PETALING JAYA 13 Jun : Ahli parlimen PR khususnya PKR tidak gentar jika hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya mereka tidak mengangkat sumpah pada 24 Jun ini.
Sebaliknya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelmarin tidak mengikut perundangan malah Speaker sendiri tidak boleh menolak majlis angkat sumpah pada tarikh lain yang dipersetujui ahli Parlimen PR.
"Itu adalah satu kenyataan yang tidak mengikut undang-undang yang dibuat oleh Speaker Parlimen, dan belum tentu pun dia akan jadi Speaker Parlimen.
"Kalau ikut pemahaman dan tafsiran undang-undang yang kita, Speaker tidak ada hak untuk menolak angkat sumpah kerana ahli Parlimen dilantik oleh rakyat.
"... kuasa yang kami ada sebagai mewakili kuasa rakyat tidak boleh dibatalkan hanya kerana seorang Speaker tunjuk lagak untuk tidak mahu menerima angkat sumpah kita," katanya kepada Sinar Harian Online, di Ibu Pejabat PKR, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa jika ahli parlimen pembangkang memulaukan majlis angkat sumpah dan tidak hadir selama enam bulan berturut-turut di Parlimen, mereka akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Malah katanya, beliau juga boleh bertindak boikot ahli parlimen pembangkang untuk upacara angkat sumpah di hari yang lain.
"Kalau mereka boleh boikot sistem demokrasi, saya juga akan memboikot mereka jika mereka mahu mengangkat sumpah pada hari lain.
"Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah tidak akan dibenar berada dalam Parlimen atau menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan