SPECIAL ADS

31 Januari 2015

Pemaju Forest City sambung kerja, ikrar pelihara alam sekitar

Gambaran artis project Forest City yang membabitkan pembinaan empat pulau buatan manusia antara perairan Johor dan Singapura. – Gambar The Malaysian Insider, 1 Februari, 2015.
Gambaran artis project Forest City yang membabitkan pembinaan empat pulau 
buatan manusia antara perairan Johor dan Singapura.

Selepas terhenti tujuh bulan susulan arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pemaju projek Forest City menyasarkan memulakan semula kerja penambakan tanah bulan ini dan berjanji membelanjakan jutaan ringgit bagi memelihara dasar laut di sekitarnya, termasuk 120 ekar kawasan rumput laut yang sensitif.
Projek 3,425 ekar pembangunan bercampur bernilai RM600 bilion yang membabitkan pembinaan empat pulau buatan manusia itu mencetus kontroversi tahun lalu apabila penduduk berhampiran, pencinta alam sekitar dan Singapura membangkitkan kebimbangan terhadap kerja yang dijalankan secara besar-besaran itu.
Jun lepas, JAS mengarahkan Country Garden View Pasifik (CGPV) menghentikan semua kerja di tapak berkenaan dan mengemukakan penilaian kesan alam sekitar (DEIA) secara terperinci.
Berikutan kelulusan JAS bulan lepas, Pengarah Eksekutif CGPV Datuk Md Othman Yusof (gambar, kanan) berkata, kawasan paling selatan salah satu daripada pulau itu kini dikurangkan sebanyak satu pertiga.
Ini selepas lebih 20 model simulasi dijalankan bagi mencari bentuk dan saiz penambakan terbaik supaya memastikan impak minimum terhadap persekitaran.
Memandangkan pembangunan di Tanjung Kupang, antara barat daya Johor dan barat Singapura, terletak berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas, ia juga mengambil kira had pelabuhan yang merangkumi kawasan tempat berlabuh kapal, dan juga rancangan pengembangan pelabuhan itu bagi tempoh akan datang.
"Bentuk tanah sekarang ialah cadangan terakhir dipilih oleh JAS. Pulau satu, tiga dan empat kekal sama. Bagi pulau dua, kawasan paling selatannya dikurangkan sebanyak 30%," katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata syarikat itu tidak menyedari kehadiran rumput laut ketika pertama kali dianugerahkan tanah itu oleh kerajaan Johor, dan segera mengambil langkah menghentikan kerja penambakan apabila menyedari kesannya kepada dasar laut yang sensitif itu.
"Kami komited mengekalkan rumput laut itu, oleh itu kerja kami akan bersinergi dengan eko-sistem sedia ada," katanya.
Ini dilakukan dengan memasang tabir kelodak dua lapis sepanjang 2km bagi menghalang gumpalan dan meminimumkan pencemaran, dengan kos lebih RM10 juta.
Ia juga mewujudkan satu sistem pemantauan dalam talian pada kos RM300,000 bagi memantau kualiti air dalam masa nyata, di mana sampel air diperoleh setiap hari selagi kerja penambakan dijalankan dengan data dihantar ke pejabat JAS di Johor Baru dan Putrajaya.
Di samping itu, CGPV mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar pada 25 Januari kepada JAS dengan butiran mendalam berkenaan kerja penambakan itu.
Audit pihak ketiga secara rutin juga akan dijalankan bagi memastikan semua keperluan dipenuhi.
Selain itu, kerja-kerja mengorek tidak akan dijalankan sehingga 2033.
"Kami hanya boleh kembali bekerja selepas mendapat kebenaran. Kami harap dapat berbuat demikian selepas sambutan Tahun Baharu Cina," kata Othman.
Perayaan Tahun Baharu Cina tahun bermula 19 Februari.
Setakat ini, syarikat itu membelanjakan lebih RM3.5 juta untuk langkah tebatan bagi memelihara alam sekitar, termasuk meletakkan tabir kelodak selapis sekitar rumput laut itu.
Antara rancangan masa depannya ialah penanaman semula pokok bakau di empat pulau itu dan kamera bawah air pada rumput laut, membolehkan orang ramai menikmati pandangan dasar laut, termasuk kuda laut.
"Kami terlibat dengan NGO tempatan dan jika mereka kata apa yang kami lakukan tidak mencukupi, kami akan minta pendapat mereka untuk mencari jalan bagaimana melakukan lebih lagi bagi melindungi persekitaran," katanya sambil menambah mereka turut mendapatkan bantuan dari pakar rumput laut.
Pemberhentian kerja selama tujuh bulan bukan sahaja menyebabkan syarikat kerugian wang tetapi kos operasi, kata Othman yang bagaimanapun, menerimanya dengan tenang.
"Walaupun saiznya dikurangkan, kami okay, kami akan patuh," katanya.
Bertentangan dengan dakwaan pihak tertentu, beliau mendedahkan perairan di sekitar pembangunan itu tidak mempunyai aktiviti memancing kerana perairannya cetek, iaitu pada kedalaman sekitar dua hingga tiga meter sahaja.
Selain itu, kawasan itu merupakan sebahagian daripada kawasan had pelabuhan yang diwartakan, di mana penangkapan ikan adalah dilarang.
"Ini semua tuduhan liar. Kami tidak melihat apa-apa gangguan kepada kehidupan sesiapa di  sini. Jika orang kata mereka terjejas, kami ingin tahu dari aspek mana, dan jika ia benar, kami akan cari jalan untuk mengatasinya," katanya.
Beliau berkata memandangkan sumber pendapatan masyarakat sekitar datang daripada aktiviti akuakultur dan pertanian, syarikat itu merancang menyediakan sekolah latihan bagi penduduk tempatan untuk mencuba bidang yang berpotensi dalam sektor lain, seperti sektor perkhidmatan.
"Apabila pulau-pulau itu siap dibina, kami memerlukan tidak kurang 200,000 pekerja separuh mahir dan peluang ini boleh ditawarkan kepada penduduk tempatan terlebih dahulu," katanya.
Selain itu, apabila berlaku peningkatan aktiviti di kawasan itu, ini akan menghasilkan lebih banyak pergerakan manusia yang akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Meskipun berhadapan dengan halangan, CGPV mahu memulakan pemasaran sebelum akhir tahun selepas kembali merancang semula pelan induknya ekoran perubahan.
Tetapi pada asasnya, prinsip mewujudkan bandar hutan bertaraf dunia yang menarik untuk didiami bagi pasaran antarabangsa, kekal.
"Kami berada di sini untuk jangka masa yang panjang dan akan mematuhi apa sahaja keputusan yang ditetapkan kerajaan," kata Othman.
The New Straits Times melaporkan tahun lepas berikutan nota diplomatik daripada Singapura, DEIA dijalankan kerana projek itu terletak berhampiran sempadan Malaysia-Singapura dan ia melibatkan penambakan pantai.
Nelayan dan pengusaha kolam ikan mendakwa kejadian lambakan ikan mati di kawasan itu akibat kerja penambakan tanah di projek itu yang asalnya diluluskan JAS Johor pada bulan Januari, bagaimanapun, ia dinafikan CGPV. TMI

Tiada ulasan: