SPECIAL ADS

1 Januari 2015

Rafizi : Cukai RM633 jadikan tabung stabilkan harga minyak

KUALA LUMPUR :Setiusaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli mendesak supaya satu akta digubal segera untuk memastikan sebarang kutipan cukai akibat dari perbezaan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan harga pasaran (seperti yang berlaku sekarang) diasingkan dan dikumpul di dalam satu Tabung Pengimbang Harga Minyak.
Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa cukai yang dikutip secara senyap ini akan dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Persekutuan apabila ia dimasukkan di dalam akaun pendapatan yang sama iaitu wang disatukan.
Rafizi“Dana RM633 juta yang dikutip dalam Disember 2014 perlulah segera diasingkan dan dimasukkan di dalam tabung sedemikian sementara satu akta digubal dan dikuatkuasa serta merta.
“Dana dari Tabung Pengimbang Harga Minyak ini hanya boleh digunakan untuk menstabilkan harga petrol dan diesel untuk melindungi rakyat dari kenaikan mendadak harga petrol dan diesel apabila harga minyak mentah kembali pulih ke paras lama,” tegasnya lagi.
Bagi tujuan itu, Rafizi berkata beliau menggubal akta tersebut sebagai inisiatif rang undang-undang persendirian (private member bill) untuk dibawakan ke Dewan Rakyat dalam sessi persidangan Dewan Rakyat yang bakal bermula Mac 2015 hadapan.
Dalam kenyataan yang sama Rafizi menyatakan pengumuman harga baru RON95 yang kini ditetapkan kepada RM1.91 seliter dan diesel pada RM1.93 seliter oleh Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa 1 Januari 2015 mengesahkan kiraan sebenar harga bahanapi tersebut oleh KEADILAN selama ini adalah tepat.
KEADILAN telah mengambil langkah mengumumkan terlebih dahulu harga RON95 dan diesel mengikut harga pasaran dan formula jaminan keuntungan dan kos kepada syarikat minyak pada 31 Disember lalu.
Tindakkan itu dilakukan bagi memastikan Kerajaan Persekutuan tidak berdolak dalih dalam menurunkan harga minyak.
Lebih penting lagi, pengumuman itu jelasnya juga telah mengesahkan bahawa kiraan jumlah cukai yang dikutip secara senyap (hidden tax) oleh kerajaan adalah tepat.
“Pendedahan KEADILAN bahawa bagi bulan Disember 2014 Kerajaan Persekutuan telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap sebanyak RM633 juta.
“Ia perlu diberi perhatian serius oleh rakyat,” tegasnya.
Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan turut menyatakan rasa khuatirnya terhadap kesan kenaikkan semula harga minyak yang bakal kembali membebankan rakyat.
Jelasnya, tindakan Kerajaan Persekutuan menghapuskan subsidi menyebabkan rakyat bakal terdedah kepada kenaikan mendadak harga petrol dan diesel.
“Dalam tempoh satu tahun akan datang, harga minyak berkemungkinan akan naik kembali sekiranya pasaran minyak mentah dunia pulih dan ekonomi dunia kembali rancak.
“Pada ketika itu, rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.
“Kerajaan Persekutuan pula akan memberi alasan subsidi terlalu mahal dan tidak mampu ditanggung sedangkan berbilion ringgit cukai petrol dan diesel yang dikutip selama ini telah dibelanjakan bagi projek-projek besar,”tegasnya. SK

Tiada ulasan: