SPECIAL ADS

23 Januari 2015

Kepimpinan Najib diselubungi banyak masalah

najib umno2
PETALING JAYA: Keadaan dalam UMNO dilihat semakin kritikal apabila ramai ahlinya yang tampil menegur, mengkritik serta mendesak Datuk Seri Najib Razak supaya berundur daripada terus menerajui kepimpinan parti.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin menyatakan, Presiden UMNO itu perlu merenung kambali saranan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pemilihan parti dibuat sebelum pilihan raya umum.
“Kebimbangan UMNO, Najib yang diselubungi dengan pelbagai masalah, pekung dan kudis, lebih mungkin membawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO ke lembah kekalahan berbanding menjejak mercu kejayaan dalam pilihan raya akan datang,” jelasnya dalam entri terbaru blog beliau shahbudindotcom.blogspot.com.
Menurut beliau, kata-kata perubahan yang ingin dibawa Najib sebelum ini hanyalah retorik semata-mata kerana sehingga kini tiada perubahan yang dibuat, sama ada melibatkan pengurusan UMNO, kerajaan, hubungan kaum, agama, menangani krisis, masalah berkaitan isteri, pegawai dan penasihat serta pelbagai lagi.
Malah, dakwa blogger itu, hutang negara kian bertambah, ekonomi merosot, pasaran saham dan nilai ringgit merudum, kehidupan rakyat terutama di luar bandar terjejas dan negara seolah-olah terperangkap dengan seribu satu masalah yang tidak berkesudahan.
Jelas Shahbudin, cara yang terbaik bagi Najib menguji dirinya sama ada diterima atau ditolak ahli UMNO boleh dijawab dengan mengadakan pemilihan semula dalam masa terdekat, pada masa sama parti dapat menentukan bahawa beliau layak untuk terus menerajui parti atau tidak sebelum pilihan raya umum 2018.
“Kalau dirasakan Najib akan membawa kekalahan, inilah masanya melakukan perubahan dan memilih pemimpin lain yang lebih diyakini. Pilihlah antara Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal atau sesiapa saja yang dirasakan lebih layak,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pemilihan tersebut juga merupakan ujian kepada seluruh ahli UMNO sama ada benar-benar mahukan perubahan dan keinginan menangi pilihan raya akan datang masih menjadi keutamaan.
Katanya, tindakan sedemikian perlu dilakukan Najib apabila ada suara mengatakan beliau mungkin bersatu dan ”cium mulut” dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelamatkan masa depan politik dalam UMNO.
“Ia terpancar daripada kesungguhan media arus perdana yang di bawah kawalan Najib mulai memberi ruang yang amat luar biasa kepada Anwar dan PKR untuk menyerang Tun Daim Zainuddin.
“Najib dengan Anwar tidak dianggap mustahil dan episod lawan bertukar jadi kawan adalah perkara biasa dalam politik dan percaturan kuasa,” katanya. FMT

Tiada ulasan: