SPECIAL ADS

17 Januari 2015

Ringgit diniaga 3.51 dan 3.59 berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan antara 3.51 dan 3.59 berbanding dolar Amerika Syarikat minggu depan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Januari, 2015.
Ringgit yang ditutup lebih rendah minggu ini, dijangka diniagakan di antara 3.51 dan 3.59 berbanding dolar AS minggu depan, kata peniaga.
Harga minyak mentah serta prestasi dolar AS dan langkah mengejutkan oleh Switzerland untuk menghapuskan had ke atas franc terus memberi tekanan ke atas mata wang tempatan.
Ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun setengah pada Selasa berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah.
Bagaimanapun ringgit meningkat sedikit pada Jumaat selepas pembetulan pasaran.
Seorang peniaga berkata, ketidaktentuan mengenai arah pasaran meletakkan pelabur dalam keadaan berhati-hati.
"Bagaimanapun saya tidak menjangka ringgit akan melepasi paras 3.6 minggu depan," katanya.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, mata wang tempatan itu meneruskan trend menurun sebagai tindak balas kepada situasi luaran, termasuk kekukuhan dolar AS dan kelemahan komoditi, bukannya disebabkan kemerosotan asas Malaysia.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat kepada 3.5580/5610 berbanding dolar AS 3.5610/5640 Jumaat lepas dan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding yen kepada 3.0522/9561 daripada 2.9819/9857 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.6867/6898 daripada 2.6596/6623 sebelum ini.
Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.1319/2361 daripada 4.2038/2084 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.4096/3156 daripada 5.3825/3881 minggu lepas.  Bernama

Tiada ulasan: