Sebagai contoh, isu terbaharu melibatkan pembinaan sebuah kuil besar di Presint 20, Putrajaya yang menimbulkan polemik selepas dipertikaikan sesetengah pihak baru-baru ini.
Antara alasan pembinaan kuil itu dibantah adalah kedudukannya yang didakwa tidak wajar kerana berada di kawasan majoriti dihuni bangsa Melayu.
Bagi mengelak isu ini terus mengeruhkan keadaan, Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Wilayah Persekutuan mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjawabnya.
Kenyataan ini antara lain menjelaskan, pembinaan Kuil Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Devasthanam yang berkeluasan 1833.89 meter persegi yang dicadangkan di Presint 20, sebenarnya merupakan kuil penggantian kepada 15 buah kuil yang telah dirobohkan sebelum ini bagi memberi laluan kepada pembinaan Putrajaya.
Harus diketahui, Putrajaya sebelum dibina seperti sekarang merupakan kawasan ladang yang didiami masyarakat India dan mempunyai pelbagai kuil daripada yang bersaiz besar hinggalah sederhana.
Antara kuil hindu yang telah dirobohkan dahulu adalah Kuil Sri Maha Mariaman di Ladang Sidgelley Presint 14, Kuil Bukit Prang di Jalan B15, Ladang Prang Besar 2, Kuil Sri Durga Kaliaman Presint 20 serta kuil-kuil lain di Presint 7, 16, 15, 14, 13 dan Presint 11.
Dakwaan menyatakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) gagal membuat keputusan perancangan perbandaran dan banyak kuil dibina di seluruh negara kerana amat mudah mendapat kelulusan juga tidak tepat memandangkan kuil di Presint 20 ini sudah pun terkandung dalam Pelan Induk Putrajaya tahun 1997 lagi.
Selari dengan Perlembagaan Negara yang menjamin kebebasan amalan beragama, maka Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan turut merizabkan lot-lot tanah bagi tujuan pembinaan rumah-rumah ibadat termasuk kuil di Presint 20 yang baru sekarang mencetuskan kontroversi.
Selain itu, pembinaan Kuil Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Devasthanamkuil ini juga sama sekali tidak menggunakan peruntukan kerajaan sama ada dari Kementerian Wilayah Persekutuan mahupun Perbadanan Putrajaya.
Kelmarin, isu kuil di Presint 20 mencuri tumpuan umum apabila Wira PERKASA Malaysia yang merupakan sayap pemuda PERKASA melahirkan penentangan terhadap pembinaannya di Putrajaya.
Ketua Wira PERKASA Irwan Fahmi Ideris dikatakan menyelar tindakan pihak tertentu mendirikan kuil tersebut yang dirasakan tidak wajar.
“Kami amat dukacita dengan berita yang diterima apabila kuil yang paling unik telah dibina dan akan siap tidak lama lagi.
“Siapa yang telah memberi kelulusan bagi projek ini? Begitu mudah menyerahkan tapak untuk membina kuil di situ.
“Mengapa mesti di Putrajaya? Kawasan itu majoriti dihuni oleh orang Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada portal Free Malaysia Today.
Irwan turut dilaporkan oleh portal berita tersebut menyebut, walaupun sekadar isu pembinaan kuil, pihaknya berasa terhina dengan tindakan Menteri dan Presiden Ppj yang berbangsa Melayu tetapi meluluskan pembinaan kuil dengan mudah tanpa bertanya kepada penduduk di Putrajaya.
- MYNEWSHUB.CC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan