Kuala Lumpur 02 Jun : Kumpulan ‘Red Bean Army’ yang didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah perlu dijatuhkan hukuman setimpal di atas perbuatan tersebut.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan memuat naik penghinaan kepada Baginda melalui laman sosial Facebook, Sabtu lalu mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah PPIM.
“Kita minta tindakan tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menghukum mereka yang tidak menghormati undang-undang dan prinsip rukun negara seperti yang dilakukan negara Thailand.
“Sekiranya ada orang yang menghina Raja mereka ada tindakan undang-undang dan hukuman dikenakan kepada pesalah. Jadi kita mahukan ketegasan yang dibuat oleh KDN dan polis sekali gus mendakwa mereka,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas membuat laporan polis pagi tadi bersama 10 wakil NGO.
Beliau menyeru kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan dan tidak mencabar kesabaran orang-orang Melayu.
Katanya, orang Melayu tidak dapat menerima penghinaan kepada Raja-raja Melayu kerana Raja berperlembagaan telah menaungi seluruh rakyat jelata.
Menurutnya, sesiapa yang melakukan perkara seperti itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia.
“Ini adalah konspirasi jahat. Di mana ia adalah satu agenda yang dilakukan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab supaya menggulingkan Raja kita yang berperlembagaan ini menjadi negara republik,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Perhubungan Antarabangsa PPIM, Adam Mikail mendakwa, ia adalah agenda pembangkang kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menghina institusi Raja.
Beliau berharap supaya rakyat faham kerana di Malaysia mempunyai adat resam, monarki, dan tatacara yang perlu terus dihormati.
Beliau turut mendesak supaya kerajaan menyekat salah guna yang dilakukan pihak tertentu melalui sosial media seperti yang dilakukan negara China dan Taiwan.
Antara NGO yang terlibat termasuklah Kelab Muda Wartawan Malaysia, Veteran Tentera Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida) dan Kelab Ukhwah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan