SPECIAL ADS

4 Jun 2013

Dakwaan dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean Army”

KUALA LUMPUR 04 Jun : Siasatan awal DAP menunjukkan, satu konspirasi yang ditaja Umno telah dilancarkan tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen pada 3 April untuk memburuk-burukkan DAP.

Konspirasi inilah yang turut melahirkan dakwaan dongeng 3,000 tentera siber “Red Bean Army” yang ditaja DAP kononnya dengan bajet setinggi RM100 juta sehingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu bagi tujuan pembunuhan karakter pemimpin UMNO/BN di ruang siber.

Demikian dakwa Lim Kit Siang, Penasihat DAP dalam kenyataannya.

Bagi beliau, penyebar utama pembohongan mengenai “Red Bean Army”  adalah media cetak milik/dikuasai UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star, baik sebelum mahupun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei.

Bagi beliau, dakwaan tidak berasas yang disebarkan dan dilontarkan oleh Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star hendaklah tercatat dalam sejarah sebagai titik paling hina mereka dalam melacurkan kerjaya kewartawanan.

Ia disebabkan dasar pertimbangan dan objektif mereka bukanlah fakta dan kebenaran, yang sepatutnya menjadi pegangan bidang kewartawanan, dakwa Kit Siang yang menang di parlimen Gelang Patah dalam pilihan raya umum lalu.

"Bagaimana mereka yang kononnya digelar wartawan kepada Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star yang bersekongkol mencipta penipuan tentang 3,000 tentera siber “Red Beans Army” didanai DAP yang hanya wujud dalam imaginasi liar mereka mampu berbangga sebagai wartawan yang jujur, menegakkan kebenaran dan takutkan Tuhan?" dakwanya.


Akan tetapi, kata Kit Siang (gambar kanan), pembohongan tentang Red Beans Army yang kononnya didanai oleh DAP hanya sebahagian daripada jalan cerita yang lebih besar sejak Januari lalu.

Ia bertujuan untuk memburuk-burukkan DAP dengan pembohongan dan penipuan dan paling menyedihkan apabila terdapat bekas ahli dan pemimpin DAP yang bersedia untuk bertindak begitu hina dengan berbohong dan menipu untuk meneruskan agenda Umno/BN ini, kata beliau kecewa.

Namun, katanya, pembohongan dan penipuan mereka tidak dapat melukakan DAP memandangkan tiada siapa akan mempercayai mereka – jika tidak tentu DAP gagal memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Untuk menjustifikasikan pelaburan UMNO/BN ke atas mereka, mereka yang ingkar terhadap DAP ini meneruskan kempen penipuan mereka terhadap pemimpin DAP.

Sehingga kini, katanya, kepimpinan DAP mengabaikan mereka kerana mereka tidak releven dan sekiranya mereka terus dengan pembohongan dan penipuan terhadap pemimpin DAP, maka mereka hendaklah bersedia untuk didedahkan kedurjanaan mereka.

Tiada ulasan: