SPECIAL ADS

31 Julai 2013

Sistem pemilihan baru Umno suatu transformasi palsu?


01 Ogos : Umno menetapkan tarikh pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini pada 5 Oktober depan. Kali ini pemilihan pemimpin di peringkat bahagian akan diadakan serentak dengan pemilihan pemimpin di peringkat nasional. Ia sesuai dengan kaedah pemilihan baru yang diperkenalkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak sebaik mengambil alih teraju kepimpinan Umno pada 2009 lalu dengan tujuan menjadikan ruang demokrasi dalam parti menjadi lebih subur dan supaya Umno lebih diminati oleh lebih ramai orang Melayu.
Sebelum Umno diharamkan pada 1988, sesiapa yang ingin bertanding hanya memerlukan dua pencalonan daripada bahagian Umno tetapi sejak Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi di tangan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan kemudian menubuhkan Umno baru, beberapa peraturan untuk mengetatkan pertandingan diperkenalkan.
Antaranya ialah dengan memperkenalkan kouta pertandingan di mana mereka yang ingin bertanding apa-apa jawatan diperlukan melepasi kouta tertentu terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding. Kouta pencalonan bagi jawatan Presiden ialah 30 peratus, Timbalan Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT 10 peratus. Bagi jawatan lain di peringkat sayap dan bahagian juga ada peratusan tertentu yang ditetapkan sebelum layak bertanding. Itu menjadi antara sebab Mahathir mampu kekal selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Berikutuan keputusan buruk pilihan raya 2008 yang kemudian diikuti dengan pengunduran Pak Lah dan Najib mengambil alih teraju parti dan negara, beliau memperkenalkan peraturan baru dengan menghapuskan sistem kouta dan memberi ruang kepada lebih ramai ahli Umno di peringkat bawahan hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik Najib yang diperkenalkannya.
Jika dulu pemilihan pemimpin hanya ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan sahaja tetapi kini ia lebih meluas dengan melibatkan 146,500 perwakilan cawangan dari seluruh negara. Pemilihan juga diadakan serentak di seluruh negara untuk menjadikannya lebih adil dan tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Pemimpin Umno, terutamanya Najib sering menjaja sistem baru ini menunjukkan keterbukaannya terhadap pertandingan serta pendirian yang tidak takut terhadap cabaran, selain sebagai usaha untuk menjadikan Umno sebuah parti yang lebih inklusif dan subur sistem demokrasinya.
Ahli dan pemimpin Umno peringkat cawangan dan bawahan pula bagaikan tidak sabar untuk melaksanakan sistem baru kerana sebelum ini sebahagian besar mereka hanya menjadi golongan tumpang tengok saja dalam pemilihan pucuk pimpinan, malah ada yang hanya mengenali pemimpin melalui tatapan wajahnya di akhbar dan tv saja.
Dengan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Najib, ramai yang tidak sabar untuk menggunakan hak mengundi masing-masing, selain merasakan inilah masa untuk mereka mengenali pemimpin kerana percaya ramai pemimpin atasan akan turun ke peringkat bawahan atau cawangan untuk melobi undi serta sokongan daripada perwakilan.
Soalnya benarkah sistem baru ini menjadikan demokrasi dalam Umno lebih subur dan pewakilan seramai 146,500 itu benar-benar bebas memilih pemiimpin?
Apakah 146,500 itu boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka sebagaimana tanggapan ramai?
Jika ditanya kebanyakan ahli dan pemimpin Umno peringkat cawangan mengenai sistem pemilihan baru itu, ramai masih kabur, keliru dan tidak pasti bagaimana kaedah pemilihan baru itu berfungsi. Apa yang mereka tahu, kali ini bukan lagi 2,500 perwakilan yang menentukan kedudukan pemimpin di atas tetapi sudah menjadi 146,500. Kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan setakat itu saja.
Walaupun Umno mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri mengenai sistem pemilihan baru ini tetapi tidak semua ketua cawangan menghadirinya. Yang hadir pula kadangkala mempunyai pemahaman  terbatas, lalu usaha untuk menerangkannya dengan lebih jelas kepada ahli menjadi terhalang.
Media pula seperti tidak memberi liputan atau huraian yang sejelas-jelasnya mengenai sistem baru ini. Pemimpin Umno juga tidak bercakap banyak mengenainya, sekadar suka menyebut angka 146,500 perwakilan sebagai bukti keterbukaan dan transformasi yang mahu dibawa oleh Najib.
Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa walaupun 146,500 perwakilan diberi ruang mengundi atau memilih pemimpin dalam sistem baru ini tetapi mereka bukan boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka. Meskipun mempunyai 146,500 perwakilan kali ini tetapi sistem yang digunakan ialah satu bahagian satu undi dan bukannya undian langsung perwakilan cawangan.
Ini bermaksud jika sekiranya calon A dan B bertanding jawatan Presiden Umno dan sebagai contoh Umno Bahagian Pekan mempunyai perwakilan seramai 500 orang, sekiranya calon A memperolehi 400 undi manakala calon B memperolehi 100 undi, bermakna calon A memperolehi satu undi. Begitulah seterusnya berlaku di semua 191 bahagian Umno.
Sistem baru ini dikatakan adalah campuran daripada sistem pilihanraya di Amerika Syarikat dan United Kingdom atau dipanggil "electoral college".
Difahamkan juga, sistem baru ini hasil daripada beberapa pencarian serta pengubahsuaian dan hanya dimuktamadkan baru-baru ini sahaja. Nyatanya, sistem ini tetap memberi ruang kepada Ketua Bahagian melakukan kawalan dan Presiden atau sesiapa yang ingin kemenangan pula hanya perlu menjaga tembolok Ketua-Ketua Bahagian untuk memastikan survivalnya terjamin.
Isunya ialah adakah kaedah satu bahagian satu undi ini benar-benar menunjukkan keterbukaan dan keinginan melihat demokrasi lebih subur atau sekadar transformasi palsu sedangkan matlamatnya tetap untuk melindungi mereka yang di atas terus kekal sebagai pemimpin.
Melalui satu bahagian satu undi, kawalan oleh mereka yang berjawatan lebih mudah terhadap bahagian. Untuk mempertahankan jawatannya, Presiden atau Timbalan Presiden misalnya, perlu menemui semua 146,500 perwakilan cawangan untuk mendapatkan undi tetapi cukup sekadar menjaga dan memberi jawatan atau habuan kepada Ketua-Ketua Bahagian saja.
Itulah antara sebabnya, walaupun tarikh pemilihan hanya tinggal kira-kira dua bulan saja lagi tetapi kemeriahan dan kesibukan pemimpin turun ke peringkat bawahan masih tidak kelihatan lagi. Hanya Ketua Bahagian yang sibuk turun naik ke Kuala Lumpur menemui pemimpin atasan sambil diberikan pelbagai jenis habuan, kontrak dan jawatan.
Walaupun sistem ini dikatakan untuk memberi keadilan kepada bahagian kerana jumlah cawangan setiap bahagian adalah berbeza tetapi hakikat yang nyata ialah sistem "electoral college" ini juga bertujuan melindungi penyandang jawatan daripada digugat kedudukannya.
Kaedah ini nampak macam terbuka tetapi sebenarnya bukaannya hanya kecil saja. Ia tidak terbuka sepenuhnya sebagaimana yang disangka. Di sebalik transformasi dan keterbukaan yang dijaja, maksud tersiratnya untuk melindungi kepentingan sendiri nampaknya tetap lebih utama. – shahbudindotcom.blogpot.com, 

Selangor mahu bantu Pusat turunkan kadar jenayah

Shah Alam 01 Julai : Kerajaan Negeri memandang berat peningkatan kes jenayah melibatkan senjata api yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.
Walaupun tanggungjawab menjaga keselamatan awam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat, namun kerajaan Selangor bersedia untuk menyumbang  sebanyak yang boleh bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin ketika berada di tempat-tempat awam.
MBKerajaan Selangor sejak beberapa tahun lalu telah memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia  (PDRM) untuk menjadikan pasukan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan sebagai polis bantuan.
Walaubagaimanapun, permohonan kerajaan Selangor tidak mendapat reaksi yang diharapkan daripada PDRM.
Baru-baru ini, PDRM hanya meluluskan permohonan membenarkan 20 penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai polis bantuan  tetapi kebenaran ini tidak memberi sebarang makna kerana kuasa polis bantuan ini sangat terhad kepada satu tugas sahaja iaitu mengawal bangunan MBPJ.
Justeru, kerajaan Selangor akan memohon sekali lagi kepada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri sebagai usaha kita mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah termasuk kes melibatkan senjata api.
Kita harap Kementerian Dalam Negeri dan PDRM lebih mengutamakan keselamatan awam dalam membuat pertimbangan terhadap permohonan ini. Justeru, kita bersedia mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negera bagi mencapai kata sepakat dalam perkara ini.
Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa menawarkan kesanggupan membiayai kewangan dan tenaga kerja dan kita amat berharap akan menerima maklum balas positif daripada PDRM.
Kerajaan Selangor komited meneruskan pentadbiran yang bersih dan telus di samping mengutamakan keselamatan rakyat agar dapat menjalani kehidupan seharian yang lebih selamat dan terjamin.
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor

Mana janji Kerajaan kepada Tentera dan Bekas Tentera !

Kuala Lumpur 01 Ogos : Mantan Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid menggesa kerajaan menyediakan keperluan asas tentera sebagaimana termaktub dalam kontrak perkhidmatan.
“Isu paling besar bagi tentera sehingga ke hari ini berkaitan janji kerajaan untuk menyediakan keperluan seperti gaji yang sepatutnya, perumahan selesa dan pencen bertepatan,” katanya kepadaKeadilan Daily.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Pahlawan yang jatuh pada hari ini.
Menurut Ghafir, walaupun janji tersebut tidak tertulis dalam perjanjian khas namun ia termeterai antara kerajaan dan anggota tentera sewaktu mengangkat sumpah jawatan.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah penuhi tugas-tugas seperti yang tertera dalam kontrak tetapi kerajaan tidak menunaikan janji untuk memberi gaji setaraf dengan pengorbanan mereka,” katanya.
“Kebajikan anggota tentera perlu dipenuhi, melalui pencen pun kita boleh lihat bagaimana kerajaan mengkhianati janji untuk membayar bahagian mereka kepada pesara tentera,” katanya lagi.
NGO Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) sebelum ini lantang menyuarakan tuntutan mereka berkaitan penyalahgunaan wang pencen anggota tentera.
Mereka turut mendedahkan penipuan Kementerian Pertahanan berhubung janji pemberian tanah kepada pesara tentera.

J’kuasa khas siasat penggunaan senjata api untuk jenayah

Kuala Lumpur 01 Ogos : Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencari punca penggunaan senjata api untuk kegiatan jenayah yang semakin berleluasa di sana sini.
Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, penubuhan jawatankuasa ini penting kerana saban hari persepsi rakyat terhadap keselamatan nyawa mereka dan keluarga semakin rendah.
Kes tembak mati berlaku di Parit Buntar.hari ini.
Kes tembak mati berlaku di Parit Buntar hari ini.
“Fenomena ini amat membimbangkan kerana jenayah menggunakan senjata api kelihatan tidak berstruktur apabila sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa tanpa mengira latar belakang kewangan mereka.
“Kalau dahulu mungkin sasaran penjenayah melibatkan golongan korporat tetapi sekarang sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa walau di mana mereka berada dan ini amat membimbangkan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Muhammad berkata, pihak berkuasa perlu segera mengekang masalah ini bagi memastikan rakyat yakin dengan tahap keselamatan dan keamanan negara.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Amerika Latin yang berlaku tembakan setiap hari disebabkan mudahnya mendapat bekalan senjata api dengan harga murah,” tegasnya.
Kelmarin sahaja, dua kes tembak dilaporkan – satu di ibu negara dan satu di Bukit Mertajam menyebabkan seorang maut dan dua cedera. Terbunuh dalam kejadian semalam ialah Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera ditembak di Jempol, Negeri Sembilan, selepas berjumpa Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan memaklumkan senarai nama pegawai polis yang terlibat dalam sendiket dadah.
Satu lagi kejadian dilaporkan di Ipoh, Perak malam kelmarin menyebabkan seorang lelaki maut dan dua parah ditembak lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee, pada 10.15 malam.
Hari ini pula satu lagi kes sama dilapor berlaku di Parit Buntar, Perak.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi tadi, seorang lelaki ditemui maut dengan tiga kesan tembakan pada tubuhnya di kawasan persimpangan Jalan Permai 2.
Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum orang ramai mendengar bunyi tiga das tembakan.
Polis menemui dua kesan tembakan di rusuk kanan dan kesan tembakan di perut serta menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian yang berdekatan Pejabat Pendidikan Daerah Kerian.

Sara Amelia cemas di pejabat JAWI


Kuala Lumpur 01 Ogos : Seorang peserta Miss Malaysia World 2013, Sara Amelia Muhamad Bernard cemas apabila melihat kehadiran para wartawan dan jurugambar yang berada di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada petang semalam.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, beliau bertindak berlari semula ke kawasan letak kereta apabila melihat kehadiran petugas media berkenaan yang berada di kawasan pejabat tersebut secara kebetulan.

Para pegawai JAWI kemudiannya terpaksa memujuk Sara Amelia untuk memasuki bangunan JAWI yang terletak di kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Petugas JAWI juga mengarahkan petugas media berkenaan, yang membuat liputan satu operasi jabatan tersebut, ke satu bahagian lain di pejabat tersebut demi keselesaan jelitawan itu, lapor Utusan.

Menurut laporan tersebut, Sara Amelia hadir ke jabatan berkenaan untuk memberi keterangan berhubung penyertaannya dalam pertandingan kontroversi tersebut, yang diputuskan haram oleh Majlis Fatwa.
JAWI pada 23 Julai lalu membuka kertas siasatan bawah Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) ekoran kenyataan peserta berkenaan yang didakwamempertikaikan keputusan fatwa berhubung penyertaan pertandingan tersebut.

Selain Sara Amelia, tiga lagi wanita Islam - Wafa Johanne De Korte, Kathrina Rizuan dan Miera Sheikh - menghadapi hukuman denda tidak melebihi 3,000 atau penjara oleh Mahkamah Syariah, selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Soi Lek: Noh Omar sudah gila

Kuala Lumpur 01 Ogos : Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyelar Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kerana menggesa pihak berkuasamenyiasat pendedah maklumat dalam kontroversi "kantin bilik persalinan" bawah Akta Hasutan.

"Beliau sudah gila... Inilah apa yang kita panggil penyalahgunaan Akta Hasutan," katanya kepadaMalaysiakini.

Chua (kanan) sebaliknya berkata, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah yang sepatutnya didakwa menghasut kerana memberitahu pelajar untuk balik ke kampung halaman nenek moyang mereka.

Berhubung insiden di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Chua berkata, ibu bapa cuma bimbangkan anak mereka tidak dilayan dengan baik.

Justeru, katanya, ibu bapa patut dilibatkan bersama dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian yang baik.

"Pengetua Sri Pristana dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) patut mendekati ibu bapa. Amat dikesalkan apabila pemimpin kanan Umno seperti Noh boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu," katanya.

Isu video raya bersama anjing didakwa hina Islam


chetz yusof ditahan polis isu video raya maznah mohd yusof ditahan polis
SHAH ALAM 01 Ogos :  Individu yang melakonkan aksi sambutan hari raya bersama anjing dalam satu video kontroversi menafikan bahawa tindakannya itu merupakan satu penghinaan kepada Islam.
 
Memetik laporan Malaysiakini, Maznah Mohd Yusof, 38 atau lebih dikelani sebagai Chetz berkata, beliau berasa sedih kerana video berkenaan disalah tafsir.

“Saya sayang agama saya. Saya fikir orang perlu belajar mengenai agama mereka dulu dan tidak membuat tafsiran salah mengenai video saya yang dibuat tiga tahun lalu," katanya.

Jurulatih anjing tersebut berkata, beliau membersihkan dirinya dan anjing berkenaan dalam video berkenaan kerana agama Islam menurutnya menganjurkan kebersihan.

Maznah berkata, beliau juga sedih kerana imam masjid berhampiran kawasannya juga marah dengan video berkenaan.

“Sebagai seorang pemimpin agama, tidakkah dia tahu mengenai undang-undang Islam? Sepanjang pengetahuan saya, agama saya tidak menghalang saya daripada membela atau menjaga anjing,” katanya.

Maznah menambah, jirannya yang beragama Islam kini tidak berpuas hati walaupun mereka sebelum ini tiada masalah dengan tindakannya membela anjing.

"Video ini dibuat tiga tahun lalu, kenapa jadikannya sebagai isu sekarang?

"Saya percaya ini berkaitan dengan kes blogger Alvin Tan dan Vivian Lee... sebab pada awalnya, mereka yang menonton video tersebut menyangka saya seorang Cina,” katanya yang merujuk kepada pasangan blogger seks yang didakwa ekoran satu video didakwa menghina Islam.

Sementara itu, semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah menggambil tindakan terhadap penyebaran video yang dikatakan menghina Islam bertajuk '1 Hari Di Hari Raya' yang disiarkan dalam laman YouTube.
   
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, SKMM telah diarah menyegerakan siasatan terhadap pemilik video yang dianggap boleh mengganggu sensitiviti Islam itu.
   
"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai hal ini walaupun SKMM belum menerima sebarang laporan mengenainya. Oleh itu, saya telah mengarahkan SKMM menggambil tindakan untuk menyiasat video itu," katanya.
   
Video itu menunjukkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar Takbir Raya.
   
Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan individu itu memakai Baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

30 Julai 2013

SKMM siasat rakaman ‘Aidilfitri bersama anjing’

Kuala Lumpur 31 Julai : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengambil tindakan terhadap penyebaran satu lagi video dikatakan menghina Islam bertajuk '1 Hari Di Hari Raya' yang disiarkan dalam YouTube.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata SKMM diarah menyegerakan siasatan terhadap pemilik video yang dianggap boleh mengganggu sensitiviti Islam itu.
"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai hal ini walaupun SKMM belum menerima laporan mengenainya. Oleh itu, saya mengarahkan SKMM untuk menyiasat video itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Video itu menunjukkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Chetz membawa tiga anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid dengan suara latar Takbir Raya.
Rakaman  itu menunjukkan seorang lelaki berbaju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga haiwan itu.
Video berdurasi 1 minit 44 saat itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesis, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).
Ia turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga anjing di sofa.
Sebelum ini, pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee didakwa di mahkamah kerana mempersenda Ramadan dan umat Islam dengan memuat naik gambar sedang makan hidangan daging babi, Bak Kut Teh, beserta kapsyen dan logo halal di Facebook. 

Utusan Malaysia terpesong dengan “Apa lagi Cina mahu”

Tan Sri Rafidah Aziz
Kuala Lumpur 31 Julai : mendedahkan beliau tersinggung dengan pendirian diambil oleh meja pengarang akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang bersikap keras dengan masyarakat Cina kerana menyokong pembangkang.
Bekas ketua Wanita Umno itu memberitahu The Malaysian Insider beliau tidak bersetuju dengan muka hadapan akhbar itu selepas pilihan raya umum yang menulis, “Apa lagi Cina mahu?”
“Ini sangat salah … tidak betul untuk mengatakan begitu. Saya sangat terkejut.
“Ia bukan satu kenyataan ‘yang sihat’, untuk dinyatakan,” kata bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mengimbas kembali pengalaman peribadinya mendapatkan undi untuk Barisan Nasional (BN) di kawasan berbilang kaum.
Rafidah mengatakan seringkali menikmati sokongan semua tidak kira sama ada mereka Melayu, Cina atau India dan menambah beliau diterima baik oleh bukan Melayu.
“Kita harus menerima mereka terlebih dahulu dan lain-lain akan melihat dan sedar. Kita harus terbuka dan layan semua orang dengan adil… kita tidak boleh kata sesuatu seperti ‘apa lagi Cina mahu’ dan lepas dengannya.”
Menurut Rafidah sesetengah daripada saat tidak terlupakannya dalam politik datang dari bukan Melayu yang tiada kena mengena dengan Umno.
Bercerita mengenai pertemuannya dengan seorang lelaki tua (Cina) beliau berkata, “Saya masih ingat kata-katanya, ‘aiya… kenapa ini macam jadi… kita manyak suka sama you’.”
“Saya terharu akan tetapi saya beritahunya, ‘Tak mengapa pakcik… perkara begini kadang-kadang berlaku,” katanya.
Beliau menambah, “Saya tidak suka bermusuh… Saya suka buat kawan, ia sangat penting pada saya. Kita semua patut jadi begini.”
Apabila ditanya mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsiaX Azran Osman Rani menyelar akhbar berbahasa Melayu itu, Rafidah mengatakan itu adalah hak peribadinya dan di luar “urusan lembaga pengarah.”
“Itu adalah kenyataan peribadinya mengenai perkara itu. Tidak bolehkah seseorang menyatakan pandangannya zaman ini?” kata Rafidah yang juga pengerusi AirAsiaX. TMI

Khairy : Tidak tahu pertahan jawatan atau tidak

Kuala Lumpur 31 Julai : Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa ahli Pemuda mengimbangi keinginan bertanding dalam pemilihan parti akan datang dengan manfaatnya kepada parti.

"Saya harap dengan semangat demokrasi yang lebih terbuka, dengan tiadanya halangan bagi mana-mana ahli parti bertanding mana-mana jawatan, kita anggap ini sebagai satu perkembangan positif.

"Tapi pada masa sama, kita harus imbangi demokrasi dengan kepentingan parti yang mestilah bertunjangkan kestabilan dan perpaduan kita," kata menteri belia dan sukan itu.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Pemuda Umno di Masjid As-Syakirin, KLCC petang tadi.

Atas semangat sama katanya, Pemuda menyokong dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan.

"Walaupun kita tidak menghalang, tetapi Pemuda Umno kita sarankan dan kita sokong supaya jawatan presiden dan timbalan presiden kita kekalkan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin," katanya lagi.

Khusus untuk pemilihan Pemuda, Khairy mahu anggotanya membetulkan niat mereka dahulu sebelum bertanding.

"Kalau kita nak bertanding sekadar nak melepaskan geram atau menyatakan pendirian, nak menganiaya orang, nak cuba nasib atau nak kacau orang, saya rasa tiada siapa akan dapat faedah dari kedudukan tersebut," katanya.

Ditemui pada sidang media selepas ucapannya, Khairy berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatannya sekarang.

"Saya tidak tahu (akan pertahan atau tidak)," katanya ringkas ketika ditanya wartawan.

Fitnah semakin marak

1. Terdapat satu artikel di The Malaysian Insider yang entah dari siapa tetapi menggunakan nama Mohamad Abdullah, melemparkan fitnah kepada saya dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh. Penulis mengemukakan surat terbuka kepada Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS, kononnya saya mendapat dana dari Kontraktor Lynas. Penulis pun sebut "dimaklumkan ...." soalnya siapa yang memaklumkan perkara itu kepada beliau?
2. Saya telah mengisytiharkan harta. Saya menyertai pilihanraya baru-baru ini dengan wang sejumlah yang telah saya isytiharkan sebelum dibantu oleh rakan-rakan. Wang deposit pilihanraya sejumlah RM15K tu pun dibayar oleh YDP PAS Kawasan. Jika tidak, hilang kelayakan saya untuk bertanding.

3. Selepas pilihanraya , saya mengerjakan umrah atas pembiayaan An Nuur Travel kerana dalam masa yang sama saya bertugas sebagai mutawwif kepada ahli jamaah An Nuur Travel. Ertinya kehidupan saya sebelum dan selepas pilihanraya, dari dulu sehingga sekarang adalah serupa.

[cuma akan datang terasa juga nak pakai MPV sebuah sebab anak dah 6 orang, dah tak muat kami nak naik berlapan sumbat masuk dalam kereta. Maklumlah Ahli Parlimen dapat AP kan, hu hu .... tengoklah macam mana, sebab Hyundai Trajet yang saya guna tu insyaallah saya akan wakafkan buat perjuangan ini dan buat masa ini akan dijadikan kenderaan rasmi Pusat Komuniti Parlimen Temerloh.]

4. Saya sangat mengalu-alukan jika benar Lynas nak bagi dana kepada saya, silakan ... saya terima dengan terbuka, [pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong Lynas] kerana kami sangat memerlukan wang bagi membantu rakyat di Temerloh. Demikian juga kalau ada orang-orang UMNO mahu menghulurkan sumbangan, kami terima dengan terbuka. Temerloh mempunyai berpuluh pusat pengajian Islam, ramai ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik. [ pendirian saya ini tidak bermakna saya sokong UMNO ]
Kami juga menerima wang "riba" yang dihendak dikeluarkan dari akaun masing-masing kerana banyak terdapat jalan-jalan kecil di kampung yang perlu diturap, tetapi kami tiada wang dan peruntukan untuk membantu rakyat.

5. Sebagaimana juga saya selaku Ahli Parlimen, dibayar gaji oleh kerajaan pimpinan UMNO dan BN, saya terima gaji itu bukan bermakna saya sokong pimpinan UMNO.

6. Buat masa ini saya ke hulu dan ke hilir mencari dana kebajikan rakyat Temerloh. Rata masjid dan surau saya jelajah menyampaikan tazkirah sambil buka peluang kepada orang ramai berbakti bagi mendapatkan sumbangan untuk Dana Kebajikan Temerloh. Saya menulis dan jual buku untuk isi poket. Prinsip saya, ada duit insyaallah kita agih kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Temerloh ini dan jika tiada duit, kita duduk diam-diam, jangan merungut sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah swt. mohon murahkan rezeki.

7. Tidak ketinggalan api fitnah turut dipercikkan kepada sahabat saya YB Ustaz Nik Mohd Abduh sebagai seorang yang mengamalkan gaya hidup mewah. Sedang siapa jua yang rapat dan mengenali beliau akan mengetahui bahawa, sehingga kini beliau yang telah berkeluarga dan mempunyai 8 cahaya mata, masih tinggal sebumbung di teratak sederhana bersama ayahandanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Kebiasaannya bagi pasangan anak dan menantu, apabila mereka telah mempunyai keluarga sendiri dan beranak pinak, mereka akan mencari kediaman mereka sendiri secara berasingan. Banyak faktor yang mendorong sedemikian. Tetapi tidak kepada YB Ustaz Nik Mohd Abduh. Saya masih ingat kata-kata beliau kepada saya apabila saya bertaaruf secara tidak langsung sebagai seorang sahabat seperjuangan. Beliau menyebut:
"Semua orang berbangga dengan ayah ana sebagai Tok Guru, sedang Tok Guru tu ada dalam rumah ana, macam mana ana nak keluar tinggal di tempat lain! .... Ana nak didik anak-anak ana supaya melihat sendiri secara praktikal cara hidup datuknya seorang tok guru. Anak ana sedang membesar, ana pula banyak masa di luar ... elok sangatlah ana tinggal bersama ayah untuk memberi peluang kepada anak - anak terdidik dengan cara hidup seorang ulamak besar bergelar Tok Guru sebagaimana yang pernah ana alami semasa kecil-kecil dulu."

9. Kenyataan beliau memang menimbulkan rasa cemburu di hati kita yang tak ada Tok Guru dalam rumah kita kecuali televisyen dan komputer yang banyak didampingi oleh anak-anak kita.

10. Apa yang saya nak sebut ialah bagaimana mereka memfitnah kononnya YB Ustaz Nik Mohd Abduh mengamalkan gaya hidup mewah kalau tempat tinggal pun masih berkongsi rumah dengan orang tua. Sementara YB-YB lain berlumba-lumba mendirikan rumah sebesar mahligai. Kenapa penulis tidak menimbulkan isu pemimpin yang jelas terang lagi berlampu hidup dalam kemewahan? atau sememangnya pena diasah tajam untuk mensasarkan YB Ustaz Nik Mohd Abduh sahaja?

11. Kononnya itu adalah surat terbuka buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi realitinya sedang memfitnah ahli keluarga Tuan Guru sendiri sedang anakanda beliau yang dituduh mengamalkan kehidupan mewah tinggal serumah dengan beliau.

12. Kelihatan game semakin menarik selepas ini. Scud jenis apa pula akan dilancarkan selepas ini kepada saya dan rakan-rakan termasuk DPPM. Sekali lagi saya ambil pendekat berdoa kepada Allah swt supaya mereka insaf dan segera berhenti dari menabur fitnah dan membunuh karakter sedemikian rupa. Apa untung nak bunuh karakter saya? Saya hanya insan biasa. 30 Julai 2013

Scorpene: Suaram dakwa Jasbir bohong

KUALA LUMPUR 31 Julai : Jasbir Singh Charld tidak bercakap benar apabila membela beberapa pihak dalam kes pembelian Scorpean, dakwa bekas Pengarah Eksekutif Suaram (Suara Rakyat Malaysia Suaram) Cynthia Gebriel.

Suaram mendedahkan Jasbir Singh Chahl telah dipecat sebagai perunding dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis, yang kemudiannya digantikan dengan perunding pertahanan, Abdul Razak Baginda.

Malah, Jasbir juga bertindak memfailkan saman RM50 juta kepada Abdul Razak, yang kemudiannya diselesaikan di luar mahkamah, dakwa Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel.

Bercakap kepada media, Cynthia mendakwa Jasbir yang juga merupakan salah seorang saksi bagi kes kontroversi itu pada awalnya dilantik sebagai perunding bagi pembelian dua kapal selam Scorpene tersebut, bagaimanapun dipecat dari meneruskan rundingan tersebut.

"Kami harap Jasbir mengambil langkah seterusnya untuk mendedahkan semua perkara yang beliau tahu mengenai perolehan pembelian Scorpene tersebut, mengapa beliau dipecat dari rundingan tersebut, kerana beliau hanya bercakap secara terpilih tentang kes itu ketika ditemubual New Straits Time (NST), baru-baru ini," tegas Cynthia (gambar) pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, petang tadi.

Dalam pada itu, Cynthia turut mengesa Jasbir menyatakan jumlah sebenar yang diterima Terasasi Sdn. Bhd. daripada syarikat pembina kapal, DSCN dalam perundingan pembelian Scorpene tersebut, sebelum Terasasi ditutup kemudiannya.

Terasasi merupakan satu syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, di mana Jasbir merupakan salah seorang pengarahnya sebelum ditutup, dan kemudiannya dibuka semula di Hong Kong oleh Abdul Razak Baginda.

Menyentuh soal penterjemah Mongolia, Altantuya Shaarriibuu, Cynthia berkata Suaram tidak pernah mengatakan Altantuya sebagai penterjemah dalam urusan pembelian Scorpene tersebut, sebaliknya mempersoalkan apakah peranan sebenar Altantuya dalam skandal tersebut.

"Persoalan yang perlu dijawab, apakah peranan sebenar Altantuya dalam perundingan pembelian kapal selam itu jika ada, dan mengapa beliau dibunuh secara kejam," tegas Cynthia lagi.

Sehubungan itu, Suaram menuntut supaya gangguan terhadap Suaram untuk mencungkil kebenaran berhubung skandal Scorpene ini dihentikan oleh mana-mana pihak dalam usaha mendapatkan maklumat bagi rakyat Malaysia yang ingin tahu mengenai skandal ini.

Beliau juga mengessa Jasbir menjawab soalan yang dikemukakan selain menyatakan secara keseluruhan berkaitan rundingan pembelian kapal selam tersebut , dan tidak hanya memilih kepada beberapa perkara tertentu sahaja.

Selain itu, Cynthia turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak berdiam diri berhubung skandal ini, sebaliknya memulakan siasatan dalam usaha membanteras kes rasuah berprofail tinggi.

Anggap kewujudan objek rahmat Ramadan

Anggap kewujudan objek rahmat Ramadan

Kota Bharu 30 Julai :  Kehadiran objek seperti cahaya datang dari dahan pokok di hadapan rumahnya dianggap sebagai satu rahmat pada bulan puasa dan memberi keinsafan dalam diri apabila ia menjelma sebelum subuh, kelmarin.

Irfan Mat Daud, 47 dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Rambutan Rendang, di sini berkata, objek tersebut dilihatnya kira-kira jam 4.30 pagi semasa dia bangun untuk bersahur.
“Saya pulang dari kerja pembersihan kira-kira jam 4 pagi dalam keadaan hujan rintik dan cukup sejuk pagi itu, malah lebih menghairankan, pokok-pokok dilihat ‘menunduk’ dan layu, muncul seketika sahaja.

“Selepas berada di dalam rumah, saya menyelesaikan solat hajat kerana berasakan malam tersebut sangat pelik. Kemudian, saya rasa mahu mengambil gambar di luar rumah apabila melihat pokok seperti kelayuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Irfan berkata, dia melihat terdapat satu objek putih yang dilihat dengan mata kasar seperti kapas yang sedikit bergerak dan dia tertarik untuk merakam gambar objek berkenaan dan apabila dilihat melalui rakamannya, ia seperti orang rukuk dalam solat.

Kata Irfan, dengan rakaman gambar yang dilakukannya, dia menanyakan hal tersebut kepada beberapa ustaz yang dikenali dan rata-rata mereka mengatakan ia satu rahmat dari ALLAH dan memberi keinsafan kepada saya serta keluarga untuk melipat gandakan amalan pada bulan mulia ini.

Katanya, perkara itu dianggap satu perkara baik dan berharap ia mampu memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua umat Islam.

29 Julai 2013

Peneroka Felda kais pagi makan pagi, kais makan petang?


Kuala Kubu Bharu 29 Julai : Seramai 139 warga peneroka di Felda Sungai Tengi Selatan tidak berpuas hati dengan sistem pengurusan ladang mereka yang seluas 10 ekar setiap seorang  yang kini ditadbirurus atau dikawalselia oleh Felda Technoplant  Sdn. Bhd (FTSB) semenjak tahun 2006/2007. 

Difahamkan bahawa penyerahan ladang mereka kepada Felda adalah dibawah perjanjian menguruskan tanam semula sawit dalam tempoh  3 tahun yang sekarang ini telah berakhir. Sumber diberitahu, Felda kini telah   meneruskan penjagaan dan pengurusan ladang mereka  dibawah agensinya  Felda Technoplant Sdn. Bhd (FTSB) hingga sekarang tanpa perbincangan dengan peneroka, samada untuk terus dijaga oleh Felda atau diserahkan kepada peneroka.
Beberapa kriteria mereka tidak berpuashati dengan Felda dibawah sistem pengurusan ladang yang dikendalikan oleh Felda Technoplant Sdn. Bhd, antaranya:
  • Lebihan Hasil Tidak dibayar kepada peneroka  setiap bulan sebagaimana yang termaktub pada dasar tanam semula sawit apabila peneroka telah menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan oleh Felda Technoplant Sdn. Bhd.
  • Terma Perjanjian.  Felda dan agen pengurusan FTSB telah mengabaikan (memungkiri) terma perjanjian pengurusan tanam semula dan penyerahan ladang peneroka  sebagaimana termaktub di perenggan (13) yangmana menyebut dalam ringkasannya ‘Penyata pendapatan dan perbelanjaan LADANG hendaklah disediakan bagi tiap-tiap suku tahun dan diserahkan kepadan peneroka.  Malangnya hingga setakat ini tidak diedarkan kepada peneroka dalam tempoh 4 tahun yang lalu selepas tempoh tanaman semula sawit.
  • Pengendalian Ladang.  Felda didapati tidak melaksanakan terma perjanjian  untuk menguruskan ladang peneroka dengan terancang dan teratur sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian.
Mereka meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati apabila Felda dan agensi FTSB telah GAGAL dalam mengendali dan menguruskan ladang mereka dengan efisien dan efektif. Dimana terbukti berlakunya ketirisan demi ketirisan, iaitu:
  • Kejadian BTS Sering Hilang Dari Ladang.    Terdapat banyak laporan hasil sawit mereka HILANG dari kawasan ladang akibat sistem pengurusan ladang yang tidak terkawal dan kurangnya pemantauan. Ini sudah pasti menjejaskan pulangan pendapatan maksima kepada peneroka.
  • Penuaian Hasil BTS Dan PEMBAJAAN Tidak Teratur.  Dimana kerja-kerja tuaian BTS dan pembajaan tidak sampai ke lorong bahagian belakang.  Buah lerai sawit pula tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya dan dibiarkan berselarak dibawah pokok sawit. Langkah ini juga menjejaskan pulangan pendapatan kepada mereka.
  • Penyelenggaran Ladang. Kerja-kerja merumput tidak dijalankan dengan sempurna, dimana terdapat lot-lot tertentu dibiarkan semak samun, dipenuhi dengan lalang, anak kayu, rumput liar. dan lopak-lopak air disana sini.
  • Pokok Sawit Mati Tidak Disulam. Beberapa lot ladang tidak disulam dengan anak pokok sawit yang telah mati. Dibiarkan semak dengan rumput liar, lalang dan anak kayu. 
  • Pemantauan Ladang. Penyelia dan pekerja kebun yang dilantik oleh FTSB tidak melaksana tugas mengendalikan ladang dengan terancang dan berkesan, terutama dalam aspek pemantauan hasil sawit yang dikeluarkan dari ladang dan penyelenggarannya. Terdapat banyak KETIRISAN berlaku disana-sini.
  • Pekerja Ladang. FTSB juga gagal mendapatkan pekerja ladang yang mencukupi. Dimana terdapat blok-blok kebun tidak di urusselia dengan sebaik mungkin kerana masaalah kekurangan pekerja.
  • Jalan Pertanian Rosak. Tidak diselenggara dengan sebaik mungkin. Terdapat lubang-lubang dan lopak disana-sini serta becak bila musim hujan.
Berlandaskan kepada isu-isu ladang yang dibangkitkan oleh peneroka sebagaimana diatas, jelas pihak Felda Technoplant Sdn. Bhd gagal dalam mewujudkan pengurusan ladang yang sistematik dan terancang. Ini menyebabkan Felda gagal memberi pulangan hasil yang maksima kepada peneroka.

Peneroka berharap agar masaalah ladang mereka ini perlu ditangani secepat mungkin dan menggesa Felda membuat transformasi kepada hal ehwal ladang mereka supaya pendapatan peneroka mendapat pulangan yang maksima dan terjamin.

Ketika ini peneroka memang tertekan kepada kos kehidupan yang tinggi masa kini dan terus meningkat saban tahun, ternyata pendapatan yang didahulukan oleh Felda adalah tidak mencukupi. Lebih tepat bahawa sara hidup yang diberikan oleh pada kadar RM1,500 sebulan olehFelda adalah dibawah takrif dibawah paras kemiskinan. Ternyata tidak mencukupi setelah ditolak beberapa potongan seperti bayaran pinjaman rumah & SIUF, bayaran tabung JKKR, kawalan kampong, Kedai PNF, tabung blok, tabung masjid dan pelbagai lagi bayaran semasa.

Mereka menggesa dan berharap Felda dapat menaiktarafkan pendapatan peneroka yang diibarat 'Kais pagi makan pagi kais petang makan petang'.

Saksikan kebenaran ladang Felda Sg. Tengi Selatan