SPECIAL ADS

4 Jun 2013

Dr M: Perlu peruntukan perlembagaan tak berperang

NONE
Kuala Lumpur 04 Jun : Tun Dr Mahathir Mohamad berharap semua negara satu hari ini nanti mempunyai peruntukan dalam perlembagaan yang menegaskan mereka tidak akan melancarkan perang, kecuali untuk mempertahan diri.

Bekas perdana menteri Malaysia itu yang mempelopori Inisiatif Kuala Lumpur Menjadikan Perang Sebagai Jenayah, berkata bila itu wujud, dunia mungkin berada dalam keadaan aman.

"Jepun dalam perlembagaannya menyatakan ia tidak akan berperang, kecuali untuk mempertahan diri, dan ia mempunyai pasukan pertahanan diri yang tidak boleh melancarkan perang atau berperang di negara lain.

"Itulah satu-satunya negara di dunia yang memasukkan peruntukan ini...Memang kini ada gerakan untuk meminda perlembagaan supaya Jepun boleh berperang di negara-negara lain. Ini malang sekali," kata beliau.

Dr Mahathir menyatakan demikian dalam syarahan umum mengenai 'Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik' sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) di Yogyakarta.

Global Peace School yang merupakan kolaborasi antara Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan UMY, adalah sebahagian daripada inisiatif serantau oleh PGPF bagi mewujudkan sebuah sekolah antarabangsa bagi keamanan global dan penyelesaian konflik.

Dr Mahathir, pengasas PGPF, berkata Inisiatif Kuala Lumpur Menjadikan Perang Sebagai Jenayah, ingin menyatakan kepada dunia bahawa siapa saja yang memulakan perang mesti dianggap penjenayah.

"Misalnya, pemimpin sebuah negara yang memulakan perang, yang mengarahkan supaya sesebuah negara ditawan dan menakluki negara itu bagi menyelesaikan konfliknya dengan negara berkenaan, mesti diheret ke mahkamah," kata beliau.

Beliau berkata gerakan itu mendapat sokongan besar dari seluruh dunia, malahan ramai orang datang dari Amerika, Kanada dan tempat-tempat lain untuk menyokong usaha menjadikan perang sebagai jenayah.

Sementara itu, menjawab soalan semasa sesi soal jawab, Dr Mahathir mempertahankan tindakan Malaysia menyerang pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, sebagai perang mempertahan diri. 

Tiada ulasan: