SPECIAL ADS

17 Januari 2015

Sumpahan emas hitam, kesan kepada rakyat


RAKYAT Malaysia sekali lagi dilanda kekeliruan dan kebingungan apabila mata wang ringgit mula menjunam secara mendadak. Kepada masyarakat awam, umumnya masih lagi tidak dapat memahami impak langsung kepada kehidupan seharian mereka. Bagi yang mahu ambil tahu, kronologi perkara yang berlaku sebenarnya secara sedar atau tidak sedar, lambat laun akan menghambat kedudukan belanjawan keluarga majoriti masyarakat umum di Malaysia.

Apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang terjadi secara tiba-tiba, kerana rentetan perkara yang berlaku dari segi geopolitik dunia sebenarnya telah memberikan petanda-petanda awal kepada apa yang terjadi sekarang. Mahu tidak mahu, Malaysia tidak terkecuali dari menerima kesan daripada permainan kuasa-kuasa besar dunia. 

Bermula dari kekacauan dan ketidakstabilan politik di Timur Tengah, peningkatan kuasa ekonomi dan ketenteraan Republik China dan kemerosotan pengaruh Russia ke atas negara-negara bekas Soviet Union yang mana kemuncaknya apabila berlakunya perpecahan Negara Ukraine sehingga memaksa Russia campur tangan secara langsung ke atas konflik Ukraine untuk memastikan armada tentera lautnya masih mempunyai akses ke laut Mediterranean. Kesemua yang berlaku ini, walaupun pada hakikatnya berlaku ratusan ribu jauhnya dari bumi Malaysia yang tercinta ini, hakikatnya mempunyai kesan langsung kepada ekonomi Negara ini. 

Keadaan ekonomi sekarang mungkin sedikit berbeza semasa krisis ekonomi pada tahun 1997-1998 di mana hutang luar Malaysia (kerajaan dan swasta) rendah dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia yang lebih besar tetapi kerajaan perlu mengambil langkah-langkah drastik dari sekarang dan tidak mengabaikan kesan penurunan harga minyak.

Kemajuan teknologi hari ini menukar bentuk dan cara penjajahan secara tidak langsung ke atas negara-negara yang hatta tidak mempunyai sempadan dari segi geografi pun malahan yang terletak di ceruk dunia sekali pun, mampu dijajah tanpa perlu pencerobohan secara fizikal. Kebanyakan masyarakat mungkin tidak mengerti kesan yang berlaku kerana pada pandangan mata kasar mereka kereta kebal, mesingan, peluru, rusuhan ganas, bom dan berbagai-bagai lagi yang berlaku itu tidak menjejaskan secara langsung kesan lahiriah kepada mereka.

Apa yang masyarakat tidak sedar, adalah penduduk Malaysia mempunyai suatu kesamaan yang tidak dapat dinafikan dengan lain-lain penduduk di muka bumi iaitu petroleum. Petroleum adalah suatu bahan asas yang digunakan oleh hampir kesemua penduduk di muka bumi yang menjadi nadi penggerak untuk menjana aktiviti harian mereka. Bagi negara-negara yang dianugerahkan sumber petroleum, dianggap sangat bertuah kerana mempunyai komoditi ini sehingga ia digelar sebagai EMAS HITAM. Malaysia tidak terkecuali dan sememangnya tanah air tercinta ini sangat bertuah kerana dikurniakan Allah SWT bahan petroleum ini. 

Ditambah lagi dengan kualiti minyak mentah yang tinggi, kos operasi dan penggerudian yang rendah jika dibandingkan dengan sesetengah negara lain. Hampir tiga dekad, emas hitam ini telah menjadi nadi denyut jantung ekonomi Negara. Selama tiga dekad ini juga, hasil mahsul minyak yang diuruskan oleh pemegang amanah yang dilantik iaitu PETRONAS telah menyumbang sehingga hampir separuh kepada belanjawan negara. Seiring dengan perkembangan ekonomi dunia dan serantau, Malaysia turut sama menikmati perkembangan ekonomi yang agak baik dalam tempoh tersebut sehingga mungkin kerajaan yang mentadbir terlupa dan terleka bahawa kehidupan dunia ini umpama putaran roda. Hakikat putaran kehidupan sememangnya akan ada masa senang, dan susah tentunya akan tiba masa susah. Seperti dalam mana-mana perkara yang wujud di dalam dunia akan sentiasa mempunyai lawannya; hidup lawannya mati, pasang lawannya surut, terang lawannya gelap, senang lawannya susah.

Hakikat bahawa negara ini terlalu bergantung kepada hasil bahan petroleum bukanlah sesuatu yang perlu dirahsiakan lagi. Laporan dan bajet yang dibentangkan setiap tahun jelas menunjukkan betapa Malaysia yang dianugerahi dengan tanah pamahnya subur, sumber air mentah yang banyak dan sumber makanan lautnya yang luas, tetapi hampir separuh pendapatan negara ini datangnya dari satu sumber iaitu bahan petroleum. Mungkin ada yang bertanya, apakah salahnya? Bukankah bagus begitu? Tidakkah negara kita ini bertuah? Ya benar, sememangnya negara ini sangat bertuah tapi tanpa kita sedar sumber yang sama selama ini memberikan limpahan kenikmatan sebenarnya turut membawa bersamanya sumpahan. Sumpahan emas hitam ini sebenarnya telah banyak mengakibatkan konflik dan perpecahan di negara-negara dunia ketiga sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan konflik bersenjata.

Di rantau Asia Tenggara, negara kita sangat bertuah kerana negara-negara jiran kita masih menghormati hak dan kedaulatan setiap negara. Lantas, sumpahan apa lagi yang terkena kepada negara ini? Hakikat sumpahan yang sebenar yang lebih berbahaya adalah sumpahan yang terselindung yang akan menyerang tanpa sedar kepada mereka yang terleka. Sumpahan emas hitam yang terselindung ini yang ramai tidak menyedari sebenarnya adalah kebergantungan harga pasaran bahan tersebut kepada dua faktor yang utama iaitu OPEC/negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Russia dan transaksi menggunakan US Dollar sebagai perantara. 

Kedua-dua faktor ini merupakan faktor penentu utama kepada harga pasaran bahan petroleum di seluruh dunia. Sebarang perubahan kepada faktor-faktor ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Negara. Harus difahami bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang pengaruh secara langsung untuk mempengaruhi faktor-faktor di atas disebabkan oleh kapasiti pengeluaran minyak mentah yang kecil dan kuasa ekonomi yang terhad. 

Oleh itu, pergantungan sebegini sebenarnya merupakan suatu pelaburan dan tindakan yang berisiko tinggi kerana pendedahan secara langsung tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, kita bukanlah satu-satunya negara di dunia ini yang terdedah kepada risiko tersebut, ,malah hampir kesemua negara-negara pengeksport kecil juga turut mengalami situasi yang sama.

Lantas mungkin ada yang berfikir, jika begitulah situasinya, apakah yang Malaysia yang kerdil seperti kita ini mampu buat? Nak berlawan dengan kuasa besar , jauh sekali. Jika nak menyertai OPEC dan mempengaruhi pasaran minyak mentah dunia, pun masih jauh lagi. PETRONAS masih lagi tidak mempunyai rezab minyak dan gas yang cukup besar di seluruh dunia untuk menandingi syarikat-syarikat gergasi yang berpangkalan di Negara-negara kuasa besar dunia. Adakah kita hanya mampu merintih, meratap dan bersabar menunggu sehingga badai ini berlalu?

Sumber makanan negara

Jika diimbas semula seperti yang diterangkan sebelum ini, pendapatan Negara terlalu bergantung kepada sumber bahan petroleum. Mungkin ada yang masih belum tahu, pada masa yang sama disebabkan kekayaan yang diperoleh melalui sektor petroleum ini, kerajaan tidak menumpukan kepada sektor sumber makanan yang hakikat pada masa kini menjadi semakin getir dan kritikal bagi penduduk di muka bumi. Ini ditambah lagi dengan amaran krisis sumber makanan yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sewajarnya pihak kerajaan mengambil tahu dan melakukan perancangan yang sewajarnya untuk megatasi situasi sebegini.

Jika dilihat kepada fakta yang sedia ada, Malaysia mengimport hampir kesemua bahan asas makanan seperti tepung, jagung, padi, daging, ikan dan sebagainya. Ini merupakan suatu yang janggal untuk sebuah negara yang mempunyai kadar kepadatan penduduk yang rendah seperti Malaysia dan dikurniakan tanah pamah yang subur untuk dibangunkan sebagai tanah pertanian dan perladangan. Oleh itu, dapat dilihat bahawa tahap kemandirian negara sebenarnya berada di tahap yang sangat rendah kerana terpaksa bergantung kepada sumber import kerana kurangnya pembangunan oleh pihak kerajaan kepada sumber tempatan yang dihasilkan dalam negara. Pihak kerajaan dilihat hanya cenderung untuk membangunkan sektor kelapa sawit sebagai komoditi perdagangan utama untuk negara. Walhal pembangunan dan penyelidikan yang dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan yang terlibat pertanian dan perladangan sebenarnya mampu melonjakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeksport makanan. Ini terbukti dengan kemampuan Malaysia dalam sektor kelapa sawit melalu PORIM yang telah berjaya membawa minyak kelapa sawit ke persada dunia. Maka timbul pelbagai persoalan tentang apa yang terjadi dengan hasil kajian penyelidikan oleh MARDI. Kenapakah tidak dikomersialkan secara besar-besaran bagi menjamin bekalan makanan untuk Negara mencukupi sehingga negara mampu menjadi negara pengeksport dan bukan lagi pengimport.

Begitu juga di dalam isu perladangan/sumber tenak/tenusu, apakah Negara langsung tidak mempunyai kepakaran dan kawasan padang ragut yang sesuai? NFC yang digembar-gemburkan sebagai kunci untuk menyelesaikan isu ini akhirnya terkubur setelah ratusan juta dibelanjakan oleh pihak kerajaan. Adakah kerajaan benar-benar serius untuk menangani perkara yang sememangnya sangat serius dan kritikal? Di manakah kredibiliti pihak kerajaan di dalam menangani isu NFC ini, adakah sekadar tindakan mahkamah ke atas individu-individu tertentu sudah cukup memuaskan hati sesetengah pihak tanpa menyelesaikan isu yang lebih besar iaitu krisis sumber makananan yang sememangnya menjadi lebih getir saat ini di kala matawang ringgit jatuh menjunam? Dianggarkan Malaysia mengimport hampir 70-80% bekalan daging dari luar Negara. Ini merupakan peratusan yang sangat tinggi dan mendedahkan kepada perubahan harga yang mendadak boleh berlaku sekiranya matawang Negara berterusan semakin lemah.

Kesan kejatuhan harga minyak kepada rakyat

Berbalik kepada emas hitam yang selama ini menjadi sumber utama kepada pihak kerajaan untuk menggerakkan ekonomi Negara. Kejatuhan harga berterusan yang mendadak dalam tempoh yang singkat sebenarnya telah mewujudkan kesan domino yang telah sekian lama terhidang di depan mata. Kini ianya tidak dapat dibendung lagi apabila harga pasaran minyak mentah dunia kini telah mencecah sekitar USD50-60 setong. Kesan langsung pertama yang telah dapat dirasai adalah kemerosotan nilai matawang ringgit akibat daripada spekulasi kepada potensi pelaburan di Malaysia terutamanya kepada bon-bon yang diterbitkan oleh kerajaan Malaysia. Ini adalah kerana secara tidak langsung telah menyebabkan pelabur-pelabur asing mula hilang keyakinan kerana sumber utama pendapatan Negara yang bergantung kepada bahan petroleum menjadi tidak menentu disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah yang turun secara mendadak.

Kesan seterusnya yang mungkin akan berlaku adalah peningkatan kadar inflasi disebabkan oleh perkara yang dibincangkan sebelum ini, iaitu kebergantungan import Negara terutamanya di dalam bidang sektor sumber makanan yang menjadi nadi kehidupan kepada masyarakat Malaysia. Rakyat akan mula mengalami tekanan di dalam perbelanjaan harian disebabkan kenaikan harga kos barang import yang tidak dapat dielakkan disebabkan kelemahan matawang ringgit. Pada masa yang sama, pihak kerajaan turut akan mengalami tekanan disebabkan unjuran pendapatan melalui sumber hasil petroleum akan dijangka menurun secara mendadak. Ini seterusnya akan menyebabkan desakan untuk melaksanakan GST akan lebih tinggi dan tidak akan mampu ditangguh dengan lebih lama bagi menampung kekurangan di dalam unjuran pendapatan kerajaan dari sektor bahan petroleum.

Beberapa cadangan

Kesemua ini merupakan insiden-insiden yang sedang berlaku dan mungkin akan berlaku kepada rakyat Malaysia yang mana ianya merupakan hasil dari tindakan yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pihak kerajaan benar-benar melaksanakan segala dasar-dasar yang telah digubal dengan secara tulus dan jujur. Di dalam keadaan yang sebenarnya amat genting ini, pihak kerajaan sewajarnya hendaklah mengambil langkah-langkah yang drastik bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan juga pelabur tentang keupayaan Negara untuk mampu bertahan di dalam gelombang yang sedang melanda ini. Kesannya nanti akan dirasai oleh setiap rakyat Malaysia dan ianya tidak memilih bulu samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Beberapa perkara yang sepatutnya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan adalah seperti berikut:-

i. Menyemak dan menganalisa semula dasar hubungan luar Negara bagi memastikan kedaulatan Negara terus dihormati dan terpelihara di samping mengambil kira setiap insiden yang berlaku di dalam geopolitik antaranbangsa terutamanya yang melibatkan impak secara terus kepada sektor ekonomi Negara;
ii. Memdidik masyarakat dengan maklumat yang telus dan jitu berkaitan perkara-perkara asas di dalam sistem ekonomi Negara terutamanya yang melibatkan harga bahan petroleum dari segi perubahan harga semasa dan jumlah cukai/subisidi yang diperolehi kerajaan (sehingga saat artikel ini ditulis, menteri yang berkenaan masih belum mnejelaskan tentang sistem yang digunakan bagi menggantikan sistem APM);
iii. Mengambil langkah segera bagi memepertingkatkan tahap kemandirian Negara dalam menghadapai krisis bekalan dengan mengurangkan kadar import barangan makanan dari luar Negara di samping memberi tumpuan serius untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh Malaysia bagi tujuan pertanian dan perladangan;
iv. Mempercepatkan proses untuk menyiapkan infrastruktur asas untuk memastikan rakyat yang terutamanya tinggal di kawasan bandar tidak terbeban dengan peningkatan inflasi dan kos sara hidup yang semakin tinggi; DAN
v. Mengambil langkah yang tegas dalam mengurangkan tahap ketirisan yang berlaku dalam projek-projek/pelaburan-pelaburan yang dilaksanakan kerajaan dengan memberikan laporan secara berkala untuk dibentang di Parlimen terutamanya bagi projek-projek yang berimpak tinggi seperti MRT, Landasan berkembar KL-Padang Besar dan pelaburan berskala besar oleh Khazanah dan 1MDB.

Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin

Tiada ulasan: