabila sampai kepuncak mereka mengambil kesempatan untuk menggunakan apa yang ada dihadapan mereka untuk diperguna dengan habis-habisan tanpa menimbangkan moral terhadap tindakan mereka. Yang berangan selama ini untuk menjadi ‘jet setters’ akan menggunakan kesempatan untuk terbang kemerata dan seantero dunia dengan jet-jet kerajaan dan semuanya ini dibayar oleh rakyat.

Pimpinan seperti ini juga tidak mahu mengambil segala ‘accountability’ di atas segala kesalahan dalam menggunakan wang kepunyaan rakyat terhadap kononnya pelaburan untuk negara. Kerugian yang melibatkan kerugian berpuluh-puluh billion ringgit di dalam setiap kes ‘misadventure’ sudah menjadi lazim dan tidak dianggap sebagai bersalah lagi.

Mereka masih selamba melekat kepada kerusi dan jawatan yang penting negara itu. Yang masih menjadi Perdana Menteri tidak mahu dialih dan dianjak, yang menjadi Menteri Dalam Negeri tetap memberikan alasan ‘cock and bull stories’ dalam mempertahankan kesalahan moral dan politik yang mereka lakukan. Tidak ada bentuk kesalahan yang boleh membuatkan mereka mengambil ‘accountability’ dan berhenti sahaja dari jawatan sandangan mereka.

Selalunya pemimpin yang tidak berkemampuan dan lemah tetapi masih ingin untuk berjawatan penting itu adalah mereka dari jenis yang tebal kulit mukanya. Itulah ‘attribute’ penting dalam kepimpinan hari ini baik dari pihak kerajaan mahupun dari pihak yang membangkang.

Tidak ada lagi pimpinan yang terasa yang mereka perlu meletakan jawatan kerana kekal dengan jawatan mereka itu akan memecah dan merosakan negara sehingga ia tidak dapat diperbetulkan lagi.

Mengikut dan mencontohi Hussein Onn tidak menyelerakan bagi pemimpin hari ini kerana tidak dapat kepentingan dan laba yang bertimbun. Kadangkala hendak salahkan orang lain pun susah juga, kerana anak kepada Hussein itu sendiri pun tidak mahu menghargai jiwa dan semangat bapanya itu.

Kita pinjam kata-kata Najib yang sangat popular, ‘at all costs’ kerusi di Putrajaya itu masti dikekalkan, walaupun ia menjahanamkan budaya politik yang bermoral.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: