SPECIAL ADS

23 Januari 2015

Anwar bercumbu-cumbuan dengan Najib – Kadir Jasin

anwar najib2

PETALING JAYA: Wartawan veteren, Datuk A. Kadir Jasin mengingatkan bahawa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan lawan yang mudah dalam tempur percaturan politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyatakan, dalam permainan dan percaturan politik semasa, Ketua Umum PKR itu diangkat sebagai watak protagonis kepada media arus perdana untuk menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin.
Jelasnya, percaturan dan cerita politik yang berlaku hari ini menunjukkan dalam politik tidak ada musuh yang kekal, dan menambah: ”Yang kekal hanyalah kepentingan bersama.”
“Kalau Anwar boleh berkasih-kasihan dengan Dr Mahathir selama 16 tahun dalam UMNO dan kerajaan, tidaklah mustahil bagi Anwar bercumbu-cumbuan dengan Mohd Najib. Kalau ini permainan catur, Anwar pasti tahu Mohd Najib lebih mudah dimakan berbanding Dr Mahathir dan Daim,” tulisnya dalam entri terbaru blog kadirjasin.blogspot.com.
Beliau mengulas faktor politik yang menyebabkan seorang lagi wartawan veteran yang juga bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengambil keputusan berhenti draipada menulis mengenai politik semasa negara akibat ditekan dan diugut oleh pencatur perang saraf bagi Perdana Menteri.
Kadir juga mengingatkan tindakan media arus perdana kawalan pemerintah menyerang Daim merupakan strategi luar biasa yang boleh menjadi senjata makan tuan.
Katanya, dalam keadaan sekarang Anwar telah termasuk dalam perangkap perang saraf apabila beliau berperang kepada regu kuatnya selama berada dalam UMNO dan kerajaan.
”Jadi melaga-lagakan bekas ‘tiga sahabat’ itu adalah strategi bijak,” kata beliau, dan menambah, ”kemungkinan wujud hasrat tersirat dan persefahaman belakang tabir berbentuk ‘quid pro quo’ antara Mohd Najib dan Anwar memandangkan kedua-dua mereka mempunyai ‘isu-isu’ yang mungkin boleh dirungkaikan atau, setidak-tidaknya pun, dikurangkan impaknya kalau mereka saling bantu membantu.”
Kadir menjelaskan, Mohd Najib bertindak balas terhadap Dr Mahathir dan Daim yang sebelum ini mengasaknya secara bertubi-tubi sebagai Perdana Menteri, suami dan Presiden UMNO.
Katanya, Perdana Menteri menukar strategi perang saraf selepas pendekatannya berdiam diri tidak membantu meredakan serangan kedua-dua bekas pemimpin parti dan kerajaan.
”Premis mereka ialah ancaman terdekat terhadap Mohd Najib adalah Dr Mahathir dan Daim. Dalam masa terdekat dua orang veteran itu boleh menggugat kedudukan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
”Jadi keutamaan Mohd Najib adalah mengatasi cabaran yang berpunca daripada Dr Mahathir dan Daim. Maka menjatuhkan imej dan kewibawaan mereka adalah pilihan utama dan terbaik bagi Mohd Najib,” jelas beliau. FMT

Tiada ulasan: