SPECIAL ADS

13 Januari 2015

Ratapan ayah: Kenapa anak saya dibunuh?

"Kenapa anak saya dibunuh?"

Inilah apa yang masih cuba difahami oleh Setev Shaariibuu selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota polis kerana membunuh anak perempuannya, Altantuya.

Bagaimanapun, Setev berkata isteri dan dua anak lelaki Altantuya gembira mengetahui bahawa pesalah, Azilah Hadri dan Sirul Azhar, akan digantung bagi jenayah yang mereka lakukan.

Katanya, ini bermakna kes itu akhirnya telah selesai dan beliau boleh meneruskan samannya terhadap kerajaan  Malaysia, dan dua pegawai yang didakwanya bertanggungjawab atas kematian anak perempuannya itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketika  dihubungi melalui peguamnya di Ulanbataar, Setev bagaimanapun, terus mempersoalkan motif di sebalik pembunuhan Altantuya yang diletupkan dengan bahan letupan di sebuah kawasan lapang hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 19 Oktober 2006.

"Sehingga hari ini, saya tidak tahu kenapa dia dibunuh," katanya, merujuk kepada mahkamah yang tidak menjelaskan tentang motif pembunuhan itu.

Sementara itu, Setev juga menyuarakan kebimbangan bahawa tertuduh kedua Sirul hilang.

"Saya berharap polis dapat mencari segera, barulah keadilan ditegakkan untuk anak perempuan saya," katanya.

Setev juga percaya hubungan antara Malaysia dan Mongolia, yang didakwanya tegang ekoran perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, akan bertambah baik dengan keputusan terbaru itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dan mengekalkan hukuman mati.

Setev telah memfailkan saman sivil pada 4 Jun 2007, mendapatkan gantirugi RM100 juta daripada penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua pegawai polis.

Abdul Razak, rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, pada awalnya dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Setev memfailkan saman itu bagi pihak isterinya, Altantsetseg Sanjaa, dan dua cucu mereka - Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga - yang ketika itu masing-masing berusia lapan dan 13 tahun. M.Kini

Tiada ulasan: