SPECIAL ADS

5 Jun 2013

Kelewatan KLIA2: MAHB perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 06 Jun : Pengakuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bahawa projek KLIA2 tergendala teruk walaupun sebelum ini menafikannya membuktikan dakwaan Pakatan Rakyat selama ini adalah benar.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata projek itu sepatutnya siap pada September 2011 telah tergendala sebanyak tujuh kali kerana beberapa bahagian projek yang gagal disiapkan kontraktor.

“Tidak terkejut apabila kontraktor utama telah menafikan mereka adalah punca kelewatan dan menyalahkan MAHB, pemilik projek yang telah memberikan arahan berbeza berulang kali kepada kontrak asal,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Persoalannya ialah mengapa MAHB hanya menyalahkan kontraktor selepas kelewatan selama 2 tahun.

“Jika betul kontraktor yang bersalah, mengapa mereka tidak dikenakan denda dan ganti rugi yang ditetapkan atau LAD (Liquidated Ascertained Damage) sejak September 2011,” soal Pua.

Pua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pernah menyoal kelewatan menyiapkan KLIA2 sebelum ini.

Isunya ialah sepanjang 18 bulan yang lalu ketika isu ini ditimbulkan, MAHB dan Kementerian Pengangkutan langsung tidak menyentuh mengenai masalah kontraktor.

“Pada penghujungnya, segalanya berhenti pintu MAHB, sebagai pengurus dan pemilik projek dan keseluruhan mereka yang berada dalam pengurusan tertinggi syarikat perlu bertanggungjawab terhadap kemelut dan perkara yang memalukan ini,” tegas Pua.

Dengan rekod sedemikian, Pua juga mempersoalkan bagaimana Ketua Pegawai Kewangan (CFO) MAHB Faizal Mansor dapat dipilih sebagai CFO terbaik bagi Perhubungan Pelabur oleh Persatuan Perhubungan Pelabur Malaysia (MIRA).

“Di bawah pengawasannya, kos asal pembinaan projek KLIA2 itu kira-kira RM2 bilion telah melambung lebih 100 peratus kepada kira-kira RM4 bilion,” kata Pua.

Peningkatan drastik ini menyebabkan MAHB terpaksa meningkatkan bon sebanyak RM3.1 bilion.

MAHB juga dijangka memerlukan tambahan RM1 bilion lagi pada masa akan datang menyebabkan MAHB terpaksa berhutang, perkara yang tidak sepatutnya berlaku mengikut pelan awal, kata Pua.

“Yang rugi dalam pembinaan lapangan terbang kos murah yang telah memecah bajet ialah para pelancong Malaysia yang terpaksa menanggung beban cukai lapangan terbang yang dikenakan oleh MAHB untuk membayar hutang. Ia juga akan memberikan impak besar kepada daya kesaingan negara sebagai hub untuk penerbangan tambang murah di Asia,” tambah Pua lagi.

Awal tahun ini, Pua pernah mendedahkan hasrat MAHB untuk menambah RM598 juta melalui penempatan saham baru.

Perkara itu, katanya, mengesahkan lagi ura-ura bahawa syarikat itu terdesak dan terjejas dengan kos pembinaan KLIA2 yang meningkat.

Pua berkata terdapat satu laporan audit yang disediakan KPMG mengenai kemelut KLIA2.

Oleh itu, beliau mendesak Kementerian Pengangkutan untuk mendedahkan laporan itu kepada awam supaya rakyat mengetahui apa skandal yang berlaku di sebaliknya.

“Mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan,” tegas Pua.

Tiada ulasan: