Shah Alam 4 Jun : Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Fadilah Yusof, diminta memberikan kerjasama dalam isu projek pembinaan Hospital Shah Alam yang sudah tertangguh lebih daripada tiga tahun demi kebaikan penduduk di bandaraya ini.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, sebagai wakil rakyat di bandaraya ini, sewajarnya beliau diberi hak untuk melihat dan mendapat laporan mengenai perkembangan projek berkenaan.
Menurut Khalid, diharapkan Fadilah bersikap lebih terbuka berbanding menteri yang lepas dan membenarkan pihaknya melawat tapak pembinaan untuk melihat perkembangan projek itu.
“Pada 5 Februari lalu saya hantar surat pada syarikat kontraktor pembinaan dan jawapannya kelulusan perlu diminta daripada JKR Selangor, bila surat dihantar kepada JKR Selangor, dikatakan jawapan daripada JKR Pusat.
“Bila surat dihantar kepada JKR Pusat, tiada jawapan. Ini bukan nak bina pusat tentera atau pusat nuklear. Ini hospital, kenapa susah sangat untuk saya turun melihat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Khalid mengharapkan Fadilah mempunyai satu dasar lebih terbuka mengenai perkara itu.
Tegasnya, pembinaan hospital itu adalah daripada wang rakyat dan bukannya wang Umno-BN.
“Hospital ini untuk rakyat dan sebagai wakil rakyat Shah Alam, saya minta supaya bagi kerjasama untuk pihak kontraktor bagi laporan mengenai perkembangan pembinaannya.”
Khalid mendakwa beliau difahamkan bahawa projek tersebut sekali lagi terlewat daripada tarikh siapnya pada Oktober tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan